PAS beri peluang NGO bertanding PRU14

takiyuddin2

PILIHAN RAYA Umum ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan kebangkitan baru blok ketiga yang turut disertai NGO-NGO mendukungi Gagasan Sejahtera.

Advertisement

Malah NGO terbabit kemungkinan berpeluang bertanding pada pilihan raya tersebut dengan peluang diberi PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tidak dapat ditolak kemungkinan ada NGO yang bakal bertanding menggunakan lambang PAS pada PRU14.

“Mungkin juga kita memberi laluan kepada parti-parti yang berada dalam Gagasan Sejahtera,” katanya pada ceramah umum di Markas Tarbiah PAS Rantau Panjang malam tadi.

Ceramah tersebut diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-27 dasar Membangun Bersama Islam. Ceramah diadakan serentak di 14 kawasan di seluruh Kelantan.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang, Adun Bukit Tuku, Mohd Rasul Muhamad dan ketua penerangan, Zamri Yusof.

Takiyuddin juga berkata, Gagasan Sejahtera mempunyai tokoh-tokoh masyarakat yang boleh diketengahkan pada PRU 14 tidak lama lagi.

Menurutnya juga PAS mempunyai kekuatan akar umbi apabila mempunyai jentera parti di 195 kawasan daripada 222 kawasan parlimen di seluruh negara.

Katanya, di kawasan terbabit terdapat lebih 7,000 cawangan dengan keahlian sekarang menghampiri 1 juta orang.

“Purata setiap bulan kita menerima permohonan sebanyak 3,500 yang mahu menjadi ahli PAS,” katanya.

Beliau juga berkata, orang Melayu sekarang hanya mempunyai dua pilihan bagi menentukan parti yang akan mentadbir negara iaitu PAS dan Umno.

Katanya, PAS diyakini menjadi pilihan orang Melayu selepas menjarakkan diri daripada DAP yang tegar melawan Islam. – HARAKAHDAILY 22/10/2017