Terang Rembulan: Iktibar hijrah

Nik Abduh

1990: Hijrah Rakyat Kelantan. Bulan Muharram 1439 Hijriah yang mulia melabuhkan tirai dengan kehadiran anak bulan Safar yang penuh keberkatan. Sambutan Hijratul Rasul SAW sempena bulan pertama tahun baharu 1439H itu juga seakan berakhir.

Advertisement

Setiap awal tahun Hijriah, pada bulan Muharram, peristiwa Hijratul Rasul dari kota Makkah ke Kota Madinah akan dikumandangkan dalam majlis-majlis terutama di masjid-masjid sebagai peringatan berguna kepada umat Islam agar mereka berbangga dengan agama Islam dan kehebatan perjuangan nabi Muhammad yang menyebarkannya.

Peristiwa Hijrah al-Rasul itu dikira paling utama antara peristiwa-peritiwa besar yang berlaku yang turut menjadi batu-batu tanda di sepanjang perjalanan sirah  junjungan besar Nabi Muhammad SAW Ia mengubah perjalanan awal dakwah Islamiyah yang penuh liku dan ranjau itu. Ia adalah hijrah yang melakarkan kemenangan pertama dakwah Islamiyah ke atas dunia jahiliyah yang memeranginya sejak bertahun-tahun.

Saidina Umar r.a., khalifah Islam yang kedua memahaminya dengan sempurna. Semasa memproklamasikan kalendar baharu Islam yang bermula pada zaman pemerintahannya itu, beliau telah memilih dan menobatkan tahun peristiwa hijrah agung itu berlaku sebagai tahun pertama kalendar Islam. Maka kalendar Islam turut dinamakan sebagai tahun Hijriah.

Walaupun pilihan Saidina Umar itu telah membelakangkan 53 tahun hayat baginda al-Rasul (hijrah berlaku ketika baginda berumur 53 tahun) atau 13 tahun sejak kerasulan baginda (13 tahun berdakwah di Makkah), tetapi seluruh para sahabat membenarkannya dan melihatnya sebagai paling tepat untuk diperakui.

Segala hikmah daripada peristiwa hijrah itu diselongkar dan dilihat satu persatu selepas itu. Ia memberi gambaran yang jelas bahawa peristiwa hijrah itu adalah fasa terpenting dalam kehidupan baginda al-Rasul dan dakwahnya. Tidak syak lagi, umat Islam pada sepanjang zaman mestilah menjadikan semangat hijrah sebagai pemangkin utama kejayaan mereka di dunia, apatah lagi di akhirat nanti.

Paling utama adalah isyarat khas daripada Saidina Umar untuk difahami oleh seluruh umat Islam bahawa Islam adalah ugama kemenangan dan kejayaan. Islam dihadirkan ke dunia dengan matlamat memenangi pertarungan dan perlumbaan di dunia ini sebelum kemenangan yang hakiki di akhirat nanti.

Ketika Islam berkeadaan lemah dan ditindas selama 13 tahun berdakwah di Makkah, Saidina Umar melihatnya sebagai hanya satu mukadimah dan perjalanan awal yang mesti disudahkan dengan kekuatan dan kemenangan. Ia hanya berlaku dengan berlangsungnya peristiwa hijrah yang agung itu. Apabila Islam bebas daripada kepungan musuh dan bebas dengan kehendak sendiri, maka itulah Islam yang sempurna. Itulah Islam yang mencapai matlamat utamanya.

Paling utama adalah isyarat khas daripada Saidina Umar untuk umat Islam bahawa kemenangan Islam tidak akan berlaku tanpa perbuatan hijrah. Ia bukan hanya khas untuk al-Rasul sahaja. Bahkan para rasul terdahulu juga dipenuhi sirah hidup mereka dengan peristiwa hijrah yang membawa kemenangan kepada dakwah mereka. Hijrah adalah jejak-jejak yang melakar kemenangan demi kemenangan.

Tetapi hijrah daripada Makkah ke Madinah telah pun berakhir selepas kembalinya al Rasul ke Kota Mekah lalu membuka dan menguasainya semula. Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Makkah. Tanah Arab telah menjadi milik Islam sepenuhnya. Syaitan telah berputus asa untuk menguasai Tanah Arab sehingga kiamat sebagaimana penegasan al-Rasul. Kerosakan yang mungkin berlaku di dalamnya bukan lagi sehingga memaksa penghijrahan semula daripada Kota Makkah. Tetapi ia haruslah diselesaikan dengan restorasi dan islah sesama umat Islam di Tanah Arab itu sendiri.

Walau bagaimanapun hijrah tetap wajib dilakukan demi kemenangan akidah Islam. Apabila umat Islam tidak lagi mampu memelihara akidah Islam dan terpaksa menerima kekufuran untuk hidup di mana-mana tanah atau negara, maka mereka wajib berhijrah darinya demi keselamatan akidahnya. Mereka diberi dua pilihan iaitu samada keluar berhijrah darinya atau memilih untuk mati di bumi itu demi mempertahankan akidahnya. Kedua-duanya adalah jalan yang mustaqim demi matlamat kemenangan di dunia dan akhirat.

Hijrah Makkah-Madinah yang telah ditutup pintunya itu berganti pula dengan dua amalan utama iaitu jihad dan niat sebagaimana dipertegaskan oleh al-Rasul s.a.w. Itulah dua amalan sepanjang zaman yang akan menyamai amalan hijrah al-Rasul dan para sahabat baginda tersebut.

