Kekuatan PAS untuk dihormati, bukan ditakuti

KUALA NERUS: PAS sentiasa terbuka dan menyediakan saluran kepada semua pihak untuk terlibat bersama kerana baik individu mahupun NGO tidak dapat memisahkan diri dari politik.
 
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tiada sesiapapun dipaksa untuk masuk politik tetapi suasana politik memerlukan semua pihak tidak memisahkan diri dari politik.
 
Beliau menyatakan demikian pada sidang media sempena Majlis Makan Malam dan Dialog Bersama NGO-NGO sempena Fastaqim 2.0 di KT Golf Resort, di sini sebentar tadi.
 
“(Himpunan) Fastaqim ini melibatkan parti politik yang bersama PAS dalam Gagasan Sejahtera dan NGO-NGO. Menunjukkan kita (PAS) tidak bersendirian.
 
“Kita menerima dan memahami realiti kepelbagaian yang ada dalam negara ini. Kita berdiri atas pendirian kita sendiri, namun turut melibatkan sama pihak-pihak lain,” jelas beliau dan turut menyifatkan Himpunan Fastaqim sebagai antara kekuatan parti itu
 
Tegas Tuan Guru, PAS masih dalam Pakatan Rakyat tetapi pihak lain yang tidak bersama PAS di mana PAS tidak menyingkirkan mereka, sebaliknya mereka menyingkirkan diri dari PAS.
 
Katanya, PAS tidak minta mana-mana pihak untuk takut kepada parti itu, tetapi mestilah ada sikap menghormati antara satu sama lain.
 
Terangnya, pihak lain sepatutnya menerima realiti dan mengakui kekuatan PAS yang kini mempunyai 195 kawasan dan 7,000 cawangan di seluruh negara.
 
Menjawab perlekehan pihak-pihak tertentu terhadap PAS, beliau menyerahkan penilaian itu kepada semua pihak di mana tegasnya PAS berdiri dengan agenda dan kekuatannya sendiri.
 
“Terpulang kepada ahli PAS untuk menilai. Ahli PAS kini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada orang kampung, ada profesional, pensyarah universiti, pelbagai termasuk kalangan bukan Islam.
 
“Adakah mereka ini tertipu? Adakah mereka tidak boleh menilai?” ujarnya membidas tuduhan ahli-ahli PAS tertipu oleh agenda pimpinannya sebagaimana didakwa musuh politik PAS.
 
Menjawab mengenai pilihan raya, PAS kini jelas beliau, telah bersedia menghadapinya bila-bila masa serta bersikap terbuka untuk mana-mana pihak bertanding menentang PAS sesuai dengan konsep demokrasi.
 
Menyentuh mengenai calon PAS, beliau menerangkan bahawa parti itu membaca medannya di lapangan dan bukan dari atas semata-mata di mana melihat pemilihan tersebut dari pelbagai aspek dan seluruh peringkat. – HARAKAHDAILY 29/9/2017
Advertisement