Manifesto PAS menjurus kebajikan rakyat – Dr Zuhdi

DALAM menawarkan manifesto PRU14 nanti  PAS memilih pendekatan membawa agenda ‘dari rakyat untuk rakyat’. Perkara ini dijelaskan oleh  Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki dalam satu wawancara dengan Wartawan Kanan Harakah, ROY RASUL bersama jurugambar FIKRY  MOHD YUSOF di pejabatnya,  Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), 28 September lalu.

Advertisement

HARAKAH: Assalamualaikum wbt. BOleh Dr jelaskan bagaimana persiapan PAS dalam merangka dan menyediakan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU)14?

DR MOHD ZUHDI MARZUKI: Terima kasih kepada Harakah kerana sudi mewawancara saya. Sebelum itu boleh saya perkenalkan dahulu manifesto PAS. Sebagaimana semua pihak maklum PAS sekarang ini di peringkat membina keyakinan rakyat. Ia selaras dengan kemampuan PAS untuk menerajui negara dan memberi kebaikan kepada rakyat melalui agenda-agenda Islam dalam pemerintahannya . Ini rentetan selepas PAS memutuskan hubungan tahalufsiasi dengan DAP dan PKR.

Sekarang ini PAS di peringkat membina keyakinan rakyat sebabnya parti ini mendapat semula semula sokongan pengundi-pengundi teras. Sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU)13 pengundi teras PAS  iaitu orangMelayu ramai yang lari daripada PAS disebabkan PAS bekerjasama dengan Pakatan Rakyat khususnya DAP. PAS sudah mendapat semula sokongan pengundi teras dan PAS masih mengekalkan pengundi-pengundi bukan Islam melalui organisasi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Mereka yang memberi sokongan kepada PAS dan mahu melihat apa yang PAS hendak bawa. Sekarang ini PAS sedang membina keyakinan rakyat terhadap PAS dan Gagasan Sejahtera secara umumnya. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Bagaimana pendekatan yang digunakan bagi membina keyakinan tersebut?

Untuk membina keyakinan rakyat itu di peringkat PAS telah ada tiga dokumen yang penting. Pertamanya, di peringkat Gagasan Sejahtera PAS mengemukakan beberapa dokumen dalam bentuk memorandum kepada kerajaan iaitu cadangan bagaimana membaiki masalah utama yang dihadapi masyarakat.

Di peringkat PAS pula mereka ada  tiga dokumen.

1. Dokumen Hijau

Dalam konsep dokomen tersebut, PAS mengemukakan cadangan-cadangan segera atau cadangan yang bersifat kontemprori mengenai masalah utama rakyat.
Dokumen hijau berkonsepkan cadangan segera PAS berdasarkan kepada agenda Islam, prinsip Islam dan juga kepada pendekatan Islam untuk menyelesaikan masalah utama yang dihadapi  rakyat.

PAS melancar dokumen ini sejak tahun lalu yakni bagaimana pendekatannya berdasar kepada kaedah Islam untuk atasi tiga masalah utama itu.
Masalah kenaikan kos sara hidup, kurang kuasa beli atas faktor penurunan harga ringgit kemudian masalah kerajaan hilang sumber pendapatan disebabkan oleh penurunan harga petrol. Jadi PAS mengemukakan beberapa penyelesaian mengikut kaedah Islam. Jadi dokumen hijau ini konsepnya PAS mengemukakan penyelesaian sementara terhadap masalah utama rakyat yang dihadapi mereka.

Kedua kita akan mengemukakan manifesto. Manifesto ini jika ikut ‘timeline’ PAS akan dikemukakan dalam bulan Oktober ini.

Mengapa bulan Oktober?

Ini kerana ia perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Syura, PAS Pusat kemudian kena bawa kepada Gagasan Sejahtera. Rasanya  tidak mungkin melepasi bulan Oktober. Itu manifesto kita. Jadi setiap menifesto itu adalah tawaran-tawaran PAS sekiranya PAS diberi kuasa memerintah.  Juga sekiranya PAS diberi peranan sebagai pembangkang utama. Sebagaimana yang kita maklum PAS mensasarkan untuk memerintah beberapa negeri dalam PRU akan datang antaranya Kelantan dikekalkan.

