Implikasi dan unjuran daripada himpunan PH 14 Okt

ALAM siber berdecak hebat dengan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menganjurkan himpunan mega mereka yang digerakkan kempen ini sejak daripada Julai tahun ini. Tempoh kempen dan mobilisasi untuk menggerak seluruh penyokong PH untuk berhimpun dan mempamerkan genderang perang PRU14 selama lebih tiga bulan adalah tempoh yang memadai. Jika tempoh yang sama digerakkan oleh pasukan mobilisasi PAS, sebagaimana terbukti sebelum ini maka 270,000 hingga 300,000 ahli akan berhimpun seperti himpunan H355 dan FASTAQIM 2.0.

Advertisement

riduan1Menarik membaca ribuan komen netizen, juga lapik alasan yang diberikan oleh pemuka-pemuka PH mengapa himpunan mega ini gagal mencapai sasaran 100,000 peserta. Dianggarkan sekitar tujuh ribu peserta yang mengambil bahagian dan sehingga menjelang Maghrib sekitar lima ribu peserta yang terpencar-pencar di padang Petaling Jaya Timur. Saya pada petang program himpunan mega ini, berkuliah Maghrib di Masjid ar Rahman Universiti Malaya, alma mater yang sinonim dengan bantahan awam dan kebangkitan gerakan pelajar. Kenderaan saya berdesut laju di aspal melalui Kerinchi Link, membelah kawasan Lembah Pantai yang berjiran dengan Petaling Jaya tanpa sebarang kesulitan. Fenomena ini berbeda jika himpunan besar diadakan oleh PAS ataupun dahulunya Pakatan Rakyat.

Di penghujung kuliah fiqh Sirah malam itu saya mengumumkan untuk ke Petaling Jaya dan sebahagian jemaah seakan mencebik dan berwajah sinis. Saya membetulkan keadaan dengan menyatakan saya akan menghadiri satu majlis liqa fikri di Petaling jaya, bukan hadir untuk berhimpun di padang. Signal sangat jelas, bagi jemaah kuliah masjid, tiada manfaat akhirat daripada perhimpunan awam yang meletakkan di atas pentas utama, tokoh-tokoh yang juga terpaling sarat dengan kroni kapitalisme dan penyakit KKN semasa berada di tampuk kekuasaan.

Saya dan pembantu saya, Faizal sekali lagi terkejut apabila jalan utama ke Petaling Jaya untuk menghadiri program liqa’ yang dianjurkan oleh PAS kawasan Petaling Jaya Selatan juga lancar tanpa apa-apa kesesakan trafik. Sangat aneh!, bagi sebuah himpunan mega empat parti komponen sebegitu meleset kehadiran. Entah mengapa malam tadi sebelum bermula program, sambil menyuap nasi berlauk ikan singgang di medan selera Kampung Medan, Petaling Jaya, cermin ingatan saya terbayang guratan sedih Haji Mohamad Sabu. Abang Mad, beberapa hari sebelum ini dalam sebuah portal berita dengan bangga menyebut PAS merindukan beliau. Saya hampir tersedak dan menambah lagi separuh pinggan nasi, saya keliru sama ada hendak ketawa atau menangis dengan kenyataan Presiden PAN itu.

Kegagalan himpunan anti kleptokrasi ini menatijahkan beberapa perkara dan menjadi bahan lelucon peminat-peminat politik tanah air. Pertama, sebelum terbarainya PR, himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk menyertainya. PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain. PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat.

PAS bukan hanya hadir meramaikan himpunan tetapi membekalkan petugas keselamatan dan disiplin iaitu anggota Jabatan Amal yang sangat berdisiplin dan mempunyai dedikasi yang tinggi. PAS dengan pasukan khas medik yang bersiaga dengan elemen kecemasan, bahkan dengan ambulansnya sendiri. Ahli-ahli PAS hadir dalam himpunan, disertakan dengan niat untuk menderma pada penganjur bagi menampung kos himpunan.

Kedua, kegagalan ini juga satu cerminan bahawa PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti untuk menjulang tema himpunan tolak klepetokrasi. Mahathir dan alumni Umnonya mempunyai bagasi sejarah silam yang tak mampu dipadamkan dengan apa jua serbuk penyental. Mereka daripada pasukan perampok negara dengan pelbagai skandal kewangan semasa di koridor kuasa. Mereka “acah-acah suci” untuk menolak kebobrokan pemerintahan Najib dan rakyat yang pernah menderita di zaman demokrasi terpimpin Dr Mahathir tak mudah melupakan senarai panjang kezaliman dan salah guna kuasa.

Begitu juga dengan pimpinan DAP yang berkuasa di Pulau Pinang, rakyat umumnya tidak mempunyai keyakinan parti bercorak etnosentrism ini bersih daripada kroni kapitalisme dan gejala rasuah. Lihat sahaja ucapan pimpinan utama DAP di pentas utama himpunan yang hanya meratib “gila” berulang kali tanpa kerangka berfikir yang mapan untuk memulihkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa. Kayak ucapan mereka, kokok berdegar-degar tetapi ekor bergelumang tahi!

