Muslimat PAS harap Bajet 2018 mesra wanita

BIARPUN secara umumnya Bajet 2017 yang bakal dibentangkan 27 Oktober ini Bajet Pilihan Raya, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPP) mahukan kerajaan tepati janji-janjinya itu.

Advertisement

Timbalan Ketuanya,  Dr Rosni Adam berharap agar bajet yang akan dibentang Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak di Parlimen nanti sebagai bajet mesra wanita.

Katanya, bajet tersebut perlu diletakkan sebagai tumpuan khusus kepada wanita.

“Memanglah kita ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tetapi masalahnya ia tertakluk kepada satu kementerian.

“Sewajarnya ia merentasi secara menyeluruh seperti masalah gender dan pekerja wanita contohnya di Kementerian Kesihatan ramai doktor wanita di sana.

“Jadi kenalah jaga kebajikan mereka dan begitu juga suri rumah, peniaga dan lain-lain,” katanya.

Oleh itu katanya, bajet kali ini kerajaan perlu tingkatkan bajet untuk semua golongan wanita.

Contohnya, beliau berkata kerajaan kena perbanyakkan lagi tempat asuhan di tempat kerja untuk memudahkan kaum ibu memantau anak mereka.

Bajet kali ini juga perlu mengambil kira untuk meningkatkan keupyaan wanita khususnya wanita yang bermasalah seperti ibu tinggal dan ibu tanggung.

“Ibu tunggal memang diberi pembelaan tetapi ibu tinggal  (ibu yang ditinggal oleh suami) ini satu masalah dan begitu ibu tanggung (ibu yang menanggung suami atau keluarga kerana sakit dan sebagainya) belum lagi diberi perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.

Selain itu katanya, aspek pendidikan kepada wanita khasnya anak-anak muda tidak boleh diabaikan dalam Bajet 2018.

Ini kerana katanya, secara umumnya pinjaman pendidikan sangat susah  diperolehi pemohon.

Katanya DMPM mahukan kerajaan memberi pembelaan kepada wanita bukan sekadar kebajikan jangka pendek tetapi hendaklah kebajikan yang berterusan. – HARAKAHDAILY 25/10/2017