Apakah Malaysia mahu dijadikan negara penagih arak?

okf

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendirian pesta arak BetterBeerFestival 2017 (F&B) tidak wajar diadakan di Malaysia dan pihak berkuasa perlu tegas dengan keputusan tidak meluluskan permohonan pihak penganjur.

Advertisement

MAzmi1Penganjur seolah-olah mahu menjadikan negara ini menjadi sebuah negara berimej penagihan arak.

Mengikut penganjurnya, Mybeer (M) Sdn Bhd, acara yang dikatakan dianjur setiap tahun sejak 2011 di Malaysia adalah bersamaan dengan F&B yang diadakan di Jerman atas nama Octoberfest.

Anehnya penganjur tidak melihat bahawa menganjurkannya di Malaysia sebagai suatu isu yang sensitif memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Dengan mengungkap bahawa isu keselamatan dan pematuhan semua peraturan pihak berkuasa tempatan ketika acara itu berjalan akan dipatuhi, mereka merasakan menganjurkan pesta itu sepatutnya dibenarkan.

Soalnya adakah Malaysia memerlukan acara seperti itu diadakan di negara ini? Apa manfaatnya acara minum arak secara beramai-ramai secara terbuka diadakan dalam bentuk pesta yang khusus untuk arak?

Harus diingat, kini wujud banyak gerakan anti arak di seluruh dunia. Badan Kesihatan Sedunia juga mempunyai kempen untuk membanteras ketagihan arak (alcoholism) kerana jelas membawa mudarat kepada pelbagai aspek kesejahteraan masyarakat.

Kesan kepada kesihatan, sosial, ekonomi, serta keselamatan sosial amat jelas bila masyarakat terdedah kepada ketagihan arak.

Amerika Syarikat kini mempunyai 15 juta warganya yang sudah disahkan mengalami ketagihan yang teruk. Kesannya kini dirasai merentas sosial dan ekonomi masyarakatnya.

India juga memiliki gerakan sivil yang meluas mahu membanteras ketagihan arak kerana kesannya ke atas keluarga juga sangat parah.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha untuk membantu negara-negara di seluruh dunia merangka polisi yang berkesan bagi mengatasi masalah arak dan akibat buruk dari minum arak.

Global Alcohol Policy Alliance (GAPA), sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa berusaha untuk mengatasi isu komersialisasi industri arak yang sedang membebankan kesihatan dan keselamatan sosial sesebuah negara. GAPA menggabungkan pelbagai NGO untuk bekerjasama bagi mengatasi isu ketagihan arak.

Pihak yang menyokong pesta arak yang mahu dianjurkan di Kuala Lumpur atas nama hak untuk minum arak dalam kalangan bukan Islam, hanya berdalih bahawa hak bukan Islam minum arak tidak boleh dihalang. Namun menafikan hak masyarakat untuk menolak akibat buruk dari ketagihan arak kepada kesihatan dan sosial masyarakat tidak pula diberi perhatian.

Kini Malaysia sudah menjadi antara negara yang memiliki konsumpsi arak perkapita yang tinggi. Tidak dapat dinafikan pelbagai masalah sedang dan bakal dihadapi oleh masyarakat jika ketagihan arak di negara ini menjadi fenomena dan tidak dibanteras.

Tanggungjawab pihak berkuasa adalah untuk memastikan kesihatan dan keamanan masyarakat terpelihara. Keputusan pihak berkuasa tidak meluluskan acara Beer Fest tersebut adalah wajar. Keputusan itu berdasarkan bantahan orang awam kerana acara itu dibuat secara terbuka.

Hak orang bukan Islam dibolehkan minum arak di negara ini sering dijadikan hujah, soalnya apakah hak masyarakat untuk mendapat perlindungan dari kerosakan yang dibawa oleh arak tidak boleh dipertegaskan juga? Untuk menganjurkan pesta minum arak yang mempromosi budaya dan gaya hidup minum arak sudah pasti bercanggah dengan polisi negara menjaga kesihatan masyarakat.

Kami berpendirian pihak kerajaan harus konsisten dengan dasar memelihara kesihatan rakyat dan tidak tunduk kepada pihak yang ghairah dengan promosi industri arak yang dapat meraih keuntungan besar atas kerosakan masyarakat.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim – HARAKAHDAILY 4/10/2017