PAS juga  sasarkan Kedah dan Terengganu serta mensasarkan untuk mengetuai kerajaan di negeri Selangor. Sudah pasti sebagai kerajaan negeri , PAS memerlu  tawaran-tawaran  sebagai kerajaan. Adapun di peringkat persekutuan PAS sedar dengan kemampuannya iaitu Gagasan Sejahtera dan PAS khususnya belum mampu untuk perolehi majoriti di Parlimen.

Namun jika rakyat bagi, kita terima maka sasaran sebagaimana digariskan  oleh Presiden PAS,  kita mencari sebayak 40 kerusi parlimen. PAS akan menjadi parti pembangkang utama ataupun PAS akan menjadi sebagaimana istilah yang kita pakai pencatur utama politik (king maker) dalam parti politik Malaysia iaitu dengan 40 kerusi atau lebih. Jadi sebagai parti pembangkang utama atau pencatur utama sudah pasti PAS perlu menawarkan beberapa perkara kepada rakyat. Tawaran-tawaran itu disebut sebagai manifesto dan kita ada penyelesaian semasa dan ada tawaran-tawaran yang PAS kemukakan dalam pilihan raya.

WINS

Ketiganya, ialah wawasan untuk negara sejahtera iaitu dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

WINS adalah dasar-dasar tentang pemerintahan Islam yang akan dibawa oleh PAS dalam negara ini. Ia adalah lanjutan daripada beberapa dokumen lama dahulu seperti dokumen negara Islam dan dokumen negara berkebajikan.
Jadi WINS ini satu dokumen yang lebih lengkap dengan menggambarkan mengenai dasar-dasar atau polisi  PAS khususnya yang akan dibawa dalam negara ini sekiranya diberi mandat memerintah ataupun sebagai pencatur dahulu. Dasar yang terkandung dalam WINS akan mengambil masa sehingga  2051.

Mengapa lama?

Ini bermakna tempoh pelaksanaan itu sehingga Malaysia benar-benar menjadi sebuah negara Islam contoh, yang akan menjadi model negara Islam yang sejahtera, berkebajikan kepada seluruh dunia. Pelaksanaan kita jangka 2017 ataupun 2018 sehingga 2051. Ini seumpama dokumen wawasan negara dan bukan tawaran biasa tetapi ia adalah satu dasa pemerintahan.

Polisi-polisinya memenuhi semua sektor dan kita akan lihat apa dasar-dasar PAS dalam sektor pendidikan yang berkaitan dengan dasar Islam. Kemudian dasar dalam alam sekitar, pertanian, hubungan sosial jadi kita kemukakan dasar-dasar yang bersifat realistik untuk diterap dalam negara Malaysia yang berlatar belakang pelbagai. Dasar-dasar itu kita laksanakan dalam kerangka negara Malaysia iaitu sebagai negara berparlimen, negara yang mempunyai institusi raja.

Oleh sebab itu, kita mengambil masa yang panjang di mana kita menjangka ia mengambil masa untuk dilaksanakan sehingga Malaysia boleh muncul sebagai sebuah model negara Islam yang bersifat sejahtera dan harmoni, berkebajikan, demokratik dan sebagainya.

Tiga dokumen yang kita hendak kemukakan itu supaya rakyat lihat PAS sudah bersedia. Di mana kita bagi penyelesaian semasa atau mungkin akan ada  siri berikutnya. Keduanya tawaran-tawaran itu jika kita memerintah dan jika menjadi ‘king maker’, itu dasar-dasar pemerintahan yang PAS akan bawa. Insya-Allah WINS ini akan dilancarkan dalam Fastaqim nanti.
Manifesto ini sebagaimana saya sebut dalam tempoh bulan Oktober ini kita akan dikemukakan. Dokumen hijau pula kita lancarkan dan mungkin akan ada siri berikutnya.

Orang ramai sedang menunggu manifesto PAS . Hasil soal selidik manifesto yang dibuat kepada awam sebelum ini. Boleh Dr huraikan?

Sebelum ini kita buat manifesto bersifat turun ke bawah iaitu parti politik mungkin ada pemikir-pemikirnya memikirkan apakah manifesto yang perlu dikemukakan oleh PAS pada waktu itu  di mana kita cadangkan manifesto itu supaya rakyat terima. Sedangkan bukan itu yang rakyat mahu dan rakyat mungkin hendakkan perkara lain. Contohnya manifesto Pakatan Rakyat tahun 2013, saya terlibat sedikit sebanyak walaupun ada peristiwa-peristiwa yang  mengejutkan di akhir-akhir penggubalan manifesto. Manifesto itu digubal dan akhirnya tidak memenuhi kehendak rakyat.

