Malu itu iman

MALU  bertanya  sesat  jalan “. Begitulah  pepatah  Melayu  yang  begitu  sinonim  dengan  adat  kehidupan  masyarakatnya. Malu, satu  perkataan yang ringkas  dan  pendek  serta  mempunyai  makna  yang  cukup  besar  dan  cukup  bermakna  sekali. Malu  juga  mempunyai  makna yang  tersirat  dan  simbolik  bagi  sesetengah  keadaan  yang  berlaku. Maknanya  dalam  masyarakat  Melayu, perkataan  malu  mempunyai  unsur  yang  berkait  dengan  perbuatan  sesudahnya.

Advertisement

Sebelum  seseorang  itu  melakukan  sesuatu  perbuatan  yang  hendak  dilakukan,  sebaiknya  seseorang  itu  perlu  memikirkan  apakah  yang  akan  berlaku  sesudah  itu.  Apakah  natijah  selepas  melakukan  sesuatu  itu.  Apakah  baik  bagi  dirinya  dan  orang  lain  atau  buruk  bagi  dirinya  dan  orang  lain.

Kerana  hasil  sesudah  apa  yang  dilakukan  itu  yang  akan  diterima  oleh  semua  pihak  yang  terlibat. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Jika  seseorang  itu  hendak  mencari  suatu  tempat  untuk  dituju  atau  mencari  kenalan, kawan, saudara  atau  sesiapa  sahaja di mana-mana  tempat, dia  boleh  merujuk  sumber-sumber  tertentu  sebagai  panduan  atau  petunjuk. Dalam  keadaan  yang  memerlukan  ini, seseorang  itu  perlu  bertanya  sesiapa yang berkenaan.  Jika  segan  untuk  bertanya, tentu  jawapannya  tidak  akan  ditemui. Itulah  yang  dikatakan , “ malu  bertanya  sesat  jalan “.  

Itu  berlaku  pada  zaman  sebelum  adanya  peralatan  canggih  seperti  zaman  sekarang.  Zaman  langit  terbuka.  Sekarang  sudah  tidak  jadi  masalah  lagi.  Kalau  segan  untuk  bertanya  seseorang  tentang  sesuatu  perkara,  bolehlah  tanya  gajet-gajet  yang  berkaitan  jalan  atau  tempat  yang  kita  tuju  itu.  Sudah  tidak  jadi  masalah  lagi  pada  zaman  ini.  Tetapi  menurut  perspektif  dan  kacamata agama Islam, malu  merupakan  satu  perkataan  dan  perbuatan  yang  mempunyai  pengertian  dan  makna yang cukup  mendalam.

Malu  dikaitkan  dengan  iman  seseorang  itu  kepada  Allah Yang Maha  Esa. Ada orang malu  untuk  melakukan  perkara-perkara  yang baik  menurut  Islam. Malu  untuk  memakai  pakaian  mengikut  sunnah  Rasulullah  SAW. Malu  untuk  memakai  kopiah  atau  ketayap. Malu  untuk  memakai  jubah. Malu  untuk  berserban  dan  menyimpan  janggut. Malu  untuk  bertudung  labuh  dan  seumpamanya.

Malu pula untuk  menziarahi  kawan-kawan  atau  sanak  saudara.  Malu  kerana  mereka  mempunyai  kereta  besar, rumah  besar, gaji  besar, pangkat  besar, kedudukan  besar  dan  semuanya  serba  besar  berbanding  dengan  dirinya yang tidak  seperti  mereka. Ada pula orang yang malu  untuk  berinteraksi  atau  berurusan  dengan  golongan-golongan yang  serba  ‘ ada ’  dan  serba  ‘  mewah  ‘  kehidupannya.

Malu  seperti  ini  adalah  disebabkan  oleh  minda  seseorang yang memikirkannya  lebih  menjurus  kepada  pola  pemikiran  yang  berasaskan  kebendaan  atau  materialistik. Justru  itu, malunya  tadi  telah  menghalang  dirinya  dari  bergaul  dan  berinteraksi  sesama  manusia.

