Allah sahajalah pemberi sebaik-baik balasan…

ALHAMDULILLAH! Deligasi misi kemanusiaan PASRelief bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa pimpinan PAS Pusat dan negeri telah selamat tiba ke tanah air pagi tadi, 13 Oktober 2017 jam 6.30 pagi.

Advertisement

Sepanjang misi kali ini, PASRelief telah menyampaikan sumbangan ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan penderitaan pelarian Muslim Rohingya, seperti berikut:

1. 70 buah telaga tiub (tubewell) untuk bekalan air bersih untuk minuman, mandi dan mencuci. Penaja terbesar projek ini ialah PAS Negeri Pahang yang menyumbangkan 40 buah tubewell di beberapa buah kem pelarian. Penyumbang lain adalah SABASUN HYPERrUNCIT (15 buah) dan dana yang disumbangkan oleh orang ramai melalui Tabung Kemanusiaan Antarabangsa (TKA) sebanyak 15 buah. Sebahagian besar sumbangan tubewell ini masih dalam proses pembinaan.

2. 5,000 pakej makanan asas yang mengandungi 10 kilogram (kg) beras, 1 kg minyak masak, 0.5 kg kacal dal, 0.5 kg garam dan 0.5 kg bawang dan 0.5 kg bijirin. Pakej ini memberi manfaat kepada 5,000 keluarga pelarian yang sangat terdesak akibat terputus bekalan sejak lebih sebulan lalu. Berat keseluruhan pakej makanan ini adalah kira-kira 65 tan.

3. 25 buah khemah kediaman lagi didirikan untuk diberikan khusus kepada keluarga balu (ibu tunggal) akibat suami mereka dibunuh oleh rejim Myanmar dan anak yatim pelarian Muslim Rohingya. Dalam misi pada bulan lalu, 55 buah khemah kediaman seumpama ini telah disiapkan. Antara penyumbang kediaman ini ialah KAMI dari Terengganu (11 buah) dana TKA (14 buah).

4. 15 buah sekolah (bilik darjah) didirikan untuk manfaat 600 anak-anak pelarian mendapat pendidikan sekolah rendah mengikut silibus khas yang dirangka oleh kumpulan graduan Universiti Islam Chittagong yang juga terdiri daripada anak-anak pelarian yang mendiami kem-kem ini sejak lebih 20 tahun lalu. Mereka juga akan menjadi pengelola dan tenaga pengajar di kelas-kelas tersebut. Kumpulan ini bernaung di bawah persatuan Ittihad Al-Tullab Al-Muslimeen Arakan (ITM).

5. 3 buah musolla tempat ibadah yang akan digunakan juga sebagai madrasah pengajian Al-Quran anak-anak pelarian juga disumbangkan oleh PASRelief melalui dana terkumpul peserta misi dan dana TKA. Kos setiap sebuah musolla ini adalah RM10,000 dengan keluasan 50 kaki lebar dan 75 kaki panjang menggunakan bahan-bahan asas yang didapati di daerah ini.

6. Sumbangan tunai juga diberikan kepada para pelarian yang sempat, terutama ibu-ibu dengan bayi dan orang-orang tua serta kanak-kanak yang meruntun tangan dan baju merayu bantuan.

Sumbangan wang amat sukar disampaikan kerana akan berlaku perebutan dan pergelutan untuk mendapatkan wang, yang dikhuatiri boleh mengundang kecederaan kepada mereka.

7. Keseluruhan sumbangan PASRelief dalam misi kali ini berjumlah RM362,730.00, tidak termasuk kos lain seperti pengurusan, perjalanan dan penginapan yang ditanggung sendiri oleh peserta misi.

Laporan
Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief
Ketua Operasi Misi 8-12 Oktober 2017

cx1