Kepentingan memahami politik dunia Islam masa kini

PADA pagi Ahad, 15 Oktober lalu Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memulakan siri kuliah bertajuk Dunia Islam Masa Kini, satu tajuk yang menepati keperluan gerakan Islam seperti PAS pada masa ini.

Advertisement

Dalam kuliah pengenalan pada Ahad lalu, Tuan Guru menerangkan satu isu yang telah banyak kali beliau sentuh, mengenai kepentingan mengurus perbezaan mazhab dengan ilmu, dan kepentingan ilmu yang luas dalam menangani perbezaan dalam kalangan umat Islam, dan beliau turut menegaskan pentingnya memahami sejarah fiqh dan bukan hanya mendalami fiqh. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Tuan Guru menekankan kepentingan umat Islam menyedari asas perjuangan umat yang diwariskan daripada Nabi Muhammad s.a.w., kepentingan melihat perkembangan umat dari kaca mata yang betul dan tidak dipengaruhi agenda yang merugikan.

Perkembangan dunia pada masa kini sememangnya memerlukan seluruh umat Islam, terutamanya gerakan Islam yang mengambil tanggungjawab memimpin umat, mengambil perhatian yang lebih terhadap pelbagai peristiwa yang sedang berlaku.

Ini perlu dilaksanakan dengan memahami prinsip-prinsip Islam yang telah digariskan dalam al-Quran dan Sunnah, termasuk ilmu dan kesedaran agar tidak dipengaruhi oleh pihak yang menipu atau ditipu oleh hawa nafsu sendiri.

Banyak perkembangan politik dunia Islam masa kini perlu kita tekuni dan insafi, melibatkan kuasa-kuasa yang begitu licik dan agresif menggerakkan agenda, pada masa umat Islam dalam keadaan yang lemah dan mudah tertipu.

Konflik di Syria yang telah berjalan hampir 7 tahun telah mendedahkan kelemahan umat Islam hingga menjadi mangsa dilagakan sesama sendiri hingga menarik hampir seluruh umat ke dalam konflik dan krisis yang berpanjangan.

Masalah ini diburukkan oleh kepentingan dan sentimen berpihak masing-masing, yang mendorong mereka melihat perkembangan ini dari pandangan yang berat sebelah dan menyesatkan. Bagi mereka ini, negara atau kumpulan yang mereka sokong sentiasa benar walaupun terlibat dalam kezaliman, seperti yang telah tiga tahun berlaku di Yaman, di mana puluhan ribu orang awam telah dan sedang dimangsakan.

Kuasa-kuasa dunia kini sedang giat menyusun semula aturan kuasa dunia, masing-masing bekerja keras demi kepentingan kuasa masing-masing, dan sebahagian besar negara Islam menjadi proksi atau bidak catur bagi kuasa-kuasa berkepentingan itu.

Di Mesir, penguasa sekular anti-Islam sedang mengukuhkan kuasa, bekerjasama dengan Zionis melemahkan gerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan Hamas yang di Gaza yang bersempadan Mesir.

Sekumpulan negara Arab lain pula, yang kaya dan bercita-cita tinggi sedang menggerakkan agenda yang selari dengan kepentingan musuh-musuh Islam, dengan menekan gerakan Islam dan bekerja menentang pihak yang berani berdepan dengan negara haram Israel.

Pada masa sama, India, sebuah kuasa dunia dari Asia, semakin meningkatkan kerjasama dengan Israel – yang asasnya bukan sahaja kepentingan teknologi tetapi juga berkait ideologi yang memusuhi Islam – termasuk dalam bidang pembangunan persenjataan, pada masa pesaingnya China kelihatan lebih berhubungan baik dengan dunia Islam tetapi terlibat dalam pembunuhan umat Islam Rohingya di Myanmar.

Maka amat penting umat Islam mengambil perhatian terhadap perkembangan dunia Islam pada masa kini, sebagai satu keperluan dalam memahami apa yang sedang berlaku dan untuk mengatur tindakan bagi menghadapinya. – HARAKAH 21/10/2017 {/mprestriction}