Jika Islam mentadbir

ISLAM mengikut bahasa Al-Quran daripada perkataan Al-Din, tidak mampu ditakrifkan oleh perkataan agama dan ideologi dalam bahasa lain, kerana tidak menepati kesempurnaan maksud dan objektifnya secara ilmu dan amali.

Advertisement

Islam mampu membawa perubahan yang holistik yang tidak boleh dilakukan oleh agama dan ideologi lain, kerana semua sifat dan ciri yang positif dalam skop agama dan ideologi ada di dalam Islam dan menolak semua aspek negatif daripada semua pihak. Malahan Islam itu lebih sempurna daripada kedua-duanya, kerana banyak perkara dalam Islam tidak termasuk dalam lingkungan agama dan ideologi yang diketahui umum mengikut bahasa mereka.

Maka Islam menolak teori sekularisma, Malaysian Malaysia dan cauvinis perkauman tanpa menafikan wujudnya kehidupan duniawi. Adanya kaum dan sifat kasih tehadap kaumnya adalah naluri kemanusiaan, namun sikap cauvinis boleh mencetuskan pertembungan di antara kaum, sehingga boleh merosakkan konsep Masyarakat Madani yang saksama dan menjadi naluri manusia. Tegasnya, Islam mempunyai penyelesaiannya yang tersendiri dengan konsep tanpa paksaan dalam beragama dan berbangsa.

Islam mampu membawa perubahan holistik kerana datangnya daripada Allah Pencipta Alam yang Maha Mengetahui akan fitrah manusia dan tujuan mereka diciptakan di alam dunia ini.

Firman Allah S.W.T:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠ الإسراء.

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik, serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra’: 70)

Naluri dan fitrah manusia itu bercirikan jasad, roh, akal, bersendirian (individualistik) dan hidup bermasyarakat madani. Tujuan ciptaan manusia itu adalah beribadah, berkhilafah dan beramanah. Kesemua aspek ini termasuk dalam takrif Islam secara tidak berpisah dan tidak mampu disempurnakan oleh maksud perkataan agama dan ideologi lain.

Ciri-ciri rohani dalam Islam yang tidak terpisah daripada jasad dan akal manusia adalah berwawasan kepada adanya balasan selepas kematian, bukan sahaja sekadar hukuman undang-undang negara di alam dunia semata-mata.

Ini menjadikan setiap orang tidak mengira di mana sahaja kedudukannya, sama ada dalam keluarga rumah yang kecil sehinggalah masyarakat manusia yang berkeluarga besar dalam negara dan dunia berkewajipan memelihara keharmonian dan menegakkan keadilan terhadap semua. Keadilan yang syumul merangkumi aspek politik, ekonomi dan undang-undang syariat yang dikawal oleh kuasa pemerintahan Islam yang berdaulat.

Kedaulatan negara yang hanya dipimpin oleh penganut Islam yang bertaqwa sahaja dapat mewujudkan kerajaan yang adil terhadap semua dan bersih daripada salah urus, salah laku dan tidak rasuah.

Kerajaan PAS Kelantan yang memerintah lebih dua puluh tahun, walaupun menghadapi sekatan dan himpitan kerajaan pusat dahulunya boleh bertahan sehingga kini, dengan ciri kerajaan bersih tanpa rasuah, berkonsepkan pentadbiran Islam, walaupun sekadar mempunyai bidang kuasa kerajaan negeri yang menghadapi kerajaan pusat yang mencabuli konsep federalisma mengikut Perlembagaan.

PAS kini mampu mewujudkan kepimpinan politik Islam dalam kerajaan bermula dari pelantikan calon melalui penapisan oleh Majlis Syura Ulamak dengan memastikan sifat ‘adalah (adil) mengikut istilah politik Islam, bersyaratkan seboleh-bolehnya tidak fasik, iaitu tidak melakukan dosa besar atau tidak mengekali dosa kecil, seterusnya diikat dengan Baiah dan Qasam (sumpah) mengikut Islam. Tindakan PAS mendahului cadangan terkini supaya ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam aspek mengurus ekonomi negara, Islam mengutamakan hasil bumi dan pungutan yang diwajibkan daripada rakyat yang berada di tahap kemampuan sahaja. Maka konsep cukai yang membebankan semua termasuk si miskin dan penganggur tidak digalakkan kecuali dalam keadaan darurat. Adapun pengagihannya ditetapkan berdasarkan konsep Allah dengan firman-Nya:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧ الحشر.

