Futsal eratkan ukhuwah anak muda PAS

PAYA BESAR: PAS Kawasan Paya Besar menerusi Urusan Pengundi Muda Dun Panching telah menganjurkan Futsal Empat Penjuru UPU Pandan Permai, di sini, semalam.
 
Kejohanan yang berlangsung mengikut format ’round robin’ tersebut menemukan empat pasukan dari dalam UPU Pandan Permai di Ferro Futsal Kuantan.
 
Pasukan Pandan 1, telah menjuarai kejohanan tersebut setelah mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dan membolot hadiah wang tunai RM100 berserta hamper.
 
Menurut pemain dari pasukan Cendering FC, Ali Abdul Rahman, 32, mereka menyertai kejohanan itu bukan memburu kemenangan semata-mata.
 
Tetapi katanya, ukhuwah yang terjalin sesama pemain dari setiap pasukan adalah lebih penting. 
 
Beliau berharap agar Dewan Pemuda PAS Kawasan Paya Besar memperbanyakkan aktiviti melibatkan anak muda terutamanya dalam program kesukanan.
 
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.
 
“Saya melihat program sukan seperti ini, dapat menyatukan kita semua terutamanya anak-anak muda. Dengan program seperti inilah kita bermain sambil menjalinkan dan mengeratkat ukhuwah.
 
“Bersukan kita akan mendapat tubuh badan yang sihat, tapi jangan dilupakan ibadah,” ujar beliau semasa merasmikan majlis penutup.
 
Ustaz Tarmizi juga berkata, anak-anak muda akan menjadi penentu PRU14 akan datang kerana golongan itu mudah mengakses segala bentuk informasi isu semasa.
 
Namun, beliau kesal kerana ramai lagi anak-anak muda di luar sana yang masih belum menunaikan tanggungjawab untuk berdaftar sebagai pengundi.
 
Terangnya, kempen-kempen supaya anak muda berdaftar sebagai pemilih akan lebih kerap dilaksanakan oleh pihak PAS Kawasan Paya Besar. – HARAKAHDAILY 25/10/2017
Advertisement