Kafir mengkafir serangan paling berbisa Tun Mahathir (BAH. AKHIR)

Adakah Orang Yang Tidak Menyertai PAS Dikira Kafir?
 
Sekali lagi, PAS adalah pendakwah bukan penghukum. PAS menggalakkan rakyat Malaysia menyertai PAS untuk menjadi sebahagian daripada jentera dakwah yang menggiatkan gerak kerja menarik sokongan masyarakat terhadap usaha-usaha memartabatkan undang-undang syariah di Malaysia. Menjadi ahli PAS bererti saling bantu membantu dan bekerjasama dalam menegakkan perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran. Ini selaras dengan anjuran al-Quran sendiri.
 
Bagi yang tidak menyertai PAS pula, PAS sangat mengharapkan sokongan mereka terhadap perjuangan PAS, terutamanya melalui kertas undi. Tiada sebab untuk PAS menuduh mereka sebagai kafir. Yang tetap tidak menyokong PAS dan menentang PAS dengan lantang pula, PAS tidak akan berhenti menerangkan kepada mereka mengenai Islam dan perundangan Islam yang syumul, menjawab kemusykilan mereka dan bersabar dengan persoalan serta ketidak-puasan hati mereka.
 
Itulah adat dalam sistem demokrasi. Mungkin suatu hari nanti mereka lebih bersedia untuk berubah. Adapun menghukum mereka sebagai kafir, bukanlah kerja PAS.
 
Sultan-sultan Sebagai Ulil Amri Yang Menjadi Ketua Islam
 
Telah termaktub dalam Perlembagaan bahawa Sultan-Sultan adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung (YDPA) pula adalah diwakilkan oleh Sultan-Sultan untuk mengetuai pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan. Oleh itu, YDPA dan Sultan-Sultan adalah ulil amri dalam urusan pentadbiran agama Islam di negara kita. YDPA dan Sultan-Sultan pula dinasihatkan oleh Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar dalam urusan berkaitan agama Islam.
 
Perbincangan berkenaan urusan agama Islam juga berlaku dalam Majlis Raja-Raja. Ada beberapa jabatan, majlis-majlis agama Islam dan mufti-mufti yang diberi tugas untuk membantu Sultan-Sultan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ketua agama Islam dalam memperkasakan agenda Islam di dalam negara kita.
 
Bagaimana pula Tun Mahathir sampai menuduh PAS ‘mengkafirkan’ Sultan-Sultan Melayu, walhal PAS mahu mendaulatkan undang-undang syariah? Sultan-Sultan pula adalah ketua agama Islam. Undang-undang yang baru diluluskan oleh Dewan-Dewan Undangan Negeri perlukan perkenan Sultan-Sultan sebelum diwartakan sebagai undang-undang. Bagaimana PAS hendak meluluskan undang-undang Islam di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri tanpa perkenan Sultan-Sultan?
 
Ini sangat tidak logik! Dan tuduhan itu pula adalah sangatlah melampau!
 
Tujuan Tun Mahathir adalah untuk menjauhkan institusi Istana daripada PAS. Namun institusi Istana mempunyai mekanisme tersendiri dalam menilai dakwaan-dakwaan. Dakwaan Tun Mahathir pada kali ini, langsung tidak diendahkan oleh Institusi Istana. Dakwaan itu tiada nilai dan fakta, hanya dipengaruhi emosi dan dendam kesumat politik semata-mata. Ini kerana institusi Istana telah lama kenal dan berurusan dengan PAS sebagai sebuah parti politik Islam sejak sebelum merdeka lagi.
 
Beberapa sumbangan PAS dalam memperkasakan undang-undang syariah di negara ini adalah merupakan satu fakta yang tidak diragui lagi. Tambahan lagi, Ke Bawah Duli-Duli Tuanku juga tentulah lebih kenal siapakah Tun Mahathir yang sebenarnya!
 
Amanat Haji Hadi dan ‘Kafir-mengkafir’
 
Yang dikatakan Amanat Haji Hadi itu telah dibincangkan oleh pelbagai pihak berkuasa agama dan ia diputuskan sebagai bukan ucapan mengkafirkan sesiapa secara tertentu (ta’yin). Ia hanyalah ucapan menerangkan tentang batas-batas iman dan kufur.
 
Tetapi Tun Mahathir tidak mahu mendengar pandangan pihak-pihak yang berautoriti dalam menilai ucapan tersebut. Beliau terus menerus menuduh PAS mengkafirkan ahli-ahli Umno kerana ucapan tersebut. Biro Agama Umno pun asyik menggunakan modal Tun Mahathir.
 
Walhal ramai sekali ahli PAS dan ahli Umno yang saling berbesan dan beripar duai sesama mereka. Jika benar PAS mengkafirkan Umno dan golongan yang tidak menyokong PAS, tentulah orang PAS hanya berkahwin sesama mereka!
 
Kalau begitu macam manalah PAS boleh menambah pengaruh untuk terus menang di Kelantan dan pernah menang di Terengganu dan Kedah?
Bukalah mata, wahai Tun! Lihatlah realiti.
 
