Musuh sengaja calarkan imej PAS

MUSUH-musuh PAS sengaja mahu mencalarkan imej parti dan pemimpinnya agar rakyat hilang keyakinan PAS bagi membawa perubahan dalam negara.

Advertisement

Justeru, kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad bahawa imej Umno yang rosak teruk itu cuba dipalitkan sama kepada PAS.

Menurutnya, usaha merosakkan imej parti itu bagi mengelakkan orang yang meninggalkan Umno pergi kepada perjuangan PAS.

“Sebab, itu baru-baru ini NST Singapura melaporkan bagaimana Dato’ Seri Najib sering menelefon Tok Guru Haji Hadi. Dia cuba hendak menggambarkan dan merosakkan hubungan, kepercayaan, keyakinan kepada PAS dengan membawa gerakan meragukan terhadap kemampuan PAS itu sendiri.

“Begitu juga dakwaan Sarawak Report yang bertujuan hendak merosakkan imej PAS supaya orang tidak memberikan keyakinan kepada PAS.

“Sebagaimana imej Umno yang pada hari ini telah rosak dengan pelbagai isu penyelewengan dan diibaratkan ‘kanser tahap empat’, peringkat akar umbi dia telah rosak dan orang (rakyat) sudah tidak boleh terima Umno.

“Mereka mahu jika orang tolak Umno pergi kepada kumpulan (parti) yang lain. Kumpulan (Islam) yang mesra dengan kumpulan Sekular.

“Mereka lebih rela PAS tidak mengetuai perubahan itu. Sarawak Report juga berperanan untuk memberikan maklumat bagi merosakkan imej PAS itu dengan fitnah dedak RM90 juta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Liqa Fikri PAS Terengganu bertajuk “PRU14 Merealisasikan Makna Pengorbanan Dalam Perjuangan” di Dewan Kompleks Tarbiyah Luqmanul Hakim, Kampung Guntong Luar, Setiu, 21 Oktober lalu.

Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata kehangatan gelombang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, semakin dekat dapat dirasai oleh rakyat

“Bila (PRU14) itu tidak tahu lagi. Ada pandangan ‘ekstrem’ pilihan raya ini bulan November depan, tetapi ada kebarangkalian berlaku begitu.

“Mungkin dia (Perdana Menteri) boleh buat selepas daripada Pembentangan Bajet 2018 ini. Dia bentang bajet, dia tabur semua ‘gula-gula, dedak, saggong’…dia bagi semua.

“Maka, selepas itu dia (Najib) bubar dan zaman Tun Dr Mahathir pernah buat tahun 1999 dahulu. Itu pandangan yang ekstrem,” ujarnya.

Namun, katanya terdapat pandangan yang kedua iaitu selepas perayaan Tahun Baharu Cina bulan Mac 2018. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Walau bagaimana pun, kata Ustaz Idris pihak PAS melalui JPP (Jabatan Pilihanraya PAS) Pusat, punya ‘countdown’ ialah pada bulan November tahun ini.

“Umno sekarang ini tengah rancak dan banyak projek-projek segera (sedang dilaksanakan). Jika di kawasan saya (Bukit Gantang) projek memperbaiki rumah diberikan kepada rakyat.

“Setiap buah rumah RM10,000 diberi segera dan dibuat melalui projek-projek turun segera. Ini ertinya, pilihan raya (PRU14) sudah pun makin dekat,” jelasnya kepada 400 hadirin Liqa Fikri tersebut.   

Menurutnya, pada pilihan raya akan datang PAS tetap akan bertanding disemua kawasan yang ditandingi oleh Umno-BN.

Penegasan itu, kata beliau sebagai bukti PAS tidak mempunyai hubungan kerjasama dengan BN menjelang pilihan raya.

“Jika ada orang kata kita (PAS) hendak bersama dengan Umno itu tidak betul. PAS akan lawan Umno-BN disemua kawasan seluruh negara.

“Di Terengganu lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) PAS akan bertanding,” tegasnya.

Hadir sama di Liqa Fikri itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Hussain Awang dan Timbalannya, Ustaz Satiful Bahri Mamat. – HARAKAH 23/10/2017 {/mprestriction}