Bersama dengan pejuang, bukan lindungi petualang

KHALIL3
TUDUHAN yang dihadapkan ke atas dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) perlu dilihat sebagai lumrah bagi setiap penggerak seruan amar makruf nahi munkar. Jangan terbit istilah untuk berundur, sebaliknya harus istiqamah dan dipegang sebagai obor pembakar semangat bahawa mehnah dan tribulasi seperti itu adalah sunnatullah perjuangan.
 
Menggerakkan usaha amar makruf sesuatu yang tidak mudah, namun lebih payah lagi untuk melaksanakan misi nahi munkar. Tidak ramai yang sabar dan punya keberanian untuk berhikmah terhadap segala kezaliman dan penyelewengan. Tetapi Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM, Yusuf Azmi dan rakan-rakan beliau telah membuktikan sebaliknya.
 
Kami percaya tindakan mengheret beliau dengan dakwaan di bawah Kanun Keseksaan adalah lantaran tergugatnya para mustakbirin yang kepanasan terhadap sensitiviti dibangkitkan pihak PPIM. Mereka mahu selesa bermaharajalela dengan segala bentuk kegiatan haram dilakukan, bingkas membalasnya untuk melemah dan membantutkan peranan dilaksanakan itu.
 
Pasti Yusuf dan semua rakan beliau, serta mereka yang sepertinya akan sentiasa dihalang oleh konco-konco samseng dengan segala macam ancaman. Hal ini memerlukan pertimbangan dan penilaian pihak kerajaan terutamanya penguat kuasa untuk membela pejuang seperti Yusuf dan bukannya melindungi petualang sebagaimana didedahkan oleh pihak PPIM.
 
Kerajaan digesa untuk tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak kerana ketegasan perlu agar tidak memberi kedudukan kondusif kepada kegiatan menjurus jenayah yang dilakukan. Kami percaya Yusuf dan rakan-rakannya sedang difitnah atau diperangkap, namun yakin pihak berkuasa bertindak profesional melaksanakan proses perundangan berkaitan.
 
Kami amat berharap tidak ada sebarang motif politik disebalik pertuduhan ke atas pihak Yusuf dan menyeru beliau terus cekal setabah Nabi Yusuf A.S. Semoga nama menghiasi dirinya membawa inspirasi perjuangan Nabi Allah itu yang lebih hebat diuji dalam hidup dan perjuangannya. Sebagai solidariti, kami menawarkan khidmat pasukan peguam pemuda kepada Yusuf dan rakan beliau.
 
Kami juga menyokong seluruh usaha dari mana-mana pihak untuk mencegah kemungkaran khususnya yang berlaku di dalam negara mengikut lunas undang-undang termaktub serta diizinkan. Ia harus menjadi agenda bersama yang didokong semua pihak agar rakyat dan negara ini dapat mengecapi hakikat hidup secara maju dan sejahtera, serta bermaruah lagi dihormati.
 
 
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
25 Oktober 2017 | 5 Safar 1439 – HARAKAHDAILY 2017
Advertisement