Fastaqim 2.0: Impak maksimum (Vol 5/akhir)

PAS TIDAK BERSENDIRIAN

Advertisement

41. Pentas FASTAQIM 2.0 telah mempertautkan pelbagai pihak yang tampil  bersama mendukung cita-cita perjuangan PAS untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam.

42. Inilah Blok ketiga membentuk Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada gabungan parti politik, ngo dan individu yang berpengaruh. Gagasan Sejahtera kian kukuh mendepani pilihanraya umum ke 14 kelak.

GELOMBANG KEBANGKITAN ISLAM

43. Tekanan dan ancaman golongan anti Islam yang semakin memuncak dan terbuka mutaakhir ini seperti amukan Evangelist Kristian, Islam Liberal dan sebagainya tidak boleh dibiarkan. Pula ditambah dengan pelbagai aktiviti mungkar yang semakin berani dipromosi secara terbuka. Terkini ialah Pesta Arak dan Tarian Gay.

44. Keberanian musuh Islam menonjol diri mutaakhir ini adalah manifestasi daripada kelemahan dan ketiadaan kuasa politik ummat Islam yang mantap. Implikasinya, agenda Islam dipersenda dan suara Islam dianakpungutkan oleh mereka.

45. Pilihan raya ke-14 adalah turning point untuk merealisasikan lantunan 9 tahun sekali gelombang perubahan melalui pilihan raya. PRU 1990 menyaksikan gelombang Tengku Razaleigh dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang membawa kemenangan PAS di Kelantan.

46. Sembilan tahun kemudian, PRU 1999 pula berlaku gelombang Reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. PAS bukan sahaja mengekalkan kerajaan Kelantan tetapi berjaya mengambil alih kerajaan negeri Terengganu Darul Iman.

47. Sembilan tahun kemudian, PRU 2008 membawa satu lagi gelombang yang dikenali sebagai Tsunami Cina. PAS mengekalkan kerajaan di Kelantan, sementara 4 buah negeri lagi jatuh ke tangan pembangkang iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

48. Lantunan 9 tahun berikutnya ialah tahun 2017. Mudah-mudahan (Insya-Allah), kita mengharapkan pusingan ini sama ada PRU ke-14 akan berlaku pada akhir tahun 2017 atau awal 2018, kelak akan menyaksikan satu lagi gelombang dan kali ini menjadi giliran gelombang kebangkitan Islam.

ISLAM BAWA RAHMAT UNTUK SEMUA

49. Islam adalah agawa wahyu. Ia juga merupakan manifestasi dari petunjuk Allah SWT Tuhan yang mencipta manusia dan alam ini. Syariat-Nya adil dan menjadi rahmat kepada semua termasuklah pihak non muslim dan mereka yang ditindas. Hak mereka dipelihara. Nasib mereka dibela dan masa depan mereka terjamin. Islam adalah cahaya sinar buat semua pihak.

50. Fastaqim 2.0 telah menghantar isyarat yang jelas kepada seluruh rakyat agar bersikap optimis terhadap masa depan Islam. Masa depan adalah milik Islam. Gagasan Sejahtera adalah blok pilihan terbaik. Justeru itu, semarakkan Gelombang Kebangkitan Islam dan muktamadkan perubahan Sejahtera Bersama Islam melalui PRU ke 14 ini.

USTAZ NASRUDIN HASSAN
Ketua penerangan PAS Pusat
16 Muharram 1439 / 07 Okt 2017– HARAKAHDAILY 7/10/2017