Statistik dadah di sekolah membimbangkan

STATISTIK yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai 420 buah sekolah berisiko tinggi menghadapi penyalahgunaan dadah begitu membimbangkan masyarakat. Setelah gagal mencapai misi tahun 2015 bebas dadah, kini ia lebih meruncing sehingga menular ke peringkat sekolah.

Advertisement

Jumlah yang dikeluarkan itu bagaimanapun hanya ujian rambang dikalangan 36,675 pelajar, sudah pasti jumlah sebenar pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan. Masih segar diingatan bagaimana tragedi Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dilakukan oleh suspek bawah umur yang juga terlibat dengan najis dadah.

nik abduh1Terdapat dua aspek penting yang perlu diteliti dengan lebih serius oleh pihak yang bertanggungjawab, pencegahan dan pemulihan iaitu melihat bagaimana memastikan kedua-dua aspek ini mampu membina cegah rentang (deterrence) yang berkesan. Soal pencegahan termasuk juga aspek hukuman yang perlu diberikan kepada mereka yang terlibat.

Saya percaya, jika benteng agama seseorang itu lemah, maka mudah unsur-unsur negatif masuk menguasai diri seseorang. Kita dapat melihat sejauhmana kokurikulum pendidikan agama diperkasakan di sekolah-sekolah hari ini. Malangnya, pendidikan agama dijadikan perkara sampingan, kerana terlalu mengejarkan kejayaan akademik yang lain.

Saya pernah menulis satu artikel bertajuk, “Dadah dan Rasuah: Hipokrasi Kerajaan” pada 28 Ogos 2016. Kedua-duanya adalah musuh utama yang membantutkan pembangunan negara hari ini. “Penawar dan ubat sebenar bagi rasa keluh kesah menghadapi kesulitan hidup, rasa kekecewaan yang melampau, rasa tamak dan rakus mengejar kemewahan dan hilangnya rasa amanah dalam diri adalah ugama dan taqwa kepada Allah. Ia adalah penyakit-penyakit hati yang rawatannya mestilah rawatan langsung ke atas hati dan iman yang lemah”.

Unsur-unsur agama adalah tunjang kepada aspek pencegahan dan pemulihan, bukan sekadar pada fasa pemilhan semata-mata. Kerajaan perlu menilai perkara ini secara objektif dan merangka polisi-polisi yang berkesan dalam mencegah dan merawat berdasarkan pandangan agama. Sampai bila kita harus berdiam diri melihat kemungkaran yang semakin membarah dalam masyarakat hari ini.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 9/10/2017