Pesan ayah, cari kerja jalan ke syurga

BAHAGIAN 1: Wawancara Ekslusif Datuk Seri Zakaria Jaffar

Advertisement

RASUAH umpama najis dadah, sekali kena pastinya akan ‘ketagih’ tak kesudahan. Penyakit yang berkait rapat dengan hati ini harus dibanteras, dan harus digempur habis-habisan. Berbicara lanjut mengenai perang rasuah di negara ini, Wartawan Harakah, NAZIRAH NASRUN telah menemubual Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Dato’ Seri Zakaria Jaffar pada 28 September yang lalu di pejabat YARM beralamat Lot K5, Pasar Awam Precint 16, Jalan P 16G, 62150 Putrajaya.

DS Zakaria JaafarHARAKAH: Difahamkan bahawa Dato’ adalah mahasiswa perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 1977-1981. Meskipun mempunyai pilihan kerja lebih lumayan setaraf dengan kelulusan, anda memilih untuk menyertai Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada waktu itu. Apa yang menyebabkan anda mengambil keputusan sedemikian?

ZAKARIA JAFFAR (ZJ): Bukan sahaja pilihan, hakikatnya memang begitu. Saya pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), belajar kumpulan pertama jurusan akaun UKM. Rakan sekelas saya pada waktu itu jadi Akauntan Negara sekarang, Datuk Che Pee Samsudin dan beberapa orang lagi dalam Jabatan Akauntan Negara Malaysia. Saya telah ditawarkan bekerja sebagai Akauntan di Jabatan Akauntan Negara, mungkin kalau saya terima tawaran itu saya tiada di sini sekarang. Saya akan berada di Jabatan Akauntan Negara, tidak tahulah apa pangkat- itu rezeki masing-masing. Dalam masa yang sama ada temuduga, zaman dahulu, zaman sayalah tahun 70-80-an di mana kerja mencari kita bukan kita mencari kerja. Saya dipanggil ke temuduga BPR, jadi saya pergi temuduga dan penemuduga itu ialah Timbalan Ketua Pengarah BPR pada waktu itu- dia tanya soalan; betulkah kamu hendak kerja BPR ini? {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Saya kata “Tuan, kalau saya tidak mahu kerja ini saya tidak datang ke temuduga ini. Saya ini dari Kelantan- jauh,” Masa itu di Pesiaran Duta pejabatnya. Namun begitu masalah besar adalah sudah ada surat tawaran kerana saya adalah pemegang biasiswa JPA, saya kena kerja dengan Jabatan Akauntan Negara. Beliau kata, tidak mengapa ia akan diuruskan. Itu satu soalan yang ditanya, bukan saja pilihan tetapi memang peluang itu ada, itu yang pertama.

Hakikat sebenar ialah memenuhi nasihat ataupun peringatan daripada arwah ayah saya. Orang tua dulu dia memberi peringatan yang sedikit tetapi kita tidak faham pada waktu itu namun pada akhirnya kita faham. Saya orang kampung, jauh hendak sampai ke jalan raya adalah dalam 2 kilometer jalan kaki di celah-celah pokok dan bendang padi. Ayah saya kata, “Pergi la belajar bersungguh-sungguh, biar pandai baca nombor bas,”. Apa maksud pandai baca nombor bas? Kita pun tidak tahu, takkan hendak pergi sekolah hanya kerana hendak pandai baca nombor bas sahaja?

Betul kan? Kita tidak fikir pada waktu itu. Kita pun ikut, pergi sajalah, takkan tak pandai baca nombor bas pergi sekolah. Bila dewasa, rupanya maksud dia- kalau anda pandai membaca nombor bas, pergi ke mana-mana anda tidak akan sesat. Anda akan tahu jalan pulang, ertinya mesti ada ilmu. Kalau mencari ilmu, pergilah ke mana-mana mencari ilmu supaya jangan kamu sesat di penghujung kehidupan dan tahu jalan pulang. Itu maksudnya.

Yang kedua, saya boleh masuk universiti. Tidak ramai anak kampung pada waktu itu yang masuk universiti. Saya ingat saya masuk universiti tahun 1977 itu, orang kampung pergi hantar ke jalan raya dengan berjalan kaki sejauh 2 kilometer. Ada yang bagi seringgit, 50 sen- paling banyak pun RM5. Anak kampung boleh masuk universiti. Kampung Kadok, Kelantan. Jadi ayah saya pesan lagi sekali, “Nanti habis belajar, cari kerja jalan ke syurga,”. Aduh saya pun pening kepala, dapat masuk Fakulti Ekonomi UKM. Macam mana jurusan ekonomi hendak pergi ke jalan syurga? Bukan hendak jadi ustaz, jadi saya pun berfikir. Pada saya waktu itu belajar agama, ustaz yang masuk syurga. Ekonomi ini sesat, baratlah. Saya pun tidak tahu tetapi Tuhan Maha Kaya- orang kampung ni dah belajar jadilah cerdik sikit. Orang kampung ini cerdik sebenarnya.

Tahun dua saya terpilih di antara Fakulti Ekonomi itu 25 orang semuanya, masuk jurusan Perakaunan kumpulan pertama UKM. Daripada 25 orang itu, 12 orang sahaja kaum Melayu. Yang lain ada India dan Cina. Saya berfikir-fikir, apa kerja yang hendak ke syurga? Hendak belajar macam mana, akaun ini cerita duit. Bukan kata suruh jadi ustaz tetapi bila berjumpa dia terangkan untuk mencari benda yang halal, cegah orang daripada benda yang haram. Maknanya apa kerja dan perbuatan pun tidak kisah tetapi mesti yang halal lagi baik, anda harus cegah orang lain.

