Anak peneroka mahu Felda naik taraf rumah

DISEBABKAN tiada projek rumah generasi kedua di Felda Kemboja (Jengka 4), anak-anak peneroka tinggal di rumah usang milik Palm Industri Sdn Bhd sebagai tempat berteduh.

Advertisement

Bagaimanapun tempat generasi kedua Felda berlindung itu pula mahu dirobohkan.

Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Ustaz Roslan Md Esa berharap Felda menangguhkan hasrat untuk merobohkan rumah tersebut yang kini didiami generasi kedua.

Katanya, adalah lebih baik Felda menaik taraf rumah berkenaan dan dijadikan projek perumahan untuk generasi kedua.

“Ini kerana di Felda Kemboja tidak mempunyai projek perumahan generasi kedua seperti di tempat-tempat lain.

“Rumah tersebut boleh dijual kepada generasi kedua Felda yang sudah mendiami rumah berkenaan lebih sedekad lalu,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan generasi kedua yang menduduki rumah pekerja kilang kelapa sawit Felda Kemboja, Jengka 4, Maran.  

Difahamkan terdapat 40 rumah yang diduduki anak peneroka. Pada asalnya mereka menyewa rumah berkenaan.

Bagaimanapun selepas kilang Felda Komboja menutup operasinya, anak-anak peneroka terus tinggal di rumah terbabit. – HARAKAHDAILY 7/10/2017