Jika harap Persekutuan, mungkin ketinggalan 10 tahun

PEGAWAI Pesuruhjaya Bangunan (COB) dapat berfungsi cemerlang di pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor ekoran sokongan dan polisi jelas kerajaan negeri.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad tidak dinafikan COB adalah pegawai Kerajaan Persekutuan tetapi mereka hanya ditempatkan di PBT Selangor tanpa penetapan hala tuju mengenai peranan mereka.

“Kerajaan negeri banyak memperkenalkan inisiatif baru untuk menyelesaikan masalah perumahan berstrata. Jika hendak diharapkan Kerajaan Persekutuan, kita mungkin akan ketinggalan 10 tahun.

“Kita amat menghargai pegawai COB dan mereka menerima perhatian yang sama seperti pegawai kerajaan negeri.

“Contohnya tahun ini, mereka menerima bonus dua bulan gaji seperti pegawai kerajaan negeri dan bukan RM500 diterima pegawai Persekutuan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, hanya mengakui COB pegawai Persekutuan setelah melihat mereka berkhidmat cemerlang.

Menurutnya, semasa Pakatan mengambilalih Selangor pada 2008, COB bagaikan anak ayam kehilangan ibu namun kerajaan negeri menyusun semula strukturnya agar mereka dapat menjalankan tugas lebih efektif.

“Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah memainkan peranan besar sebagai COB utama.

“Jelas sekali Menteri KPKT bagaikan bapa yang lari dari tanggungjawab apabila menyerahkan anak beliau kepada orang lain dan apabila anak itu berjaya, terhegeh-hegeh mengaku itu anaknya,” katanya yang juga ADN Cempaka.