PAS komited pulihara alam sekitar

HARI Alam Sekitar Negara atau dikenali sebagai “National Environment Day” disambut pada 21- 27 Oktober setiap tahun bertujuan menyedarkan orang ramai terhadap kepentingan memelihara alam sekitar daripada kerosakan alam sekitar seperti pencemaran air,udara dan perubahan iklim bumi akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab. Sambutan peringkat peringkat kebangsaan yang dipilih pada 21 Oktober 2017 pada tahun ini menjadi inisiatif bagi meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap alam sekitar.
 
Negara-negara ASEAN telah menunjukkan kebimbangan eko sistem alam sekitar yang semakin terjejas teruk diantaranya lapisan atmosfera yang semakin menipis dan ia menyebabkan cuaca semakin panas yang mempunyai 82 titik panas (hotspot) dirantau ASEAN. Selain itu, kebimbangan besar dirasai penduduk negara kita ialah bencana banjir kilat dan lumpur yang sering berlaku akibat pembangunan yang tidak terancang , sistem saliran sungai dan tebatan banjir tidak ekfektif dan penggondolan bukit serta penebangan pokok.
 
Sempena Hari Alam Sekitar, pihak Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar(LATAS) PAS Pulau Pinang mengajak semua rakyat Malaysia membantu mengurangkan perubahan iklim dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti penjimatan pengunaan elektrik, mengurangkan penghasilan buangan dan mengasingkan sisa buangan untuk dikitar semula supaya alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan baik Mengambil slogan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini ialah “Connecting people to nature” adalah selari dengan pendekatan Islam ajarkan pada umat manusia iaitu kita hendaklah menjaga hubungan dengan alam sekitar yang juga merupakan makhluk ciptaan Allah SWT.
 
Firman-Nya yang bermaksud : 
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memperbaikinya”.[Al-A’raf : 56]
 
Berdasarkan kepada ayat di atas maka agama adalah perintah untuk beriman dan bertaqwa kepada Allah dan berbuat baik sesama makhluk. Alam sekitar adalah sebahagian daripada makhlukNya dan kita sebagai hamba yang bertaqwa dituntut melakukan kebaikan terhadap alam sekitar  Pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya juga memainkan peranan penting menjaga alam sekitar daripada berlakunya kerosakan demi kerosakan.
 
Di Pulau Pinang, bencana banjir kilat dan lumpur dilihat sering berlaku setiap kali hujan lebat  dan dianggarkan 24 kali setahun banjir kilat berlaku di Pulau Pinang menyebabkan kerosakan harta benda rakyat secara purata RM 2000 setiap rumah. Hal ini disebabkan Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menyediakan infrastruktur yang lengkap, projek tebatan banjir tidak dijalankan dengan efektif dann tidak mengawal aktiviti penggondolan bukit serta penebangan pokok. Kerajaan Persekutuan juga memainkan peranan penting untuk menyalurkan dana projek tebatan banjir secara telus dan memastikan Rancangan Tebatan Banjir(RTB) dijalankan oleh Kerajaan Negeri.  
 
Sikap menunding jari tidak menyelesaikan masalah alam sekitar , kerjasama dari pelbagai pihak diperlukan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat dan lumpur demi maslahah rakyat negeri Pulau Pinang. Pihak LATAS memandang serius masalah alam sekitar di seluruh negara serta menentang dasar kerajaan yang tidak membawa kebaikan rakyat dan kita ingin mengubah dasar pentadbiran kerajaan negeri sedia ada kepada “Dasar Mengutamakan Rakyat , Mengurangkan Politiking” yang diperkenalkan oleh PAS dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). 
 
Selain itu pihak PAS telah menyediakan langkah-langkah pencegahan awal kerosakan alam sekitar terutama bencana banjir diantaranya membina infrastruktur lengkap sebelum sesuatu projek dibangunkan, mengawal aktiviti pembalakan, penggondolan bukit serta menjalankan projek tebatan banjir. Isu Alam Sekitar menjadikan fokus penekanan 9 teras utama kenegaraan dalam fasa pertama Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang telah diumumkan pada 30 September 2017 di Fastaqim 2.0 baru-baru ini.
 
Di antara fasa pertama WINS 2051 adalah menyelesaikan masalah negara dari pebagai sudut. Oleh itu, isu Alam Sekitar menjadi fokus penyelesaian PAS  secara tidak langsung menjadikan Islam sebagai penyelasaian universal dalam apa jua masalah negara. Kejayaan memelihara dan memulihara alam sekitar memerlukan kerjasama dari semua pihak selari dengan tema Hari Alam Sekitar Negara iaitu  “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” bagi menjadikan negara sebagai ‘role model” pembangunan yang lestari dan mapan seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat. Oleh itu marilah kita menyemarakkan lagi kecintaan terhadap alam sekitar demi kesejahteraan alam sekitar dan warisan sejagat serta menyakinkan bahawa Islam adalah penyelesaian universal dalam menyelesaikan masalah negara.
 
SAIFUL LIZAN MD YUSOF
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
Advertisement