Datang mereka mencurah bakti, pergi diingati

medik

HUJAN lebat dan petir berdentum malam tadi, tengok seorang mak cik tua tak berganjak dari lokasi ceramah pra Fastaqim. Hanya menutup kepalanya dengan sehelai kain. Bukan mak cik ini seorang. Malah sangat ramai lagi yang tak berganjak.

Advertisement

Saya tak pandai membuat anggaran. Cukuplah kalau digambarkan bahawa kehadiran ceramah pra Fastaqim malam tadi sangat luar biasa. Memang realitinya himpunan semalam berjaya membentuk satu gelombang hijau yang hebat. Gelombang yang bakal bergerak ke arah kemenangan.

Saya juga sangat menghargai tindakan pantas anggota Unit Kebajikan dan Kecemasan memberikan respons yang cepat dan berkesan ketika menangani situasi cemas ketika hujan dan petir malam tadi.

Bukan mudah nak menangani situasi cemas yang berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran di tengah-tengah lautan manusia. Ini pengalaman mahal yang ditimba secara terus dari lapangan tugas.

Sebahagian besar anggota Kor Medik Jabatan Amal dan petugas perubatan hanya dapat pulang ke tempat penginapan menjelang jam 3 pagi. Pagi ini jam 7 pagi, mereka kembali bersedia di medan untuk berkhidmat. Berbaris untuk mendengar arahan dan taklimat tugasan baru. Bersedia untuk menerima limpahan pengunjung yang berkali ganda dijangkakan lebih ramai hari ini terutama malam ceramah kemuncak nanti.

Kesesakan teruk jalan raya menambah lagi cabaran petugas kecemasan. Untuk menghantar seorang pesakit ke HSNZ Kuala Terengganu, paling cepat 40 minit masa diperlukan.

Saya bertuah menjadi salah seorang anggota Jabatan Amal untuk bertugas bersama-sama mereka. Mereka adalah hero yang tak didendang. Datang mereka mencurah bakti, pergi mereka diingati.

Dr Azman Ibrahim
Ketua Unit Kebajikan dan Kecemasan
Fastaqim 2.0
30 September 2017 – HARAKAHDAILY 30/9/2017