Selamat ulang tahun kelahiran ke-70 Ayah Chik

DALAM minggu ini Ayah Chik berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri beberapa program penting PAS, jadualnya tetap sibuk walaupun dinasihatkan oleh doktor untuk berehat bagi memastikan beliau pulih sepenuhnya daripada pembedahan. Namun itulah sifat sang murabbi, masa adalah sebongkah emas yang sangat berharga untuk disia-siakan, sebagai nakhoda PAS, jemaah adalah keutamaan beliau berbanding masa rehat. 14 Oktober lepas kami Jawatankuasa Pusat mengadakan usrah Qiadi bersamanya sebelum berlangsung mesyuarat PAS Pusat. Mesyuarat Pusat dengan pelbagai agenda penting untuk memacu kekuatan harakatul ummah ini di persada siasah dan dakwah. Beliau dengan guratan wajah yang gembira melihat anak-anak buah mengerah akal, berbincang dan merencanakan yang terbaik untuk memastikan PAS pada landasan yang terbaik.

Advertisement

Usai mesyuarat PAS Pusat, Tuan Guru bersama-sama veteran PAS mengadakan pertemuan khas bagi merencana arah perjalanan as-sabiqun yang akan menjadi wadah kelompok veteran jamaah berperanan dengan efektif dalam perjuangan. Haji Subky Latif sebagai Pengerusi Kelab ini sangat bersemangat untuk memastikan wadah baru PAS ini berjaya mencapai matlamat penubuhannya. Ayah Chik dengan sikapnya yang menghargai persahabatan, memberikan taujihat kepada teman-teman lamanya dalam perjuangan.

Pagi 15 Oktober pula, beliau tiba awal di KUIZM untuk acara kuliah dhuha. Petugas protokol mengiringi ke bilik tamu pejabat KUIZM untuk mengambil helaan nafas berehat namun beratur pula ibu bapa dengan bayi masing- masing untuk ditahnik. Sang murabbi ini tanpa keluh kesah terus mentahnik bayi-bayi munggil ini dan mendoakan mereka, sang bapa menarik nafas lega kegembiraan. Puas hati kerana hajat merek tercapai agar zuriat mereka didoakan oleh ulama haraki ini. Aku memotret beberapa keping gambar bayi yang ditahnik dan akhirnya petugas-petugas mengiringi beliau ke pentas kuliah dhuha perdana yang dianjurkan oleh pihak KUIZM dengan kolaborasi beberapa pihak dalam PAS. Lautan khalayak telah memenuhi dataran Taman Melewar dengan majoritinya adalah anak-anak muda yang merupakan pentaksub ilmu. Sengatan mentari pagi tidak menghalang khalayak pendengar terus berteleku mencicip mutiara-mutiara berharga daripada Tuan Guru Ayah Chik. Selama sejam kuliah berlangsung dengan kupasan menarik tentang dunia Islam masa kini, beliau meninggalkan majlis dengan senyum kepuasan melihat anak-anak muda.

Sebagai Naib Kesatuan Ulama Sedunia, jadual beliau begitu padat menyambangi seluruh belahan dunia Islam. Bermesyuarat, mengisi program, menyantuni peta luka umat Islam serta menjadi tetamu pelbagai gerakan Islam. Sebahagian besar umurnya tercurah di medan dakwah dan perjuangan, walaupun umur semakin meningkat melepasi enam dekad.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi dilahirkan pada 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, sebuah perkampungan nelayan yang terletak berhampiran Bandar Marang, Terengganu. Rusila semenjak awal abad 20 adalah pusat pengajian Islam di mana masyarakat Marang datang untuk belajar agama. Keluarga Diraja Terengganu juga datang bersolat di Masjid Rusila sehinggalah tahun 1957.

Tuan Guru Haji Hadi merupakan anak kelima daripada sembilan orang adik beradik dan dibesarkan dalam asuhan agama yang kuat daripada ayahnya sendiri. Sebelum mengenali alam persekolahan, bapanya terlebih dahulu memperkenalkannya tentang ilmu. Tuan Guru Haji Hadi memasuki alam persekolahan pada tahun 1955 di Sekolah Kebangsaan Rusila dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Agama Marang. Beliau seterusnya belajar di Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (SMUZA), sebuah sekolah agama tersohor di negeri Terengganu. Semasa di alam persekolahan, beliau juga telah menunjukkan kecenderungan terhadap politik Islam. Antara isu yang sedang menyelimuti Malaya ialah isu Konfrontasi Malaysia dengan Indonesia.