Batu penghalang

Malunya  itu  telah  dijadikan  batu  penghalang.  Malunya  itu  telah  menjadi  batu  pemisah. Malunya  itu  telah  menjadi  tembok  kukuh yang  memisahkan  dirinya  dengan  masyarakat  sekeliling  untuk  berinteraksi. Adakah  sikap  dan  sifat  malu  seperti  ini  perlu  ada  dalam  diri  kita  sebagai  manusia  dan  hamba Allah s.w.t ? Adakah  sikap  dan  sifat  seperti  ini  menguntungkan  umat  Islam itu  sendiri ? Persoalan-persoalan  seperti  ini  wajar  dicari  jawapan  yang  konkrit  demi  kebaikan  semua  pihak.

Begitulah  juga  sebaliknya, golongan yang berada  dan  mempunyai  kedudukan  yang tinggi  tadi  juga  malu  untuk  bergaul  dengan  mereka  yang kurang  bernasib  baik.  Malu  untuk  bergaul  dengan  mereka  yang bergaji  kecil,  kereta  kecil, rumah  kecil, pangkat  kecil  ataupun  yang hidupnya  tidak  menentu, umpama kais pagi  makan  pagi, kais petang  makan  petang.

Malu  untuk  berkawan  atau  berurusan  dengan  mereka  yang tidak  sepadan  dengan  dirinya. Malu  untuk  berinteraksi  dengan  mereka  yang  tergolong  daripada  golongan  bawahan  dan  tak  ada  kelas.

Adakah  malu  seperti  ini  perlu  dibiarkan  berakar  umbi  dalam  masyarakat Islam khususnya?  Adakah  malu  seperti  ini  perlu  dipertahankan  atau  perlu  dihapuskan ? Tepuk dada  tanyalah  iman  dan  jangan  tepuk dada Tanya  selera. Nanti  selera  akan  meracuni  pemikiran   kita. Jika  kita  biarkan,  ia  akan  memakan  diri  kita  sedikit  demi   sedikit.

Hadis  riwayat  Imam  An-Nasa’I  dari  Abu  Hurairah,   Nabi  Muhammad  SAW  bersabda:
Maksudnya: “Malu  itu  sebahagian  dari  pada  iman”.

Jika  kita  renungi  sabda  Nabi di atas, tentu  ada  pengertian yang mendalam yang menyebabkan  Nabi  bersabda  demikian. Mengapa  malu yang dimaksudkan  oleh  Nabi  mempunyai  kaitan  dengan  iman  seseorang  kepada  Allah SWT. Malu  yang  bagaimana yang dimaksudkan  oleh  baginda  Rasulullah  SAW. Malu  yang bagaimana  yang dianjurkan  oleh  baginda  untuk  diamalkan  olehumatnya?

Marilah   sama-sama  kita  mengkaji  dan  meneliti  maksud  sabda  baginda  yang berkaitan  dengan  malu. Seseorang  insan yang beriman  kepada  rukun  iman yang enam, tentu  mempunyai  perasaan  malu  jika  tidak  melaksanakan  tuntutannya.

Dia  akan  merasa  malu  kepada  Allah SWT untuk  melakukan  maksiat  dan  perkara yang sia-sia  dalam  hidupnya. Dia  malu  dan  berdosa  untuk  meninggalkan  ibadah  khusus  samaada  wajib  ataupun  sunat. Dia  malu  untuk  mengekalkan  perbuatan  dan  amalan  yang makruh  dan  sia-sia.

Malu  untuk  meninggalkan  amalan  sunnah  Nabi  SAW. Cara makan  minum  Nabi, cara  berpakaian,  cara  pergaulan  dan  cara-cara  Nabi  melakukan  ibadah  kepada  Alah SWT.

Hadis  Nabi   Muhammad  SAW  yang  diriwayatkan  oleh  Bukhari  dan  Muslim:
        
Maksudnya: “Malu  itu  baik  seluruhnya”.

