Kurdistan dan geopolitik baharu Asia Barat: 5 isu penting

SEPANJANG kebangkitan rakyat di Asia Barat dan Afrika Utara yang digelar “Arab spring,” satu etnik dan entiti politik telah muncul sebagai satu pemenang, apabila perjuangan kemerdekaan etnik Kurdi untuk memperolehi sebuah negara yang dijanjikan sejak keruntuhan Uthmaniyah kini kelihatan semakin hampir terlaksana melalui kemerdekaan Kurdistan Iraq.

Advertisement

Selepas lama tertangguh, pemerintah Kerajaan Wilayah Kurdistan pimpinan Presiden Masoud Barzani berjaya melaksanakan memorandum pada 25 November lalu, dengan keputusan lebih 92 peratus menyokong.

Wilayah autonomi Kurdistan, dengan ibu negaranya Erbil itu secara efektifnya mula menjadi semakin bersatu ekoran perang tahun 2003 yang akhirnya menamatkan pemerintahan Baath diketuai Saddam Hussein. Perlembagaan baharu Iraq 2005 mengiktiraf wilayah autonomi itu, pimpinan Presiden Barzani daripada Parti Demokratik Kurdistan, parti politik dominan Kurdistan Iraq.

Kejayaan ini boleh dilihat sebagai satu permulaan dalam memenuhi impian “Kurdistan Raya” perjuangan kemerdekaan yang impiannya meliputi seluruh wilayah didiami etnik Kurdi merentasi sempadan empat negara; Turki, Syria, Iraq, dan Iran.

Kemerdekaan Kurdistan Iraq bakal menyuntik semangat kepada etnik Kurdi di tiga negara tersebut, yang memandang kemerdekaan saudara mereka di Iraq sebagai satu petanda positif, permulaan kepada satu pengukuhan kuasa dan pengaruh Kurdi di Asia Barat.

Menurut takrif Kurdi, wilayah Kurdistan, atau Kurdistan Raya, meliputi empat wilayah iaitu rojhalat (timur Kurdistan di Iran), bashur (selatan di Iraq), bakur (utara di Turki), dan rojava (barat Kurdistan di Syria).

Kebangkitan Arab yang membawa kepada perang di Syria dan kekacauan di Iraq yang ditimbulkan oleh militan Daesh telah mengukuhkan dan melebarkan lagi pengaruh Kurdi apabila pasukan bersenjata Kurdi di Syria dan tentera Kurdi Iraq dikenali Peshmerga berjaya mengukuhkan penguasaan dengan menewaskan Daesh dan mengambil alih kawasan dikuasai, meluaskan lagi kawasan di bawah pengaruh Kurdi melepasi sempadan autonomi asal.

1. Bangsa Kurdi dan wilayah Kurdistan Raya

Selain Arab, Turki dan Parsi, Kurdi ialah salah satu bangsa utama rantau Asia Barat. Menurut satu anggaran, etnik Kurdi berjumlah sekitar 30 juta orang, bertebaran di Turki, Syria, Iraq, dan Iran. Kurdi paling berjaya dari segi usaha merdeka ialah Kurdi Iraq.

Di Turki, konflik bersenjata oleh Parti Pekerja Kurdistan, PKK, dengan pemerintah menyukarkan hubungan antara kedua-dua pihak. Kurdi Syria menerima kejayaan memperolehi wilayah dikuasai mereka dan kini menuntut autonomi hasil konflik bersenjata di negara itu.

Kurdi Iran ialah yang paling kurang bermasalah dengan pemerintah, walaupun wujud kumpulan bersenjata di negara itu.

Di Kurdistan Iraq, jumlah mereka ialah sekitar 5 juta orang, kurang 20 peratus daripada semua penduduk Iraq. Mereka ini, bersama Kurdi Iraq diaspora, yang mengundi dalam referendum 25 September lalu.

Iraq merupakan kelompok paling berjaya dalam perjuangan menuntut kebebasan politik, dan telah secara efektif mentadbir wilayah mereka tanpa banyak campur tangan daripada Baghdad, termasuk menjual sendiri hasil petroleum ke pembeli luar hingga mencetuskan pertikaian dan perbalahan dengan kerajaan pusat di Baghdad.