Bakat dan kecemerlangan akademiknya telah dikesan semenjak beliau di bangku persekolahan lagi di mana beliau ditawarkan dengan biasiswa Kerajaan Arab Saudi untuk menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Madinah. Universiti Madinah antara universiti Islam terbaik dunia dan syarat kemasukannya sangat ketat. Antara yang pernah bersama Tuan Guru di Madinah ialah Dato Husain Awang, Ustaz Dato Harun Taib. Kerajaan Saudi pada masa itu belum bermusuh dengan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagaimana hari ini. Ramai sarjana serta tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin diberikan tempat untuk mengajar di bumi Ar-Rasul SAW.

Beliau mencicip ilmu di kampus dan juga para masyaikh di Masjid Nabawi termasuk menganggotai usrah Ikhwanul Muslimin. Naqib beliau ialah Sheikh Said Hawwa, tokoh besar Ikhwanul Muslimin dari Syria. Kepetahannya berbahasa Arab semasa menerang geopolitik Malaysia telah menarik tokoh Ikhwan menerima beliau sebahagian daripada mereka.

Beliau telah melanjutkan pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana (MA) dalam bidang siyasah dan syariah di Universiti al-Azhar, Mesir dan tamat pengajian pada tahun 1976. Beliau mengambil kesempatan belajar di luar negara dengan belajar berkitab dengan sheikh-sheikh terkenal di Madinah dan Mesir sehingga disegani oleh pelajar-pelajar Malaysia di negara tersebut.

Latar belakang Mesir sebagai pusat Ilmu dan juga latar belakang konflik rejim dengan Ikhwanul Muslimin juga turut memberikan pengalaman berharga kepada beliau, juga bumi Madinah sebagai pertapakan negara Islam yang dipimpin oleh Nabi SAW telah menjiwai Abdul Hadi dengan citra perjuangan ‘membentuk pemerintahan Islam sebagai aqidah dan kaedah bernegara’.

Sekembalinya pada tahun 1976 daripada pemukiman ilmu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Terengganu. Dan beliau dilantik sebagai Ketua ABIM Terengganu. Namun kelincahan beliau telah menenggelamkan fungsi beliau sebagai pengerusi ABIM Terengganu. Beliau pernah menjadi Exco Dewan Pemuda PAS yang paling aktif menggerakkan program kaderisasi kepada pelajar dalam dan luar negara. Pada tahun 1977, beliau dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

Pengaruh beliau semakin membesar pada awal dekad 80-an, mengatasi Dato Asri selaku Yang Dipertua PAS, gaya pidatonya telah memukau dan menyihir hadirin dengan kupasan isu yang diselaraskan dengan ilmu Islam. Tuan Guru Haji Hadi pernah menjadi tenaga pengajar di Institut Berakan Terengganu, yang merupakan pusat pendidikan swasta yang sangat popular di Pantai Timur bahkan menjadi tempat melahirkan kader dakwah serta markas pemuda dan belia di Terengganu. Dan kemudiannya beliau sendiri telah mengasaskan Maahad Darul Quran dengan pemimpin PAS yang lain pada tahun 1985.

PAS melalui ulama muda seperti Tuan Guru Haji Hadi, telah menyusun skema pentarbiahannya kepada ahli-ahli parti. Tuan Guru Haji Hadi bukan sahaja terlibat dengan aktif di pentas politik dalam negara, bahkan juga di pentas antarabangsa. Beliau telah dilantik menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada tahun 2014 di mana Dr Yusuf al-Qardawi menjadi ketuanya. Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada umat Islam di sebelah Asia Tenggara di mana pelbagai isu besar ummat sedang berlangsung.

Tuan Guru Haji Hadi adalah sebutir mutiara yang dilahirkan dari uri gerakan Islam tersohor dunia dan telah menjadi kader dakwah yang pintar, menyesuaikan iklim pentarbiyahan Timur Tengah yang diperoleh beliau dengan iklim dan budaya masyarakat negara ini. Bermula dengan imej ulama muda dengan menggegarkan podium cermah, memecahkan PAS daripada perjuangan Islam-Melayu kepada PAS yang berdiri megah untuk semua kaum di negara ini. Kini perjuangan PAS dengan kepimpinan ulamak telah melepasi 35 tahun dengan segundang pengalaman yang pelbagai.

Dalam usia yang telah mencapai 70 tahun, beliau terus berkhidmat menjadi khadam Islam yang terus bergerak memberikan pencerahan kepada ummah tanpa lelah. Semasa berlangsung himpunan FASTAQIM 2.0 baru-baru ini, beliau kelihatan sebak melihat ke arah khalayak, mendoakan supaya harakatul ummah ini terus membimbing ummah. Selamat ulang tahun kelahiran Tuan Guru, semoga terus sihat membimbing kami dan menjadi lantera kepada perjuangan ini.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.