Bila saya teringat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini, saya teringat kepada satu hadis. Orang tukang beri, tukang terima rasuah ini masuk neraka. Jadi kalau anda kerja cegah orang masuk neraka maknanya bawa orang ke syurga. Kalau hendak bawa orang ke syurga anda pun jalan ke syurgalah. Jadi selari dengan tadi- belajar mencari ilmu untuk kamu jangan sesat.

Yang kedua cari kerja yang halal, baik, cegah orang daripada masuk neraka- jadi ini satu pekerjaan yang cukup baik dan kebetulan dipanggil untuk temuduga itu, di BPR tiada seorang pun yang berkelulusan perakaunan. Masa itu pun nombor chartered accountant saya adalah 9408. 9000 orang ke atas sahaja akauntan pada waktu itu. Kumpulan pertama perakaunan itu 25 orang, kemudian dibuang seorang demi seorang tinggal 21 orang jadi hanya tinggal 12 orang pelajar Melayu.

Saya pilih jalan ini kerana mencegah orang daripada masuk neraka dan kerja mulia. Kalau saya tidak dapat apa-apa di dunia pun, dengan izin Allah saya akan dapat balasan Allah di akhirat. Itulah harapan dan saya tidak menyalahi nasihat, juga doa ayah ibu. Harapan paling tinggi ayah ibu ini adalah pada anak-anak. Cara pendekatan dan pendidikan mereka macam itu. Begitulah bagaimana saya memilih untuk masuk ke BPR pada waktu itu tahun 1982 sehinggalah saya pencen pada tahun 2015. 33 tahun, 2 bulan, 11 hari- itulah perjuangan saya dalam mencegah rasuah.

Setelah 33 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, Dato’ telah bersara pada tahun 2015. Bagaimana dengan sisi pandang Dato’  mengenai amalan rasuah di Malaysia; adakah terdapat perbezaan selepas melepaskan jawatan dalam kerajaan?

Orang tidak tahu tetapi masih bercakap tentang rasuah banyak, rasuah sikit dan sebagainya. Mereka tidak faham. Saya bagitahu latarbelakang dahulu- 33 tahun, 2 bulan, 11 hari itu di mana 24 tahun saya dalam bidang operasi sahaja. Operasi ini bidang penguatkuasaan dan siasatan. Mula-mula saya masuk, pegawai siasatan lepas itu saya naik pangkat sebagai pegawai siasatan kanan kemudian jadi Timbalan Pengarah Negeri, Pengarah Negeri, Timbalan Pengarah Siasatan cover aseluruh Malaysia. Selepas itu saya jadi Pengarah Siasatan- habis jawatan daripada Pegawai Siasatan sampai Pengarah Siasatan- 24 tahun bidang operasi. Maknanya saya tidur, mimpi, bercakap pun cerita hal operasi sahaja.

Operasi ini hal tangkap orang, dakwa begitulah perkaitannya. Lagi 5 tahun itu saya buat pencegahan.

Dalam SPRM atau BPR ada 3 core business; penguatkuasaan, pencegahan dan pengurusan. Waktu itu saya sudah naik pangkat jadi Timbalan Ketua Pengarah Pencegahan. Jadi buat pencegahan ini ada 3 bidangnya, begitu juga dengan operasi- perisikan, siasatan dan siasatan khas. Pencegahan ini pun ada 3 bidang jugak iaitu mengenai good governance, prevention dan education atau pendidikan masyarakat. Saya sudah lakukan 2 core business ini dan di akhir perkhidmatan saya, bakinya itu saya buat pengurusan dan profesional. Jadi ketiga-tiga bidang dalam BPR ini saya telah melaksanakan tugas-tugas pencegahan rasuah ini.

Apa pengukuran rasuah ini? Kalau saya tanya awak, apa pengukuran banyak atau sikit rasuah di Malaysia ini? Orang bercakap tentang Corruption Perception Index (CPI) atau Indeks Persepsi Rasuah yang dibuat oleh Transparency International (TI) berpusat di Berlin. Cara buat indeks ini berdasarkan kepada beberapa kajian. 7 atau 8 kajian berkaitan kemudian satu lagi dalam negara kita kalau hendak tahu datanya adalah daripada SPRM atau BPR. Tangkapan SPRM atau BPR; dua data ini sahaja yang ada. Kalau kita hendak kata banyak, tangkapan SPRM ini adalah data sebenar oleh BPR ataupun SPRM. CPI pula berdasarkan kajian dan persepsi orang.

Saya tunjukkan data dari 2012 sehingga 2017. Untuk CPI 2017 belum ada kerana akan diisytiharkan sama ada awal tahun depan ataupun hujung tahun ini. Tahun 2016 diisytiharkan pada awal tahun 2017 lalu. Anda mungkin tidak faham jika tidak belajar ilmu tentang ini. CPI ada dua data, satu dipanggil skor manakala satu lagi dipanggil ranking. Skor ini markah, kalau anda di sekolah anda hendak banyak atau sikit markah?  Nilai skor lagi kecil maka tidak bagus. Kalau nombor anda hendak banyak atau sikit? Lagi sikit lagi bagus kan? Ramai cakap rata dunia tetapi tidak faham sebenarnya tapi masih bercakap tentang CPI. – HARAKAH 2/10/2017{/mprestriction}