Kurdi mempunyai bahasa dan budaya sendiri yang berbeza daripada Arab dan Turki, dan ini menjadi salah satu agenda penting dalam perjuangan Kurdi merentasi sempadan Turki, Syria, Iraq, dan Iran, walaupun mereka tidak bersatu dari segi politik.

Di Turki, sebelum perkembangan kebelakangan ini yang menyaksikan kemunculan parti politik dikuasai Kurdi dan liberalisasi dalam budaya, kekangan dan halangan terhadap amalan budaya Kurdi dikuatkuasa dengan keras.

Dalam sejarah, pada Januari 1946, sebuah negara Kurdi disokong Kesatuan Soviet berjaya ditubuhkan di utara Iran, dikenali sebagai Republik Mahabad, tetapi berakhir kurang setahun kemudian.

2. Kemerdekaan Kurdistan Iraq

Kurdistan Iraq di utara Iraq ialah satu-satunya wilayah Kurdi yang paling jelas sempadannya dan diiktiraf melalui undang-undang. Sejak awal Kurdistan Iraq dikuasai Barzani, dan disaingi kem Jalal Talabani di sebelah selatan, tetapi Barzani lebih dominan dan tentangan dalaman terhadapnya tidak kuat.

Walaupun masih sebahagian Iraq, pemerintah Kurdistan Iraq dikenali Kerajaan Wilayah Kurdistan, KRG, telah mengendalikan hubungan luar seperti sebuah negara. Banyak konsulat yang dikatakan berperanan sebagai kedutaan sebenar telah tertubuh di Kurdistan Iraq.

KRG juga mencapai persetujuan membangunkan sumber minyak dan gasnya, termasuk dengan syarikat-syarikat multinasional dunia seperti Exxon Mobil dan Rosneft.

Kurdistan Iraq juga mempunyai tentera yang tersusun, Peshmerga, yang berperanan dalam perang menentang Daesh dan hasilnya dapat meluaskan wilayah dikuasai melepasi sempadan wilayah autonomi.

Kurdistan Iraq juga membina hubungan dengan kuasa-kuasa besar terutama Amerika Syarikat dan Rusia yang syarikatnya terlibat dalam pembangunan sumber hidrokarbon Kurdistan Iraq.

Melalui hubungan dengan AS, Kurdistan Iraq menjalankan lobi di peringkat antarabangsa untuk membina sokongan dan gambaran keabsahan sebagai sebuah negara, dengan tumpuannya di Washington dan akhbar-akhbar berpengaruh AS.

Apa pun hasil diperolehi melalui kejayaan referendum 25 September lalu, sama ada KRG dapat menguasahakannya untuk mencapai kemerdekaan dengan segera, hakikatnya Kurdistan Iraq telah mempunyai kuasa dan pengaruh yang kuat hingga meliputi bandar dan wilayah melepasi sempadannya, seperti Kirkuk dan kawasan utara sepanjang sempadan dengan Syria. Semua ini membantu perkembangan politik Kurdistan pada masa depan.

3. Pendirian Iraq

Kerajaan Iraq menganggap pemisahan Kurdistan daripada wilayah Iraq sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan mengancam keselamatan negara itu dan seluruh rantau Asia Barat. Perdana Menteri Haider al-Abadi telah menuntut kerajaan Kurdistan Iraq menghentikan proses referendum yang dijadualkan tetapi tidak diendahkan.

Mahkamah tertinggi Iraq juga mengarahkan referendum ditangguh hingga isu-isu perundangan ditangani. Perdana menteri Iraq itu juga memberi amaran akan menggunakan kuasa ketenteraan sekiranya terancam akibat daripada usaha pemisahan yang dijalankan.

Pemisahan, malah tindakan Kurdistan Iraq kini menggugat kerajaan pusat di Baghdad dan menjejaskan kedudukan Abadi. Iraq kini membina sokongan daripada negara-negara serantau lain untuk menangani isu ini.

Baghdad kehilangan sebahagian sumber pendapatan minyak dan gas apabila KRG menguasai sumber tersebut, dan ini terus menjadi sumber pertikaian antara Baghdad dan Erbil, terutama melibatkan wilayah kaya minyak Kirkuk.

