Pembela yang dimangsakan

KEJATUHAN Abbasiyyah merupakan sejarah yang memalukan umat. Tersimpan pelbagai pengajaran akibat tersampuk penyakit leka yang berpanjangan.
 
Ejen Tatar
 
Pemerintah Tatar, Hulagu Khan berjaya menanam ejennya yang bernama Muayyidduddin al-Alqami ke dalam kerajaan Abbasiyyah dalam tempoh masa yang lama. Sehingga Alqami diberi kepercayaan sebagai orang paling kanan khalifah. Ramai yang tidak sedar hal ini kerana telah lama didoktrin agar jangan sibuk hal ancaman ke atas khilafah. Mereka diprogramkan untuk kekal lalai.
 
Petualang
 
Alqami amat dipercayai ketika itu. Namun, dia jugalah yang kerjanya memujuk khilafah agar menyerah diri beralasankan perundingan ‘win win situation’.
 
Dia sentiasa mempengaruhi khilafah supaya akur terhadap segala arahan Tatar. Kesan dari itu, kewaspadaan khilafah semakin tumpul dan tentera dibiarkan ‘lemau’ tanpa persiapan rapi.
 
Alqami juga berperanan mendedahkan data maklumat Abbasiyyah kepada Tatar. Di khalayak umum, dia dianggap sebagai orang kepercayaan dan harapan Abbasiyyah. Namun hakikatnya, dia adalah perisik Tatar.
 
Mujahiduddin Aybak dan Sulaiman Shah
 
Ketika itu, muncul insan yang sedar dengan keanehan yang berlaku ke atas Abbasiyyah. Walaupun telah terlewat, Mujahiduddin Aybak mempersiapkan tentera Abbasiyyah yang masih lagi berbaki kesedaran. Diikuti oleh Sulaiman Shah.
 
Percikan api kesedaran umat untuk bangkit berjihad merupakan signal bahaya ke atas Tatar. Api tersebut mesti segera dipadamkan.
 
Plot
 
Menyedari perkembangan tersebut, Hulagu mengarahkan Alqami agar cepat membunuh Aybak dan Sulaiman. Ketika itu, Alqami amat dipercayai dan dianggap sebagai jurucakap Abbasiyyah.
 
Lantas Alqami mewartakan bahawa Aybak dan Sulaiman bersama tentera mereka merupakan puak merbahaya yang mengancam keselamatan Abbasiyyah. Realitinya Tatar yang terancam. Sedangkan bangkitnya mereka adalah untuk melawan Tatar, semata-mata mahu membela Abbasiyyah.
 
Namun malangnya, kata-kata Alqami lebih dipercayai. Maka mereka dihukum bunuh atas tuduhan kononnya menderhaka dan memberontak. Hakikatnya merekalah hero Abbasiyyah. Hulagu puas melihat jentera Kerajaan Abbasiyyah diperalatkan untuk membunuh orangnya sendiri.
 
Kesal
 
Setelah dari tragedi tersebut, Tatar selesa menawan Abbasiyyah tanpa tentangan. Baghdad tumbang dalam keadaan bogel tanpa maruah. Kota mengalirkan darah hanyir. Pembesar-pembesar dibunuh sekaligus. Khalifah digulung dalam permaidani, kemudian dipijak hingga mati. Masing-masing menanggung akibat atas kelalaian sendiri. Sejarah yang memalukan, kebodohan dan kealpaan umat menatijahkan jatuhnya sebuah empayar yang asalnya dibanggakan maju dan berpengaruh.
 
Waspada Adalah Hikmah
 
Tercatat pada anak panah tentera Tatar, sebaris jampi politik:
 
“Sekiranya Tuhan hendak menyempurnakan takdirnya, Dia berupaya membodohkan akal orang yang sepatutnya berakal”
 
USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang – HARAKAHDAILY 10/10/2017
Advertisement