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad S.A.W) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa (tanpa peperangan), maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Hasyr: 7)

Sejarahnya, Islam pernah mengurus negara yang besar mencecah tiga benua dan memimpin masyarakat majmuk berbagai agama, bangsa dan budaya, telah berjaya membangunkan Tamadun Islam (Hadharah Islamiyyah) berpandukan Ilmu Wahyu (Al-Quran), Hikmah Kerasulan (Sunnah) dan ilmu duniawi yang positif daripada semua bangsa yang bernaung di bawah Kerajaan Islam.

Islam berjaya mewujudkan keamanan dan keselamatan rakyat dengan melaksanakan kehaibatan undang-undang syariat yang sukar menjatuhkan hukuman tetapi menakutkan penjenayah dan penyangak, serta mendidik masyarakat, bukannya menggunakan kekuatan undang-undang yang sering menghukum, tetapi gagal mewujudkan keamanan dan keselamatan, tanpa menakutkan penjenayah dan tidak mendidik masyarakat. Inilah maksud tawaran Allah sekiranya bersama Islam:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥ النور

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka para khalifah (pemimpin) yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang pernah berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan Al-Din mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman penjenayah dan musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah An-Nur: 55)

Islam menyanggah konsep sekularisma yang memisahkan agama daripada urusan duniawi, sama ada yang mengharamkan semua agama atau yang membenarkan agama tanpa kuasa terhadap urusan duniawi. Maka PAS tidak boleh bersama dengan mana-mana parti yang nyata sekularismanya atau yang bersikap pragmatik dan oportunis tanpa istiqamah sehingga mahu merungkai prinsip Islam atau melanggar sempadannya yang dipertahankan oleh PAS.

PAS yakin mampu memimpin negara Malaysia bermasyarakat majmuk ini, berbekalkan kontrak sosial (Perlembagaan Persekutuan Malaysia) yang telah sedia ada sekarang dengan penafsiran Islam yang sebenar tanpa meminggirkan berbagai kaum dan agama yang diwakili di masa perjuangan bersama menuntut kemerdekaan.

PAS mengajak rakyat supaya menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai asas Perlembagaan tersebut. PAS menganggapnya sebagai pengkhianat negara yang wajib disingkirkan oleh rakyat, sama ada melalui pilihan raya atau tindakan undang-undang yang berani, demi menyelamatkan negara dan rakyat.

Walaupun adanya kelemahan dalam pengurusan atau bersifat penyelewengan sekalipun, PAS menolak tindakan membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Sepatutnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 jangan diulang lagi, begitu juga ruang campurtangan asing yang berlaku di negara lain oleh pihak yang menjemput mereka hendaklah dihalang lebih awal.

PAS boleh bersabar lebih daripada setengah abad sejak negara mencapai kemerdekaan, walaupun dalam keadaan pasang sehingga berjaya memerintah negeri dan penah menyertai kerajaan pusat dan paling surut sehingga ditendang keluar daripada kerajaan dan jatuh kerajaan negeri dan tinggal satu kerusi di Parlimen laksana bertongkat paruh sahaja, namun semangat PAS seluruhnya terus mara bersama Islam.

PAS terus mempersembahkan kepada rakyat hidangan penyelesaian Islam dalam mentadbir negara. Sila lakukan penilaian terhadap semua kerajaan negeri dan pusat dengan perbandingan yang jujur dan ikhlas.

PAS terus beristiqamah bersama Islam berkonsepkan petunjuk daripada firman Allah:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣ هود

“(Oleh itu), hendaklah engkau (wahai Muhammad S.A.W) sentiasa beristiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul bersama Islam) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (112). Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (113)” (Surah Hud: 112-113)

Tegasnya PAS tetap istiqamah, berdiri dan menuju ke arah Islam tanpa berganjak, tidak melampau dan tidak tunduk kepada kezaliman, walaupun sukar dan jauh perjalanannya, kerana luas dan jauh wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Muharram 1439 / 8 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 8/10/2017