Himpunan Kleptokrasi tidak bermaya

DrAhmadFakh
ALOR SETAR: Jumlah kehadiran dalam himpunan yang dianjurkan oleh parti politik secara tidak langsung  mencerminkan kekuatan organisasi, jentera mobilisasi serta komitmen ahli sesebuah parti berkenaan.
 
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata demikian ketika mengulas himpunan Kleptokrasi anjuran sebuah parti politik baru-baru ini yang didapati tidak mencapai sasaran.
 
“Tidak perlu membandingkan himpunan berkenaan dengan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, baru-baru ini kerana kehadiran peserta dari Kedah pun mencapai 15,000 dari 200,000 yang hadir,” ujarnya.
 
Menurutnya, pengamal politik tempatan juga menyifatkan himpunan Kleptrorasi berkenaan mencerminkan tahap sokongan dan komitmen ahli-ahli politik dalam koalisi Pakatan Harapan berkedudukan kabur.
 
Bahkan jelasnya lagi, kandungan ucapan para pemimpin Pakatan Harapan dalam himpunan berkenaan lebih kepada pernyataan emosi, tidak fokus dan longlai untuk memperlihatkan kesungguhan parti berkenaan membina negara sejahtera.
 
Sehubungan itu, Dr Ahmad tidak menolak pandangan penganalisa politik tempatan mahu pun antarabangsa yang akan mengambil kira aktiviti politik parti sebagai kayu pengukur tahap kekuatan sesebuah parti itu, lebih-lebih lagi menjelang PRU14 nanti.
 
Justeru itu tambah beliau, adalah amat perlu setiap parti politik sentiasa membuat kajian untuk melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap subjek yang diperjuangkan.
 
Kata beliau lagi, PAS lebih memberi tumpuan untuk mencapai halatuju politiknya yang berpaksikan Islam sebagai pemangkin kesejahteraan ummah.
 
“Kita akan terus konsisten dengan pendekatan kesejahteraan ummah menerusi pengenalan Wawasan Induk Negara Sejahtera(WINS) 2051 yang jelas membawa kebaikan kepada semua,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 17/10/2017
 
Advertisement