Pemerintah Iraq juga melihat perkembangan ini sebagai satu bentuk campur tangan asing yang menggugat kesatuan wilayah Iraq yang telah dibina semula selepas perang.

Kesan paling jelas dirasai ialah selepas kejayaan menewaskan militan Daesh, apabila Peshmerga menguasai wilayah di luar sempadan Kurdistan Iraq, di kawasan pertikaian antara kedua-dua pihak.

4. Iran, Turki, dan Syria

Iran dan Turki menganggap penubuhan negara Kurdistan di Iraq sebagai sebahagian pemetaan baharu rantau Asia Barat yang akan menguntungkan Israel, kerana kedudukan strategiknya dan sumber-sumber dimiliki terutama minyak dan air.

Israel bakal dapat menjalankan pelbagai bentuk kerjasama dengan lebih mudah sekiranya Kurdistan Iraq merdeka. Iran memperlihatkan sikap paling keras terhadap penubuhan negara baharu Kurdistan Iraq, melihatnya sebagai sebuah “Israel kedua.”

Kurdistan yang disokong AS dan Israel bakal menjadi sekutu kuat dua negara tersebut, dan matlamat segeranya ialah digunakan untuk menghadapi Iran, yang sedang meluaskan kawasan dikuasai di Iraq dan Syria untuk memperolehi satu koridor laluan ke Laut Mediterranean. Kejayaan geopolitik Iran ini digugat oleh penguasaan ketenteraan Kurdi di kawasan yang sama.

Turki walau bagaimanapun bersikap pragmatik dalam hal ini, walaupun menunjukkan sikap keras ekoran kejayaan menjalankan referendum. Pada masa sama kenyataan menentang kemerdekaan Kurdistan dibuat, Ankara kekal menjalin hubungan dengan Erbil, dan turut membeli minyak mentah dari Kurdistan.

Walaupun mengugut Kurdistan Iraq melibatkan eksport bekalan minyak, Turki berpotensi menjadi sebuah hab bekalan minyak dan gas dari Kurdistan Iraq.

Di Syria pula, perkembangan baru sejak konflik bersenjata dan kemasukan Daesh memberikan kawasan tambahan kepada Kurdi, apabila kawasan sepanjang sempadan dengan Turki hingga ke laut dapat dikuasai.

Kejayaan memperolehi wilayah di Syria ialah kejayaan terbaharu Kurdi, dan memudahkan laluan ke arah menyatukan wilayah-wilayah mereka sebagai satu Kurdistan Raya.

5. Kepentingan Israel

Israel ialah satu-satunya negara yang telah menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Kurdistan merdeka. Dalam tempoh empat tahun ini, Kurdistan Iraq telah dua kali menerima sokongan terbuka pemimpin Zionis Israel, Benjamin Netanyahu.

Netanyahu membuat kenyataan menyokong kemerdekaan Kurdistan Iraq pertama kali pada Jun 2014, dan sekali lagi pada 12 September lalu. Malah sebelum itu, dalam dekad sebelumnya, Netanyahu pernah bersuara menyokong kemerdekaan Kurdistan Iraq.

Israel mempunyai satu sejarah panjang dengan Kurdi di Iraq sejak awal penubuhannya. Zionis menggunakan Kurdi Iraq sebagai sekutu terutama untuk tujuan perisikan terhadap Iran. Selain perisikan, Israel juga terlibat dalam bantuan ketenteraan termasuk latihan untuk Peshmerga.

Penubuhan Kurdistan merdeka di utara Iraq akan memberikan sekutu yang kuat, yang wujud sebagai sebuah negara merdeka, di tengah-tengah dunia Islam bersempadan Turki, Iraq, dan Iran. Kedudukan strategik ini bakal memberi kelebihan geopolitik yang luas bagi Israel dari segi akses kepada sumber alam dan strategi ketenteraan.

Perkembangan semasa, dari segi pertembungan dengan Iran dan proksi menjadikan Kurdistan yang merdeka semakin penting pada Israel. Penubuhan Kurdistan Iraq sebagai negara merdeka juga akan membangkitkan sentimen Kurdi di negara sekitar, dan sekiranya berlaku ketidakstabilan, Israel akan dapat mengambil kesempatan seperti yang telah disaksikan di Syria. – HARAKAHDAILY 29/9/2017