Mentang-mentanglah ada beberapa orang PAS yang tidak pergi kenduri orang Umno, dituduhnya semua orang PAS mengkafirkan Umno! Walhal yang tak pergi kenduri itu, ada masalah-masalah peribadi tertentu dan keuzuran-keuzuran yang lain.
 
Mentaliti ini samalah seperti kes satu sekolah Tahfiz terbakar, semua tahfiz hendak disuruh tutup! Ini kerana menanam mentaliti seperti itu dapat menjauhkan orang Melayu daripada mendekati PAS. Itulah yang dikehendaki oleh Tun Mahathir.
 
Tetapi Alhamdulillah, pada hari bukan Utusan Malaysia sahaja ‘pembentuk fikiran rakyat’.
 
Menukilkan Ucapan dan ‘Amanat Tun Mahathir’
 
Di sini saya nukilkan pula petikan beberapa ucapan Tun Mahathir yang pernah menimbulkan kekeliruan terhadap agama Islam.
 
1. Pada 2 Mei 1992 di Papar Sabah Tun berucap, “Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.”
 
2. Pada 5 September 1997 di Perhimpunan Agung Umno PWTC, Tun berucap, “Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat”.
 
3. Kenyataan Mahathir kepada wartawan pada 3 Mac 1994 di Nilam Puri, Kelantan, “Hukum rejam kepada penzina adalah primitif”.
 
4. Dalam satu rakaman suara, Tun Mahathir berucap dalam Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan1997, “Sapa tau janggut Nabi macam mana? Sapa biasa tengok janggut nabi, ada gambar? Kita tak tau. Ada pulak yang kata janggut mesti sampai ke pusat. Ada yang special sikit macam tu! (ketawa). Apakah kita nak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut maka kita Islam. Kononnya Sunnah Nabi. Kita tak tau. Kita tak tau sebenarnya macam mana janggut dia (Nabi) (menahan ketawa). Di zaman itu nak cukur pun mudah ke? Dia bukan ada Gillette. Zaman nabi ada Gillette ke, tak dak. Pisau cukur pun tak dak masa tu. Jadi masalah macam mana nak cukur masa tu. Lepas itu, dia berjalan sana sini naik unta”.
 
5. Petikan ucapan Tun Mahathir daripada Berita Harian/Utusan Malaysia 11 Mei 2000, “Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain yang akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah s.w.t sahaja.”
 
Saya fikir ‘amanat-amanat Tun Mahathir’ ini yang perlu dibincang dan dikaji oleh pihak berkuasa agama. Kebanyakannya hampir sama dengan huraian Mustika Hadith terbitan Jabatan Perdana Menteri yang saya petik di atas.
 
PAS sayangkan Tun sebagai saudara se Islam. Ucapan-ucapan tersebut menyebabkan bulu roma seseorang Muslim yang belajar ilmu akidah meremang, kerana bimbangkan kemurkaan Allah SWT kepada penuturnya. PAS cuma menasihatkan Tun agar merendah diri sedikit kepada mana-mana alim ulama yang ikhlas dan berwibawa untuk memberikan komentar seputar ucapan-ucapan Tun tersebut. Jangan bimbang Tun, tidak hilang bisa si ular yang menyusur akar.
 
Kenapa kita tidak minta PAS  sahaja yang menghukum? Kerana PAS hanyalah pendakwah, bukan penghukum. PAS juga dianggap musuh oleh Tun. Kerja-kerja mengesahkan intipati ucapan, maksud dan kefahaman orang yang berucap serta menjatuhkan hukum adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Di Malaysia, jabatan mufti pun, ada kalanya mengeluarkan fatwa bahawa ajaran tertentu sebagai sesat dan terkeluar daripada agama Islam.
 
Menjawab Soalan Tun Mahathir Kepada Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim
 
Saya tolong jawabkan soalan-soalan Tun Mahathir kepada Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Ini kerana soalan-soalan tersebut adalah cukup mudah untuk dijawab oleh mana-mana ahli PAS.
 
i) Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam?
 
Jawapan: Tidak
 
ii) Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS?
 
Jawapan: Orang Melayu telah Islam sejak zaman Parameswara masuk Islam. Itu berlaku pada kurun ke 14 Masihi. Ada ahli sejarah berpandangan, orang Melayu telah Islam sejak kurun ke 13 Masihi lagi. Itu berdasarkan bukti Batu Bersurat di Terengganu.
 
iii) Apakah ibubapa orang PAS kafir kerana dilahir sebelum adanya PAS?
 
Jawapan: Soalan ini agak pelik sedikit kerana mengaitkan masuk PAS dengan masuk Islam. Tapi jawapannya, tidak. Orang Melayu telah sedia Islam sejak kurun ke 15 Masihi.
 
iv) Apakah PAS tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP?
 
Jawapan: Kerjasama politik dengan parti-parti yang dikuasai oleh non-Muslim yang masih merupakan warga negara Malaysia adalah dibuat berdasarkan pertimbangan maslahah mengikut kaedah perbicaraan hukum-hukum feqah.
 
