Kerajaan Kelantan didukung anak perantau

ANAK-anak Kelantan yang berada di perantauan turut bersama mendukungi kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sehingga sekarang kerajaan negeri terus didukung anak-anak Kelantan di perantauan.

Katanya, mereka memberi cadangan dan kritikan yang membina pada program yang dianjur Unit Hubungan Seranta Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

“Anak-anak Kelantan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan bersama-sama pimpinan kerajaan negeri.

“Kita adakan program Amanat Menteri Besar dan Penyampaian Watikah Duta Anak Kelantan di enam zon membabitkan Lembah Klang, utara, selatan, Sabah, Sarawak dan pantai timur,” katanya pada sambutan ulangtahun ke-27 dasar Membangun Bersama Islam di Medan Ilmu hari ini.

Menurutnya juga pada 1 April lepas diadakan himpunan profesional anak Kelantan di Shah Alam yang dihadiri lebih 100 tokoh termasuk Tan Sri Salleh Sulong dan Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman.

“Mereka berkongsi idea untuk kebaikan kerajaan negeri. Saya berterima kasih kepada semua anak Kelantan yang sentiasa memberi sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sejak 1990 sehingga sekarang setiap agenda pembangunan difokus kepada kepentingan dunia dan akhirat.

Katanya, setiap agenda yang diketengahkan disandarkan kepada pegangan Islam.

“Kemenangan Angkatan Perpaduan Ummah pada pilihan raya umum 1990 dan pelantikan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar menjadi peristiwa penting dalam sejarah politik tanah air.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kepayahan yang terpaksa ditempuh, namun pencapaiannya dapat dilihat satu demi satu,” tambahnya.

Beliau juga berkata, dasar MBI sekarang dipertingkatkan kepada Merakyatkan MBI bagi menegakkan kepimpinan Islam.

Kata beliau kepimpinan Islam perlu bersih daripada rasuah, ketidakadilan, kerakusan dan salah urus tadbir.

Oleh itu katanya, kepimpinan di peringkat parti dan kerajaan negeri mengutamakan aspek kegiatan dakwah dalam bentuk ta’lim ke seluruh negeri.

“Kuliah-kuliah agama seumpama di Medan Ilmu diadakan di setiap jajahan dan mendapat sambutan membanggakan.

“Kita juga mempunyai jentera NGO dan sukarelawan yang mampu mengenengahkan dakwah Islam dalam masyarakat,” katanya.

Beliau juga berkata, rakyat menaruh keyakinan kepada kerajaan negeri yang tidak berkiblatkan material dan habuan keduniaan.

Menurutnya juga mereka yang terlibat dalam PAS meyakini tuntutan aqidah Islam.

“Apabila kita berada dalam parti Islam, maka kita meyakini kewajipan meneruskan legasi pemerintahan Nabi SAW dengan menegakkan kerajaan Islam.

“Imam Al-Mawardi menegaskan bahawa maksud politik yang perlu difahami ialah galang-ganti terhadap tugas kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2017