DAP diingat tidak samakan Pesta Kaamatan dengan Octoberfest

Zulzaim
KENYATAAN pimpinan DAP Sabah menyamakan pesta arak Octoberfest dengan Pesta Kaamatan adalah satu penghinaan dan tidak memahami situasi kepelbagaian etnik serta kaum di negeri ini. Usaha mengheret dan secara semberono mengaitkan keduanya adalah suatu hujah dangkal dan tindakan terdesak DAP yang semata-mata mahu pesta arak itu diteruskan.
 
Walhal ia dibantah oleh segenap lapisan masyarakat disebabkan kemudaratan yang berpotensi timbul dari pesta arak tersebut. Malah, pihak berkuasa menyatakan wujudnya ancaman keselamatan terhadap penganjuran pesta arak tersebut. Namun, DAP tetap bertindak mencipta alasan mengaitkan Pesta Kaamatan juga terdapat unsur minuman hampir serupa. 
 
Tidakkah tindakan DAP ini cuba mencetuskan kekeliruan terhadap suatu perayaan tahunan masyarakat Sabah dan diterima oleh masyarakat di negeri? Tambahan pula, perkembangan terkini masyarakat Muslim dari suku kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) tidak mempunyai masalah meraikan Pesta Kaamatan mengikut cara yang sewajarnya bagi memupuk silaturrahim.
 
Persaudaraan, toleransi dan tradisi ini telah menjadi suatu budaya turun temurun. Hal ini berbeza dengan tujuan diadakan pesta arak Octoberfest yang tidak mempunyai suatu matlamat murni. Bahkan hanya untuk mempromosikan minuman beralkohol tersebut sebagai suatu pesta. Pandangan umum masyarakat Sabah menilai tindakan DAP itu adalah asing dari budaya dan adat resam di negeri ini. 
 
Maka, kami menyelar budaya pengaruh tidak sihat, provokasi dan tidak bermoral yang sedang dibawa oleh DAP ini. Ia boleh mengugat kesejahteraan dan perpaduan yang telah wujud. Masyarakat Sabah perlu singkirkan DAP dan sekutunya dari negeri Sabah bagi mengelak pengaruh ini berleluasa demi menjaga kepentingan dan kebaikan masa hadapan generasi Sabahan.
 
ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah – HARAKAHDAILY 2/10/2017
Advertisement