Kekalkan kebersihan ‘Pantai Fastaqim’

pantai1

DI SEBALIK kejayaan Himpunan Fastaqim 2.0 dengan tema Hijau Menuju Kemenangan yang berakhir Sabtu lalu, unit kebersihan menjadi pelengkap sejarah yang terukir.

Advertisement

Seramai 300 orang petugas rasmi dan 100 orang sukarelawan telah menjadi jentera sejak hari pertama pada 29 September.

Ketuanya, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, operasi pembersihan yang dijalankan telah berakhir pada petang semalam.

Katanya, kerja-kerja yang dilakukakan meliputi keseluruhan tapak program termasuk laluan utama dan sekitarnya serta tandas dan longkang masjid lama Tok Jembal.

Memetik laporan Buletin Online semalam, beliau berkata, ia tersumbat kerana digunakan oleh sebahagian peserta Fastaqim 2.0 ketika hendak menunaikan solat dan berehat di situ.

Menurutnya, pihak unit kebersihan menutup operasi kebersihan petang semalam setelah  mendapati keadaan lokasi dan beberapa jalan utama ke tapak program itu betul-betul bersih malahan lebih bersih daripada sebelum Fastaqim 2.0 diadakan.

“Terima kasih pada semua petugas, sukarelawan dan semua ahli PAS yang jua turut membantu unit ini untuk kerja-kerja akhir ‘ops’ ini,” katanya.
 
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Setiu berkata, sebanyak 17 tong besar telah disewa dengan ‘RD Paper’ dan beberapa buah lori satu tan juga digunakan untuk mengangkut sampah.

Di samping itu, katanya lapan buah kenderaan pacuan empat roda digunakan sepanjang operasi pembersihan semasa dan selepas program.

Justeru, beliau berharap kebersihan ‘Pantai Fastaqim’ itu dapat dikekalkan pada masa akan datang.

“Kita harap selepas ini pengunjung dan pelancong yang hadir ke Pantai Tok Jembal untuk bersantai dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan alam sekitar sesuai dengan tuntutan Islam dan sempena Tahun Melawat Terengganu yang berlangsung tahun ini,” ujarnya.

pantai1

pantai2

pantai3

pantai4