Bekas Puteri Umno nekad berjuang bersama PAS

BEKAS Ahli Jawatankuasa Kerja Puteri Umno Bahagian Klang, Wan Asshima Kamaruddin mendedahkan beliau memutuskan meninggalkan Umno kerana parti tersebut gagal membuktikan perjuangannya dalam memartabatkan Islam.

Advertisement

Beliau mendedahkan setelah 17 tahun aktif bersama Puteri Umno, pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Alif Ba Ta Srikandi Masyhur nekad memilih berjuang bersama PAS demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya rela lepaskan dan rela buang segalanya termasuk pangkat kerana saya yakin perjuangan ini kerana Allah. Kita lihat pada musuh kita yang satu, DAP yang mana boleh kita kongsikan pengalaman kita melihat sendiri bagaimana runtuhnya akidah dan budaya songsang yang mana mereka telah liberal.

“Secara haram mereka hidup seolah-olah menghalalkan matlamat yang haram, meminta hak perkahwinan sesama sejenis, menghasut serta memfitnah pemimpin tuan guru kita.

“Bagi siapa sahaja yang telah menghina ulamak ini seolah-olah mereka telah menghina Islam. Saya sebenarnya telah terpanggil dan rela bangkit berjuang habis-habisan demi masa depan pewaris bangsa,” katanya.

Katanya, biarpun pertubuhannya terdiri daripada puteri Umno dan juga exco, namun beliau nekad mengambil langkah mudah, biarlah yang berada di dalam pertubuhannya itu merangkumi mereka yang ingin berjuang bersamanya demi agama dan bangsa.

“17 tahun saya bersama Umno, 17 tahun juga saya bersama dengan puteri Umno dan saya sendiri menang bertanding di kawasan bahagian Klang sebagai AJK Puteri Umno Bahagian. Saya rela melepaskannya kerana bagi saya mudah sahaja, kalau kamu tidak boleh bawa Islam saya akan tinggalkan kamu,” katanya.

Wan Asshima ditemani ibunya membuat pengumuman dan menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi disaksikan oleh Ketua Dewan Muslimat Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh pada program Ceramah G-Salam 6.0 anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat, bertempat di Darul Tarbiyah, Kampung Malaysia Tambahan, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir pada program tersebut adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Mokhtar Senik, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohammad Nor Mohamad dan AJK PAS Pusat, Dr Rosni Adam. – HARAKAHDAILY 16/10/2017