Ada masanya, kerjasama itu dibolehkan. Ada masanya kerjasama itu diharamkan. Ia secara umimnya adalah berdasarkan kepada syarat-syarat kerjasama. Jangan sampai bekerjasama menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal atau membahayakan nyawa dan kepentingan Ummat Islam.
 
Menjadi kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir hanya jika kerjasama itu berbentuk walak iaitu berbentuk kesetiaan tidak berbelah bagi terhadap mereka, sampai sanggup menggadaikan syariat. Kerjasama dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syara’, tidak menjadikan seseorang itu kafir.
 
v) Mengikut PAS, Umno kafir. Jika PAS bekerjasama dengan Umno apakah PAS menjadi kafir?
 
Jawapan: Soalan ini dibina di atas premis yang salah. PAS tidak mengkafirkan ahli-ahli Umno. Hanya agenda politik PAS dan Umno ada perbezaan. Tapi, perbezaan itu bukanlah perbezaan agama.
 
vi) Amanat Hadi dakwa pemerintahan Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?
 
Jawapan: Tiada dalam yang dikatakan sebagai ‘Amanat Hadi’ itu menyebut pemerintahan Malaysia adalah kafir dan perlu diperangi dengan bersenjata sehingga syahid. Itu adalah kesimpulan melulu oleh Tun sendiri.
 
Yang ada ialah PAS menentang Umno kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, bukan kerana namanya Umno semata-mata. Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga memberikan hujah-hujah kenapa undang-undang Islam mesti ditegakkan. Golongan yang melampau di dalam menentang dan menghina undang-undang Islam diperingatkan dengan batas-batas iman dan kufur.
 
Yang tidak disebut tetapi sedia difahami ialah PAS menentang Umno di medan demokrasi, bukan di medan perang! Walaupun PAS berjuang di medan demokrasi, pemuda-pemuda tahan lasak Umno pada ketika itu sering menggunakan gaya samseng dalam menghalang kemaraan PAS.
 
Ucapan mengenai syahid adalah sebagai motivasi kepada petugas yang menghadapi kesukaran dalam perjuangan menegakkan syariat. Jangan takut dan bersabarlah. Hatta jika kita sampai terbunuh sekali pun kerana perjuangan mendaulatkan syariat, mati seperti itu adalah syahid.
 
Ya, Ustaz Tuan Ibrahim dan PAS menerima apa yang dikatakan ‘Amanat’ itu dengan kefahaman seperti ini. Bukan seperti kefahaman Tun!
 
vii) Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir?
 
Jawapan: Soalan ini sengaja ditimbulkan oleh Tun lanjutan daripada dakwaan beliau ‘Amanat Hadi’ mengkafirkan semua orang Melayu. Dakwaan Tun itu tidak benar. Jadi soalan ini, jelas tidak berbangkit sama sekali.
 
viii) Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dan 4 orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan Kerajaan kafir?
 
Ya, Ustaz Ibrahim Libya adalah syahid. Dikebumikan tanpa dimandikan dan tanpa disolatkan. Majlis Agama Islam Negeri Kedah bertanggung jawab membongkar semula kubur tersebut, jika dirasakan cara pengkebumian itu salah.
 
Tetapi sebagaimana yang kita maklum, al-Marhum Sultan Kedah Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Abdul Halim yang merupakan Penasihat kepada Majlis Agama Islam Kedah telah mencemar duli menziarahi pusara para syuhada di Parit Panjang. Bahkan Baginda berkenan menitahkan agar pusara-pusara mangsa diberikan batu-batu nisan khas.
 
Persoalannya, kenapakah Tun Mahathir sampai menghantar gerombolan tentera dan polis untuk menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim Libya dan murid-murid beliau yang berjuang dan berkempen agar syariat didaulatkan melalui medium demokrasi, iaitu dengan menyertai parti PAS dan bukannya menubuhkan pasukan tentera?
 
Lebih teruk lagi, Tun selaku Perdana Menteri pada waktu itu tidak mahu memikul tanggungjawab di atas tragedi Memali itu. Bahkan Tun membiarkan berita yang menjaja bahawa beliau tiada dalam negara pada waktu itu. Berita sebenar hanya diketahui setelah Tun Musa Hitam membongkarnya.
 
PAS benar-benar berharap RCI kes Memali akan membongkar keseluruhan penglibatan Tun Mahathir dan lain-lain terhadap mangsa-mangsa tragedi Memali yang dinafikan hak mereka untuk didengari.
 
Penutup
 
Tun Mahathir sudah mula menulis membela DAP sejak meninggalkan Umno. Tetapi tetap menghentam PAS walaupun beliau telah meninggalkan Umno. Ini kerana PAS terus beristiqamah dengan perjuangan mahu pelaksanaan syariat yang adil dan menyeluruh di dalam negara kita.
 
Jika ini bermakna sesuatu, ia bermakna dendam kesumat Tun Mahathir terhadap PAS tetap mekar dan tidak padam-padam, sama ada beliau bersama Umno-BN atau bersama PH.
 
 
USTAZ ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Kawasan Marang – HARAKAHDAILY 9/10/2017
Advertisement