Da’i Kita latih Muslimat ke hadapan

PAYA BESAR: Program Da’i Kita anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah berlangsung dengan jayanya untuk pusingan pertama yang berakhir semalam.
 
Program musim pertama yang bermula sejak 11 September lalu itu bertujuan melatih kalangan anggota Muslimat PAS agar berani berucap di khalayak ramai.
 
Selain itu juga, penganjuran program ala realiti rancangan televisyen tersebut berusaha untuk menerapkan keyakinan diri khususnya dalam kalangan Muslimat.
 
“Usaha ini ke arah melahirkan pendakwah berpotensi dari masa ke semasa. Harapan kami akan terbentuk satu pasukan penceramah dalam kalangan Muslimat PAS.
 
“Mereka akan bertindak sebagai lidah rasmi PAS pada masa hadapan. Latihan dalam program ini diberikan dengan tajuk-tajuk seperti Ikhlas, Silaturahim, Marah, Solat dan seumpamanya.
 
“Peserta perlu membentangkannya untuk dinilai oleh juri dan seterusnya ditentukan bagi ke peringkat-peringkat seterusnya,” ujar Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Paya Besar, Kamariah Yatim.
 
Beliau juga terlibat sebagai juri tetap yang mendengar dan menilai pembentangan peserta disamping mantan Ketua Muslimat PAS Kawasan Paya Besar, Zakiah Abdullah.
 
Pusingan kedua program tersebut akan bermula 6 November depan dan pusingan pertama yang berakhir semalam itu telah berlangsung di Markas PAS, Balai Purnama, Kampung Chendering, di sini. – HARAKAHDAILY 24/10/2017
Advertisement