PAS bantu mangsa ribut di tiga daerah

MANGSA ribut di daerah Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman mendapat bantuan segera daripada pemimpin PAS.

Advertisement

Hampir 400 rumah rosak akibat bencana tersebut yang berlaku petang Ahad lepas.

Sebanyak 338 rumah di 21 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Alor Limbat, Dun Bukit Payong dan Dun Manir rosak pada kejadian tersebut.

Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha membantu mangsa digerakkan segera sejurus kejadian berlaku.

Katanya, semua lajnah-lajnah kebajikan PAS dan dewan-dewan perlu mengambil inisiatif awal membuat kutipan derma bagi membantu mangsa ribut.

“Saya telah melawat lokasi kejadian dan menyampaikan sumbangan awal kepada wakil Dun sebelum diagihkan kepada mangsa.

“Kita mengenal kenal pasti mangsa terbabit supaya tidak berlaku terlepas pandang dan sumbangan mengikut kadar kemampuan disampaikan.

“Semoga mereka yang terlibat bersabar dengan ujian yang menimpa dan berharap kerosakan yang berlaku mendapat gantian lebih baik,” ujarnya selepas melawat lokasi ribut semalam.

Hadir sama pada lawatan itu Adun Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman, Adun Manir, Ustaz Hilmi Harun dan Setiausaha Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Abdul Hadi Mohamad. – HARAKAHDAILY 24/10/2017

ribut khalil

ribut lawat