Hadis  lain  yang  membawa  maksud:  “  Rasa  malu  itu  tidak  mendatangkan  kecuali  kebaikan  “.(Muttafaq  ‘Alaih  dari  Imran  bin  Hushain).

Jadi,  dia  akan  merasa  malu  jika  mengaku  kehidupan  sehariannya  menyimpang  daripada  apa  yang diamalkan  oleh  Nabi  SAW. Malu  untuk  berpakaian  tidak  senonoh. Malu  untuk  mengamalkan  kehidupan  ala  barat. Malu  untuk  hidup  secara  hipokrit  atau  pura-pura  terhadap  diri  sendiri  atau  berdepan  dengan  masyarakat. Malu  untuk  menyembunyikan  kebenaran  dan  menegakkan  kebatilan.

Malu  untuk  hidup  berfoya-foya  ke sana ke mari. Berkepit  jantan  betina  tanpa  ada  batas  sempadan  halal dan haram. Malu  untuk  membiarkan  anak-anak  melakukan  perbuatan  tidak  senonoh  dan  terkutuk  dalam  kalangan  masyarakat, apatah  lagi  terhadap  Allah SWT.

Malunya  biar  bertempat. Malunya  biar  mendapat  keampunan Allah  SWT. Bukan  kemurkaan  atau  penghinaan  dari  Allah SWT. Malunya  biarlah  menjadi  satu  ibadah  kepada  yang Maha  Pencipta.

Tidak maju

Malunya  biarlah  kerana  beriman  kepada Allah.  Malunya  biarlah  malu  yang dikatakan  sebahagian  daripada  iman. Malunya  biarlah  diikat  bersama-sama  iman  dan  taqwa  kepada  Allah SWT. Apa  yang  nak  dimalukan  jika  benar  kita  umat  Nabi  Muhammad SAW. Apa yang nak  dimalukan  jika  benar  kita  mengamalkan  sunnah  Nabi,  berpakaian, makan  minum,  berkeluarga, bermasyarakat  dan  seterusnya  bernegara  mengikut  tunjuk  ajar dari  Nabi  Muhammad  SAW.

Biarlah  golongan  yang  beranggapan  bahawa  kita  ini  tidak  maju.  Ketinggalan  zaman.  Tak  moden  dan  sebagainya.  Apa  yang  penting,  malu  kita  itu  mendapat  redha  Allah.  Disayangi  Nabi.  Mendapat  syafaat  Nabi  di  akhirat  nanti.  Kesampingkan  apa  yang  dikatakan  oleh  orang  lain.  Biarlah  orang  lain  pandang  hina  kepada  kita.  

Kan  Nabi  dah  katakan  kepada  kita  bahawa  agama  Islam  akan  kembali  dagang  setelah  datangnya  dalam  keadaan  dagang.  Maka  berbahagialah  kepada  sesiapa  yang  dagang.  Seronoklah  kita  dengan  sabdaan  Nabi  itu. Mudah-mudahan  kita  tergolong  sebagai  umatnya  yang  mendapat  syafaat  di akhirat  nanti,  Insya-Allah.  

Kesimpulannya,  kita  hendaklah  jangan  malu  untuk  melakukan  perbuatan  baik.  Tanamkan  keazaman  bahawa  kita  hendak  melakukan  perbuatan  baik.  Tetapi  sangat  malu  untuk  melakukan  perbuatan  yang  buruk.  

Kita  perlu  malu  kepada  Allah  SWT dan  malu  kepada  diri  sendiri.  Malu  apabila  melakukan  perbuatan  yang  tidak  baik  adalah  sifat  yang  terpuji.  Orang  yang  tahu  berasa  malu  adalah  orang  yang  baik.  Orang  yang  tidak  tahu  merasa  malu  adalah  orang  yang  tidak  baik.  Rasa  malu  akan  membawa  seseorang  kepada  kebaikan.  Menutup  aurat  adalah  sebahagian  daripada  rasa  malu.– HARAKAH 15/10/2017 {/mprestriction}