Mitos Prometheus inspirasi golongan Liberalis

TERDAPAT kisah mitos lagenda Yunani yang menggambarkan bahawa konflik antara makhluk dan Tuhan sememangnya wajar. Tuhan digambarkan sebagai pembuli, manakala manusia pula adalah mangsa buli yang perlu memberontak bagi mendapatkan hak mereka.
 
Konflik Antara Tuhan dan Manusia
 
Mitos perkelahian antara Dewa Zeus dan Prometheus berpunca dari penciptaan manusia yang dianggap tidak adil. Zeus sengaja mencipta manusia dengan sifat serba lemah dan bodoh.
 
Lantas Prometheus muncul sebagai hero mengajarkan manusia tentang survival hidup. Bahkan, Prometheus sanggup mencuri cahaya syurga dari Zeus untuk menerangi kebodohan manusia. Cahaya adalah simbolik kepada ilmu.
 
Ekoran itu, Zeus merasa terancam berikutan manusia sudah terlalu pandai menyaingi dirinya selaku pencipta manusia. Maka Prometheus dihukum oleh Zeus atas kesalahan cuba membantu manusia dari terus menjadi mangsa diskriminasi Zeus.
 
’Tuhan’ Yang Berwatak Antagonis
 
Mitos ini bukan dicipta untuk suka-suka. Sebaliknya ia direka untuk mendidik manusia agar sentiasa tidak puas hati dengan Tuhan. Ia adalah doktrin yang menuduh Tuhan sentiasa membuli, sementara manusia tidak cukup menjadi manusia selagi mereka tidak melawan Tuhan.
 
Manusia Wajar Melawan Pencipta Mereka
 
Muhammad Qutb ketika mengupas akar fahaman jahiliyyah di dalam bukunya ‘Ru’yah Islamiyyah Li Ahwal al-‘Alam al-Mu’asir (Penelitian Senario Dunia Menurut Perspektif Islam), merumuskan:
 
“Mitos ini menggambarkan perasaan manusia yang seharusnya memberontak. Potensi diri manusia tidak akan berhasil melainkan mereka mesti membangkang Tuhan. Fahaman kononnya manusia wajar melawan Tuhan dan manusia tidak akan maju selagi tidak membangkang Tuhan, merupakan akar kepada kerosakan manusia zaman berzaman”
 
Iblis Liberalis Yang Pertama
 
Jika kita merujuk al-Quran, Allah telah menceritakan babak awal penciptaan Adam dengan konflik yang tercetus dari Iblis. Penulis telah menerangkan plot ini dalam tulisan yang bertajuk ‘Iblis Liberalis Yang Pertama’.
 
Secara ringkasnya, Iblis cuba meliberalkan dirinya dari Allah. Bahkan Iblis cuba meletakkan syarat kepada Allah jika mahu keluarkan perintah, biarlah rasional. Jika tidak rasional, syariat itu tidak perlu diikuti.
 
Maka Liberalisme merupakan doktrin kekufuran paling awal yang diceritakan oleh al-Quran. Disebabkan ideologi tersebutlah, Iblis menjadi Iblis.
 
Liberalisme Barat
 
Julian Huxly di dalam buku ‘Man In The Modern World’ (Manusia di Dalam Dunia Moden) mengatakan:
 
“Kisah Prometheus tetap hidup dalam jiwa orang-orang Eropah dan terus mempengaruhi perilaku manusia. Kononnya Eropah Moden adalah Sang Prometheus baharu yang membangkang autoriti Tuhan. Manusia dahulu tunduk kepada Tuhan, lantas mereka jadi lemah dan bodoh. Maka datanglah saat mereka mengambil alih autoriti dan keupayaan Tuhan, yang dahulunya mereka tidak mampu buat lantaran lemah dan bodohnya mereka. Sehingga manusia kemudiannya merasa layak, berdikari untuk menjadi Tuhan untuk diri mereka sendiri”
 
Menjawab Teka-teki
 
Jika kita amati mitos Prometheus, sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa golongan liberal sentiasa membangkang aturan dan lunas agama. Asalkan datang dari Allah, pasti mereka bangkang penuh rakus.
 
Walaupun serba dongeng lagi mengarut, rupa-rupanya mereka sangat terkesan dengan mitos Prometheus lawan Zeus. Namun hakikatnya, sikap mereka hanyalah evolusi dari fahaman yang dirintis oleh Iblis.
 
USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
Advertisement