Anak muda Negeri Sembilan bakal merempat?

PEMILIKAN kediaman akan terus menjadi masalah membelengu anak muda di Negeri Sembilan, terutama pasangan baharu berumah tangga atau memulakan kerjaya, termasuk kalangan graduan. Perkara tersebut melanda ekoran harga terlalu tinggi perumahan yang rancak dibina di negeri ini, tetapi menjauhi hakikat kemampuan anak tempatan.

Advertisement

Ditambah lagi oleh keterbukaan Kerajaan Negeri Sembilan yang membina tarikan kepada umum untuk memiliki kediaman di bandar-bandar utama negeri ini. Selain kecenderungan pemaju yang sedia dimaklumi menjadikan sektor pembinaan kediaman untuk mengaut keuntungan melampau. Keadaan tersebut pula dibiarkan kerajaan tanpa kawalan sewajarnya.

Lebih memeritkan apabila institusi kewangan yang sebelum ini menawarkan pembiayaan telah mengetatkan syarat kelulusan pinjaman disebabkan faktor ekonomi semasa. Himpitan kian terasa oleh anak muda oleh kos sara hidup yang semakin mencengkam. Memungkinkan anak tempatan seakan merempat bergelandangan menjadi pelarian di negeri sendiri.

Sukar lagi mendapat Rumah Mampu Milik (RMM), tetapi banyak ‘Rumah Mampu Tengok’. Hasil tinjauan kami di Seremban 2, Bandar Sri Sendayan, Bandar Senawang, Nilai dan Bandar Baharu Nilai; rumah teres setingkat dibina bermula dari harga RM200,000. Rumah Teres dua tingkat pula antara RM500,000  hingga RM1 Juta. Manakala jenis Semi-D bermula dengan harga RM800,000 hingga RM2 juta dan jenis apartmen pula bermula dari RM350,000. Dengan harga yang diperolehi,  manakan mampu anak muda hari ini memiliki rumah idaman?

Dapatan itu seiring data Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC). Pada tahun 2015 hingga 2016, nisbah RMM berbanding keseluruhan jumlah rumah dibina hanyalah sekitar 20 hingga 30 peratus, berbanding 70 peratus untuk tahun 2008 hingga 2009. Sementara tahun 2017, nisbahnya menurun dan dianggarkan hanya 20 peratus RMM.

Anak muda merasakan, terjadinya keadaan ini adalah gara-gara kecuaian dan sikap enteng kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Hassan. Kerajaan gagal untuk menetapkan polisi yang dapat menjamin pemilikan kediaman rumah oleh rakyat Negeri Sembilan. Akhirnya, kekal mereka mendiami secara menyewa, tanpa ada pusaka untuk diwariskan kepada generasi sendiri.

Sehubungan itu, demi kepentingan masa depan, kerajaan digesa melihat semula polisi dan dasar perumahan serta penguatkuasaan yang ada. Hentikan menjadi kapitalis dan menjadikan asas kehidupan ini diliputi oleh spekulasi serta buruan kemewahan. Kerajaan mesti bertanggungjawab memastikan rakyat memiliki rumah kediaman sendiri ke arah kesejahteraan hidup.

WAN NORDIN WAN YAACOB
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan
11 Oktober 2017 | 20 Muharam 1439 –HARAKAHDAILY 11/10/2017