Sebenarnya hanya 5 orang masuk Umno di Tendong

IMPIAN bekas pemimpin Cawangan PAS Kampung Paloh, Dun Tendong menyertai Umno sudah lama kedengaran, malah ia juga sering disebut di kedai-kedai kopi.

Advertisement

Rozi MuhamadAdun Tendong Rozi Muhamad berkata, pemimpin terbabit meluah rasa kecewa selepas gagal mendapat sesuatu daripada kerajaan negeri.

Katanya, pemimpin terbabit memberitahu orang kampung, dia mahu mengundang Pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed datang ke Tendong.

“Tindak tanduk pemimpin terbabit tidak disenangi Cawangan PAS yang dianggotainya. Ekoran itu mereka membuat mesyuarat menggantikannya dengan orang lain.

“Perbuatannya melanggar disiplin parti. Cawangan membuat keputusan awal sebelum dia mengumumkan menyertai Umno,” katanya di Pasir Mas hari ini.

Media hari ini melaporkan 50 bekas ahli PAS dari Dun Tendong menyertai Umno dan mendakwa PAS kian bercelaru dan lari daripada landasan perjuangan selepas ketiadaan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua kumpulan berkenaan diketuai Mat Zahid Junoh, 55 menyerah borang menyertai Umno Mustapa sempena Jamuan Rakyat di Kampung Paloh.

Rozi berkata, hanya sekitar lima orang keluarga bekas pemimpin itu yang dikatakan menyertai Umno dan bukan 50 orang seperti digambarkan. – HARAKAHDAILY 6/10/2017