Lebih 100 NGO setuju sertai Gagasan

LEBIH 100 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersetuju untuk bersama menyertai Gagasan Sejahtera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Advertisement

Pengerusi Lujnah Mobilisasi dan Hubungan NGO PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, NGO berkenaan memberi komitmen mendokong perjuangan Gagasan Sejahtera sebagai ‘platform’ politik baharu dan alternatif gabungan politik sedia ada termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam Sidang Media selepas selesai Sidang Meja Bulat NGO tersebut di sebuah resort di sini sebentar tadi..

Turut hadir, Timbalan Pengerusi I Lujnah tersebut, Yahya Ali,  Timbalan Pengerusi II, Kartini Ahmad dan Setiausaha Lujnah itu,  Shuhaimi Embong.

Menurut Kamaruzaman, Gagasan Sejahtera dipengerusikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan jawatankuasanya dan halatuju perjuangan gagasan itu akan dijelaskan dalam program Fastaqim 2.0 selewat-lewatnya pada Sabtu.

Katanya, gagasan itu bukan sahaja disertai oleh NGO tetapi disertai individu berpengaruh,  berbeza dengan gabungan politik sedia ada.

“Satu jawatankuasa penyelaras NGO akan dibentuk bagi menyusun gerakerja menggerakkan rakyat merubah sokongan politik tidak lagi kepada BN dan PH dalam PRU 14 nanti,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 29/9/2017