Fastaqim titik permulaan perubahan rakyat

KUALA NERUS: Fastaqim 2.0 yang diadakan di negeri ini disifatkan sebagai ‘satu titik’ permulaan perubahan kepada pemerintahan negara yang ada sekarang.
 
Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Malaysia, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata himpunan kali kedua selepas dianjurkan PAS di negeri Kelantan, dapat menjelaskan kepada rakyat tentang agenda utama yang akan dilaksanakan parti itu.
 
Katanya, ia akan menjadi alternatif kepada sistem sedia ada di dalam negara ini sekiranya diizinkan oleh Allah S.W.T untuk memerintah Malaysia.
 
“Program himpunan Fastaqim 2.0 sangat penting dan wajib dihadiri oleh seramai mungkin masyarakat di dalam negara kita yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.
 
“PAS menyeru masyarakat di luar sana supaya hadir agar mereka mengenali secara lebih dekat PAS dan perjuangannya, sekaligus mereka akan memahami agenda utama yang akan kita isytiharkan di Fastaqim 2.0 andai dipilih rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan,” jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Peranginan Tok Jembal, di sini 28 September lalu.
 
Tambahnya lagi, mudah-mudahan Fastaqim ini akan diberi sambutan oleh seluruh ahli PAS secara khusus dan kepada seluruh rakyat Malaysia secara amnya.
 
Justeru, katanya, PAS menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar meluangkan masa dan hadir ke program Fastaqim 2.0 ini secara beramai-ramai.
 
“Jom kita hadir beramai-ramai,” seru Ustaz Nik Muhammad Zawawi. – HARAKAHDAILY 29/9/2017
 
Advertisement