Ketiga, himpunan bernuansa menunjukkan kekuatan pengaruh ini bertukar menjadi himpunan menampar ego dan maruah mereka apabila tidak berjaya menarik anak-anak muda untuk bersama. Sangat kontradik dengan himpunan FASTAQIM 2.0 dua minggu yang lepas di Tok Jembal, lebih 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latar belakang. Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan himpunan. PAS sebagai gerakan massa berjaya memicu kesedaran politik anak-anak muda termasuk perempuan muda yang agak liat mencampuri urusan politik. Maaf!, saya melihat Dapsy, Armada, Pemuda PAN dan anak muda PKR gagal menjadi titik pesona untuk merengkuh sokongan orang muda bawah 40 tahun. Mutu kepimpinan anak muda PAN dengan jurang yang luas untuk dibandingkan dengan pimpinan Dewan Pemuda PAS. Mereka pecundang Muktamar 2015, jika bertanding di peringkat Pemuda PAS kawasan pun tidak akan berjaya menang. Kompetensi, bakat, kegeniusan politik dan aura kepimpinan pemuda PAN tidak menonjol. Tiada program skala mega yang pernah mereka laksanakan di peringkat nasional atau negeri.

Keempat, pemilihan lokasi himpunan di kubu kuat PH, maka sebab itulah penganjur sangat yakin akan berjaya menghimpunkan 100,000 peserta. Petaling Jaya, berdekatan dengan Puchong, Kelana Jaya, Subang, Seputeh, Shah Alam. Jika di kawasan dikatakan kubu sekali pun tak mampu untuk mengerah ahli dan penyokong, bayangkanlah jika di kawasan tegar BN. FASTAQIM 2.0 dilaksanakan di Terengganu, negeri yang diperintah oleh Umno BN. Tidak sedikit halangan yang ditempuh oleh penganjur himpunan. Bendera PAS dicabut, dikenakan saman oleh pihak berkuasa tempatan, ada masjid yang menutup bekalan air untuk pengunjung dan pelbagai karenah BN. Namun, keazaman dan iltizam penyokong PAS berupaya mengatasi segala halangan. Paling dungu, ada seorang pemimpin PH mengatakan jika PAS mengadakan himpunan mega di Lembah Klang, maka keadaan adalah sebaliknya (tak mampu menghimpun khalayak). Mereka lupa tanggal 18 Februari lalu, 300,000 ahli dan penyokong PAS telah membanjiri Kuala Lumpur. Mereka datang sejauh Sabah dan Sarawak, juga daripada pedalaman Semenanjung seperti Sik, Baling, Hulu Besut untuk menyatakan sokongan terhadap matlamat himpunan. Mereka menyewa bas, berkonvoi dengan motosikal, bahkan ada yang mengayuh basikal bersimbah keringat sejauh 400 kilometer!

Kelima, hambarnya himpunan mega PH juga adalah terjemahan bahawa koalisi ini tidak mempunyai jentera akar umbi. Saya sangsi adakah pemuafakatan politik ini mengadakan culaan undi, kursus PACA, stimulasi pilihan raya dan pelbagai kerja untuk memenangi pilihan raya. Selama ini jentera pilihan raya PR disandarkan pada PAS, petugas PAS diatas nama arahan jamaah dan sikap setiakawan telah membantu rakan komponen PR. Kali ini jentera PAS tidak perlu memikul biawak hidup lagi, mereka boleh menghela nafas lega sambil berzikir mengingati Allah.

Keenam, himpunan mega PH ini juga menunjukkan mereka tidak berjaya menyusun dan merengkuh sokongan jaringan sivil (NGO). Kumpulan anak muda seperti SAMM dan lain-lain aktivis gerakan kiri agak menyepikan diri kali ini. Saya difahamkan, kelompok radikal tidak selesa dengan keberadaan Dr Mahathir dalam hirarki kepimpinan PH. Mana mungkin seorang yang menggunakan pelbagai akta drakonian di zaman berkuasa kini diwirakan untuk memimpin kebangkitan rakyat menentang rejim yang korup. Berbeda dengan keupayaan PAS yang berjaya mengkoordinasi ratusan NGO untuk menjayakan cita-cita perjuangan merubah kefasadan negara dengan kesejahteraan Islam.

Jika himpunan 14 Oktober yang lalu adalah nafiri peperangan, maka semua Jeneral PH bolehlah bersara dan melepaskan baton kepada pelapis baru kepimpinan, tetapi siapa lagi yang mereka ada. Perjuangan menentang rasuah, ketirisan, kroni kapitalisme mestilah digalang oleh insan yang bersih daripada semua kebejatan itu. Air kencing tak mampu menyucikan najis!, meruntuhkan jahiliah maka jangan sampai menegakkan jahiliah yang baru. Itulah hakikat tragedi Oktober, himpunan yang bakal membuka pelbagai lagi kisah kocakan dalaman rumahtangga PH. Semoga ada yang segera membuka mata melihat wayang separuh siap ini. – HARAKAHDAILY 16/10/2017

Penulis adalah Pengerusi LESTARI, mantan perusuh budiman dan demonstran tegar.