Berpolitik bukan tempat kumpul harta

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah hari ini mengingatkan kepada semua pemimpin politik agar tidak menjadikan medan politik sebagai tempat mengumpul harta.

Advertisement

aminudin alingSaya masih mengingati pesan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ‘ kalau nak kaya jangan masuk politik, tapi kalau nak kaya pergilah berniaga’. Ini juga sesuai dengan ciri politik yang dibawa oleh PAS supaya berpolitik berteraskan prinsip dan berasakan syarak.

Situasi semasa menunjukkan ada kecenderungan ahli politik menyertai politik untuk kekayaan. Ini termasuk dari parti kerajaan atau pembangkang.

Saya ingin memuji kerajaan PAS Kelantan yang memerintah Kelantan sejak tahun 1990, sehingga kini tidak ada satu pun kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Rasuah merupakan satu malapetaka besar dalam masyarakat. Sekiranya ia berleluasa pasti akan menyebabkan penindasan. Rasuah juga boleh merosakkan apa juga sistem yang telah dibangunkan sama ada sistem pengurusan dan pentadbiran ataupun sistem kemanusiaan.

PAS Sabah mengalu-alukan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh berusaha memerangi rasuah.

PAS Sabah amat berharap agar semua ahli politik lebih utamakan pembelaan rakyat berbanding mengaut kekayaan diri.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah – HARAKAHDAILY 10/10/2017