Geng Motor Teh Tarik berjaya tarik ‘mat motor’

moto1

ALTERNATIVE Riding Club (ARC) Selangor dengan kerjasama ARC Tanjung Karang berjaya menganjurkan Geng Motor The Tarik Session (TTS) bertempat di pekarangan Masjid Ar-Raudhah Tanjung Karang malam tadi, bermula jam 9.00 malam hingga 11.30 malam.

Advertisement

Program ini berjaya menghimpunkan hampir 200 buah motorsikal dengan pelbagai jenis model motorsikal dari 70cc hingga 1400cc. TTS kali ini turut melibatkan beberapa kelab motor antaranya Tengkorak Bikers, GBIM Gabungan Bikers Islam Malaysia, SBG Sabak Bernam Group, Sembilang Bikers, ARC Selangor dan anak-anak muda sekitar Tanjung Karang.

TTS disajikan dengan teh tarik dan roti canai sambil sembang santai motor yang menampilkan bersama otai-otai permotoran seperti Saudara Awie yang merupakan Pengurus (LLRKS) Litar Lummba Rakyat Kuala Selangor, Ustaz Zamri Mantop TV9 Mari Mengaji yang merupakan seorang bikers dan Ustaz Ahmad Nazri, Naqib ARC Malaysia.

Di antara initipati yang dapat dikongsikan oleh Saudara Awie sepanjang beliau dan pasukan beliau menganjurkan perlumbaan bersiri King of 2T di LLRKS ialah beliau menceritakan pengalaman para pelumba merasakan satu kelainan di LLRKS dengan berkumandangnya azan di litar dan solat secara berjamaah serta diisi dengan tazkirah oleh ustaz jemputan.

Menurut Ustaz Zamri Zainuldin yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjung Karang merangkap Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor turut mengingatkan kepada para bikers agar setiap golekan tayar motor itu memberikan pahala kepada penunggang tersebut. Dengan motosikal, ia juga boleh mengeratkan ukhuwwah di antara para bikers yang lain dan dengan motosikal juga boleh menyampaikan dakwah risalah Islam.

TTS diserikan juga dengan cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir. Hadiah yang disediakan seperti Sport Rim GTO RXZ, helmet, tayar dan pelbagai lagi barang-barang keperluan motor. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim sekali gus merasmikan program TTS Geng Motor. Program ini juga mendapat sokongan penuh daripada (MDKS) Majlis Daerah Kuala Selangor dengan kehadiran Ahli Majlis, Saudara Jaafarudin Sheikh Daud.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Masjid Ar-Raudhah Tanjung Karang dengan sokongan penuh Nazir Masjid iaitu Cikgu Ishak Pilos. Aktiviti bermula dari waktu pagi seperti membersihkan kubur bersama Jabatan Amal Malaysia Kawasan Tanjung Karang dan pada waktu petang, program servis minyak motor 4T percuma kepada penduduk dan jamaah masjid yang hadir. Mereka juga turut serta dalam aktiviti sukan memanah yang diadakan di kawasan lapang masjid.

Penganjuran program seperti ini akan diteruskan pada setiap bulan iaitu pada hari Sabtu malam Ahad minggu pertama dan akan bertukar tempat ke seluruh 22 kawasan Parlimen di dalam negeri Selangor. Tanjung Karang merupakan tempat yang kedua penganjurannya yang mana sebelum ini dibuat di Kapar dan insya Allah pada bulan hadapan akan dilaksanakan di Gombak pula.

Program ini akan dijadikan sebagai platform kepada ARC Selangor untuk lebih menjiwai aktiviti permotoran dan berukhuwah bersama sahabat permotoran dari kelab-kelab lain.

Hafiz Rois
Pengarah ARC Selangor

moto1

moto3

moto5

moto4