SRITI Selangor perkenal sistem data atas talian

SEKOLAH Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Selangor yang menggabungkan keseluruhan SRITI kawasan seluruh negeri itu meneguhkan aspek pengurusannya menerusi Sistem Data Atas Talian.

Advertisement

Pengenalan sistem tersebut bertujuan memudahkan pengurusan pentadbiran di semua sudut dalam menghadapi hari pendaftaran dan kemasukan pelajar bagi sesi yang akan datang.

Menerusinya juga, kepentingan kualiti dan pengurusan pejabat yang lebih efisyen dapat menggantikan sistem manual sedia ada.

Bahkan ia dijangka mampu meningkatkan tatacara pengurusan pentadbiran, kewangan dan penstrukturan guru, ibu bapa serta pelajar-pelajar.

Tujuan lain bagi operasi Sistem Data Atas Talian ini adalah untuk merekodkan hampir keseluruhan aktiviti pelajar daripada sudut kehadiran, kecemerlangan, amali, hafalan serta masalah disiplin.

Ia bagi memudahkan rujukan ibu bapa dan penjaga pelajar pada sesi hari bertemu pelanggan atau hari terbuka SRITI yang menjadi sebahagian agenda penting institusi pendidikan itu.

Pada ketika ini, Selangor sudah menubuhkan 14 SRITI dan telah beroperasi dalam tempoh setahun ini dan akan menambah enam lagi menjelang 2018.

Ia bagi menampung permintaan yang sangat tinggi khususnya di kalangan pelajar lepasan pra sekolah sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Di masa akan datang, SRITI merancang membentuk satu silibus pemulihan bagi pelajar-pelajar yang lemah sudut penguasaan pembacaan dan hafalan.

Ianya bertujuan mengambil tanggungjawab sekiranya terdapat pelajar yang tidak diterima di sekolah lain dan menjadi hilang minat untuk meneruskan pembelajaran.

SRITI menerima banyak keadaan di mana terdapat ibu bapa memohon untuk menerima anak mereka yang sedemikian walaupun terpaksa bermula dengan tahun 1.

SRITI mempunyai identiti tersendiri sebelum ini melalui Silibus Kaffah dan kini kita sudahpun mempunyai sistem data sendiri yang dikenali sebagai ADABS.

Pada tahun hadapan, SRITI akan mempunyai kaedah hafazan yang akan dipraktikkan sebagaimana Al-Quran turun selama 23 tahun.

Pelajar bukan sahaja akan didedahkam dengan surah dan juzuk-juzuk, tetapi juga asbabun nuzul dan lainnya sebagaimana dihafaz terus oleh para Sahabat R.A serta mereka mengamalkannya.

SRITI adalah produk pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dilancarkan pada 2015 oleh Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz selepas kejayaan PASTI yang di ilhamkan oleh Almarhum Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik.

Selepas kejayaan PASTI yang sangat cemerlang melahirkan ramai pelajar dan mendapat pujian daripada guru-guru sekolah rendah, SRITI kini mengorak langkah demi langkah menjadi permulaan kepada Program Pendidikan Islam di seluruh negara.