Sebabnya banyak elemen-elemen rakyat bawahan tidak ada dalam manifesto.
Contohnya manifesto itu tidak melibatkan sektor pertanian, nelayan pekebun-pekebun kecil  dalam manifesto Pakatan Rakyat 2013 tidak ada pun isu Felda.
Isu wanita pun banyak di kesampingkan dan ini menunjukkan apabila parti politik merangka sesuatu tawaran mereka hanya berfikir sendiri tanpa mengambil pandangan rakyat. Tawaran itu sebenarnya bukan datang dari rakyat tetapi dibuat oleh parti politik yang tidak bersandarkan hasrat rakyat. Ini salah.

Jadi kita mengambil pendekatan pada kali ini kita melakukan satu kaedah yang disebut sebagai ‘crowdsourcing’. ‘Crowdsourcing’ ini mungkin kaedah baharu sebab kaedah ini sebenarnya lebih kepada penggunaan dalam media baharu.
Dengan ada rangkaian media baharu kita minta pandangan daripada akar umbi rakyat dan pihak-pihak yang berkepentingan . Kaedah ini sebenarnya sebelum ada media baharu pun sudah mula dilaksanakan sebelum ini. Jadi kita ambil kaedah crowdsourcing itu dengan mendapat pandangan daripada rakyat.

Apa hasrat rakyat untuk dilaksanakan PAS.Bukan kita fikir apa rakyat perlu dan ini satu pendekatan yang tidak tepat.

Sejak bila PAS menjalankan kaedah ini?

Pembinaan manifesto PAS ini bermula sejak dua tahun lepas iaitu dengan kita mengumpul pandangan-pandangan daripada rakyat melalui NGO-NGO yang mewakili mereka. PAS terlibat secara bersama dengan NGO-NGO yang menganjurkan Kongres Rakyat.

Dalam Kongres Rakyat itu PAS bersama NGO-NGO menganjurnya dengan tujuan untuk memberi ruang kepada rakyat, NGO-NGO dan tokoh-tokoh menyuarakan tentang apa sebenarnya masalah yang dihadapi rakyat. Pada September 2015 Kongres Rakyat dilancarkan di peringkat nasional iaitu di Shah Alam, Selangor. Kemudian bergerak ke negeri-negeri termasuk Kedah sehingga ke Sabah dan Sarawak.
Ini membawa maksud kita mendapat pandangan daripadaa tokoh-tokoh dan NGO seluruh negara. Ia menjadi agenda bertindak yang merupakan satu entiti tetapi bagi PAS pula kita mengambil suara-suara rakyat untuk menjadi asas kepada  pembinaan manifesto PAS. Itu peringkat pertama kita turun kepada rakyat.

Saya boleh sebut di sini maknanya kita telah mendahuli kerajaan apabila kerajaan mahu menggubal Transformasi Nasional 50 (TN50), mereka pun buat seperti kaedah PAS juga. Apa pun kita buat lebih dahulu iaitu tahun 2015  lagi. Peringkat kedua, kita berunding dengan pihak tertentu yang berkaitan dengan sektor-sektor tertentu seperti  Alam Sekitar dan Pendidikan.
Ini kita buat, antaranya melalui  lajnah-lajnah, dewan-dewan contohnya Dewan Pemuda PAS ada capaian kepada NGO-NGO dan oang muda.

Manakala Lajnah Alam Sekitar mereka ada penasihat-penasihat dan capaian dengan individu-individu yang pakar dalam alam sekitar. Kemudian lajnah ini mengumpulkan data-data maklumat tersebut dan kemuka kepada kita sebagai satu modul yang lengkap di mana antara mereka bagi satu penjelasan yang lengkap.
Apa yang perlu dilaksanakan sebagai parti Islam dalam konteks menjaga alam sekitar. Kita juga mendapat daripada NGO melalui hubungan langsung lajnah-lajnah, dewan dan sebagainya.

Jadi peringkat ketiga yang kita baharu lancarkan ini betul-betul crowdsourcing, Maknanya kita gunakan media  baharu untuk rakyat memberi respons secara langsung. {/mprestriction}