Ia adalah jihad mempertahankan Islam di buminya daripada dicerobohi dan dikalahkan. Ia adalah niat yang ikhlas yang sentiasa diperbaiki yang pasti akan menghijrahkan seseorang daripada kemunafikan beragama kepada keikhlasan yang benar kepada Allah. Ia adalah sama ada jihad di bumi Islam yang luas demi kekuasaan ke atas musuh agama atau dalam diri sendiri demi kekuasaan ke atas syaitan dan nafsu diri yang buruk.

Semuanya adalah semangat hijrah yang mesti tumbuh segar di dalam jiwa setiap muslim. Ia adalah semangat yang akan memindahkannya daripada kekalahan kepada kemenangan yang dimatlamatkan oleh Islam sama ada dalam diri atau dalam kehidupannya di luar. Ia sebagaimana sabda al-Rasul: “Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (meninggalkan) apa yang dilarang oleh Allah ke atasnya.” Dengan meninggalkan larangan Allah, umat Nabi Muhammad memperolehi pahala hijrah pada kadar mana penghijrahannya itu daripada perkara-perkara yang dilarang oleh ugama.

Pada tahun 1990, rakyat negeri Kelantan telah melakukan penghijrahan yang besar. Mereka sepakat memilih untuk menukar kerajaan sedia ada kepada sebuah kerajaan baharu yang bermatlamatkan Islam sebagai cara hidup. Ia adalah penghijrahan meninggalkan larangan Allah kepada ketaatan kepada-Nya dalam politik bernegara dan berpemerintahan. Sudah pasti ia adalah sebuah penghijrahan yang diberkati Allah.

Kesannya Kelantan selepas itu terus membangun bersama Islam. Bermula dengan konsep kepimpinan berilmu dan bertaqwa, kepimpinan negeri Kelantan di bawah PAS bergerak seiring dengan rakyat Kelantan memacu kemajuan negeri dengan pengajaran, nilai dan cara Islam yang sebenar.

Konsep jimat cermat dalam perbelanjaan terhadap kewangan dan perbendaharaan negeri mengambil tempat pertama. Kerajaan negeri telah berjaya menjimatkan kos sesuatu projek sehingga berkali ganda berbanding projek yang sama oleh kerajaan terdahulu di bawah BN.

Konsep kerja berteraskan ubudiyah (ibadah) mas’uliyah (tanggung jawab) dan itqan (ketekunan) diperkenalkan. Para pegawai kerajaan di semua peringkat diberi kefahaman dan rasa tanggung jawab yang tinggi bagi merealisasikannya. Ia akhirnya telah menjadi senjata ampuh bagi melawan gejala rasuah dalam pentadbiran.

Ia menjadi petunjuk yang nyata betapa tanpa nilai agama atau sifat amanah dalam berkerajaan, pembaziran dan rasuah tidak mungkin dapat dibendung dengan baik. Ia menjadi penyakit yang terus memalapkan prestasi kerajaan BN sehingga hari ini.

Kewangan negeri segera dibebaskan daripada berurusan dengan bank-bank konvensional yang berteraskan riba. Ia adalah tindakan berani yang berjaya melonjakkan kejatidirian sistem kewangan Islam, lantas membunuh mitos barat bahawa sistem kewangan riba adalah rukun utama kepada kejayaan sistem kewangan moden hari ini. Ia sebaliknya dibuktikan menjadi punca utama kepada segala kerosakan dalam sosio-ekonomi rakyat hari ini.

Sumber-sumber pendapatan daripada aktiviti haram dihapuskan. Tiada lagi pelesenan terhadap perniagaan yang berteraskan judi dibenarkan. Tiada lagi  aktiviti pelacuran dibiarkan. Manakala perniagaan yang mengandungi unsur-unsur judi dan maksiat turut disekat atau dipantau seperti pusat hiburan, kafe siber, rumah urut dan lain-lain. Ia membersihkan pendapatan kerajaan negeri agar menarik keberkatan yang melimpah ruah.

Sistem pendidikan Islam dirancakkan dan di dalam tempoh yang tidak lama, dengan sokongan kewangan, pra sarana yang ditambah baik dan pembinaan semula kurikulum, sektor pendidikan di Kelantan berjaya melonjak tinggi dan menjadi contoh sistem pendidikan terbaik dalam negara. Sehingga kini Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus berusaha memperkenalkan nilai-nilai utama Islam di dalam sistem pendidikannya.

Itulah beberapa contoh daripada beberapa sektor yang menyaksikan perubahan demi perubahan, kebaikan demi kebaikan dan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh negeri Kelantan sehingga kini.

27 tahun berlalu dan negeri Kelantan kini, di sebalik kesukaran politik yang terpaksa dilaluinya akibat sistem politik negara yang teruk, telah berjaya mewajahkan Islam sebagai model terbaik pembinaan sebuah negara. Ia menjadi contoh dan model kecil sebuah pemerintahan bersih yang terhasil daripada nilai-nilai Islam yang dipraktikkan dengan baik.

Itulah kuasa hijrah dalam agama. Ia adalah jihad yang berterusan dan niat yang ikhlas kepada Allah. Hijrah adalah kekuatan daripada keazaman beragama yang ikhlas kepada-Nya. Selamatlah Kelantan melangkah membimbing umat di medan siasah. – HARAKAH 21/10/2017