Pemuda PAS dan bangunan Salor

SAYA membaca transkripsi ucapan Datuk Husam Musa Adun Salor tengah malam semalam selepas Pemuda PAS memacakkan bendera di sekitar bangunan yang baru kembali ke tangan PAS. Satu persatu tohmahan melalui perkataan-perkataan yang bertamadun yang dilontarkan oleh Datuk kepada Pemuda PAS, ‘tindakan keanak-anakan’, ‘tindakan kebudak-budakan’, ‘rendah akhlak, mutu dan juga pemahaman undang-undang’, ‘tak reti undang-undang, tak sabar kerana nafsu, ataupun tak ada kerja lain’, ‘begitu angkuh, begitu tebolah, begitu gopoh’, ‘nya hungga kor setan’, ‘bodoh’, ‘cow dan ‘membelakangkan undang-undang’… Barangkali itulah laras bahasa Islam Progresif Rahmatan Lil Alamin.

Advertisement

fadhli sPanas benar Datuk dengan tindakan Pemuda PAS. Takut benar sehingga terkeluar habis segala maki hamun daripada mulut seorang calon Menteri Besar tajaan Lim Kit Siang ini. Kita ingin jelaskan, kenapa Pemuda PAS mengambil tindakan untuk memacakkan bendera di luar bangunan tersebut? Dari sudut apa Datuk ingin pertikaikan hak kami, undang-undang atau akhlak?

Jika undang-undang, undang-undang manakah yang menghalang kami untuk memacakkan bendera di luar bangunan yang telah sah menjadi hak milik Badan Perhubungan PAS Kelantan melalui setiausaha kerjanya sebagai pemegang amanah itu? Geran tanah PT1039 yang cukup jelas sudah keluar dengan nama yang tidak boleh dipertikaikan lagi dari sudut kesahihan jual beli. Menurut transkripsi ucapan, “Jadi AMANAH ataupun saya akan masukkan failkan ke mahkamah, ya, kita dalam proses, kita ada satu team undang-undang, saya sengaja tidak menghebohkan perkara ini..”

Ertinya, pihak Datuk AKAN memfailkan ke mahkamah dan belum difailkan permohonan untuk mencabar kesahihan pemilikan dan jual beli. Justeru, SEHINGGA KE HARI INI, jual beli adalah sah dan pemilikan adalah sah sehingga mahkamah menentukan sebaliknya.

Ya benar, notis 30 hari telah diberikan. Dan menghormati notis itulah kami tidak menyentuh fizikal bangunan sekalipun kami selaku salah satu pihak di dalam Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan berhak untuk memasuki kawasan bangunan berkenaan. Saya mencabar Datuk, bawa sahaja kes pemasangan bendera ini ke mahkamah. Bukankah Datuk sendiri yang menyatakan bahawa PAS mempunyai wang RM90 juta dan jika tidak benar, bawa kes ini ke mahkamah. Kononnya selagi PAS tidak bergerak untuk saman, selagi itulah fitnah itu adalah benar (sedangkan Datuk tidak membantu sedikitpun Sarawak Report yang sedang terkial-kial mencari bukti RM90 juta itu).

Bagaimana jika sifir sama digunakan, bawa kes pelakuan Pemuda PAS ini ke mahkamah, selagi tidak dibawa bererti benarlah tindakan Pemuda PAS dari sudut undang-undang. Kami tidak datang dengan sumpah seranah, tidak datang dengan provokasi. Hanya sekadar memasang bendera di luar bangunan yang sudah sah menjadi milik kami. Ia jelas tidak salah sebagaimana jelasnya salah berucap melebihi jam 12.00 malam hanya untuk memaki hamun kami itu.

Jika berbincang dari sudut akhlak yang ada pihak mempersoalkannya, maka soalannya, berakhlakkah pihak yang jelas sekali mengambil alih bangunan yang dibina di atas titik peluh para penderma yang menyumbangkan infaq atas nama PAS? Mengecatnya dengan warna oren dan memasang bendera parti yang berlawanan telah menghiris hati begitu ramai pihak di dalam PAS khususnya di Salor yang berusaha membangunkan markaz ini. Pada waktu itu, berbicaralah burung-burung kakak tua ini dengan bahasa undang-undang. “Tiada apa boleh PAS lakukan, kerana tanah atas nama individu…”

Nah, ke atas kami anda berbicara dengan bahasa undang-undang. Ke atas anda, bahasa akhlak yang anda gunakan?
 
Saya juga membaca pelawaan Datuk untuk saya hadir mendengar ucapan Datuk di Parlimen Kuala Krai. Saya berterima kasih atas jemputan itu. Saya percaya ia ikhlas. Barangkali Datuk menjangka tidak ramai yang akan hadir dan memerlukan saya dan rakan-rakan untuk meramaikannya. Saya faham namun maaf, masa sangat-sangat berharga buat kami dan ia tidak berbaloi untuk mendengar celoteh Datuk.

Apatah lagi, jika pendedahan itu setaraf dengan pendedahan ‘wang milik PAS dalam Affin Bank’ atau ‘surat Mustafa Ali yang menentang UG (yang hari ini tiba-tiba sahaja Mustafa Ali menyokong rundingan)’ atau ‘Pas dan Umno tidak akan berlawan dalam pilihan raya akan datang’, lebih lagi lah untuk saya tidak mendengarnya.

Apapun, terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang datang dari jauh dan dekat menjayakan misi malam tadi. Sahabat-sahabat di Salor, sahabat-sahabat di luar, anda semualah ‘cool’. Adapun siapa sebenarnya yang tak cool, boleh cari sendiri melalui rakaman-rakaman video yang tersebar. – HARAKAHDAILY 23/10/2017