Sungai Nil yang semakin terancam

SUNGAI Nil kini berhadapan dengan ancaman dari dua arah. Pertama akibat sebuah empangan besar yang sedang dibina di hulu sungai di Ethiopia dan keduanya berikutan kenaikan paras air laut sehingga menyebabkan hilir sungai diancam air masin.

Advertisement

Kedua-dua ancaman ini menganggu masa hadapan sebuah sungai yang menjadi tali hayat kepada berjuta-juta orang.

Walaupun ahli politik dan pihak media sering memperkecilkan perkara ini, tetapi penghakisan alam sekitar selalunya menjadi penyebab kepada krisis-krisis antarabangsa. Sebagai contoh penebangan hutan, hakisan dan perlindungan pertanian yang semakin berkurangan menyebabkan tercentusnya pembunuhan beramai-ramai rakyat Rwanda pada tahun 1990-an.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Kemarau yang berpanjangan pula telah menyebabkan pengeluaran pertanian berkurangan menyebabkan penduduk luar bandar berpindah ke bandar sebagai yang terjadi sebelum tercetusnya peperangan saudara di Syria. Mesir kini mungkin akan menjadi contoh terbaru, 95 juta rakyatnya berkemungkinan akan menjadi mangsa malapetaka yang akan berlaku secara perlahan-lahan akibat kegagalan menguruskan alam sekitar pada skala besar.

Ia kini berlaku di delta sungai Nil, iaitu satu kawasan rendah yang terbentang kira-kira 100 batu ke arah laut dari Kaherah. Kira-kira 45 hingga 50 juta rakyat tinggal di delta tersebut dan ini mewakili kira-kira hanya 2.5 peratus kawasan bumi Mesir yang didiami. Selebih rakyat Mesir tinggal di lembah sungai Nil itu sendiri, iaitu suatu kawasan hijau yang tirus memanjang dan diapit oleh padang pasir di kiri dan kanannya.

Kawasan tersebut mewakili satu peratus lagi kawasan di negara tersebut yang boleh didiami. Walaupun delta dan sungai tersebut telah sejak berzaman-zaman menjadi sumber kekayaan dan kekuatan Mesir tetapi kini ia diancam dari kedua-dua arah samada dari daratan mahupun lautan.

Ancaman terbaru yang berlaku adalah berikutan pembinaan satu empangan besar yang dijadualkan akan disiapkan tahun ini di hulu sungai Nil Biru yang membekalkan kira-kira 59 peratus bekalan air Mesir. Kerajaan Ethiopia telah membiayai projek tersebut sendiri hampir secara keseluruhannya. Ia berharga kira-kira AS$5 bilion. Empangan Besar Kebangkitan Ethiopia (Grand Ethiopian Renaissance Dam, GERD) dijanjikan akan dapat menjana 6,000 megawat tenaga elektrik.

Ini merupakan satu perkara penting bagi Ethiopia memandangkan tiga suku dari rakyatnya tidak mendapat bekalan elektrik. Penjualan tenaga elektrik yang berlebihan ke negara-negara lain di rantau tersebut dijangka akan membawa AS$1 bilion setiap tahun dalam bentuk tukaran wang asing.

GERD walau bagaimanapun hanya akan dapat mencapai objektif ini dengan mengumpul air yang sepatutnya dapat mengalir ke hilir sungai Nil ke Sudan dan kemudiannya Mesir. Ini tentunya menjadi perkara yang penting bagi kedua-dua negara tersebut. Menurut Wikileaks, pegawai-pegawai kerajaan di Kaherah pernah membincangkan untuk mengebom ataupun mengarahkan pihak komando untuk memusnahkan empangan tersebut.

Empangan tersebut akan mempunyai simpanan lebih dari dua kali ganda berbanding saiz Empangan Hoover di Tasik Mead, iaitu simpanan air terbesar di Amerika Syarikat. Ia akan menyimpan sejumlah 74 bilion meter padu air sungai Nil Biru.(Ini merupakan kira-kira 64 juta kaki padu air ataupun jumlah air yang diperlukan untuk menutup kawasan darat seluas 100,000 batu persegi dengan kedalaman satu kaki). Masa yang diperlukan untuk memenuhi empangan tersebut mungkin mengambil masa di antara lima hingga 15 tahun.

“Semasa tempoh pengisian ini,” satu kajian baru oleh Persatuan Geologi Amerika melaporkan dalam jurnal GSA Today bahawa “aliran air tawar Nil ke Mesir akan berkurangan sebanyak 25 peratus dan tenaga elektrik yang dihasilkan Empangan Tinggi Aswan akan berkurangan sebanyak satu pertiga.” Empangan Aswan adalah empangan besar Mesir yang disiapkan pada tahun 1965, iaitu kira-kira 1,500 batu di hilir sungai Nil.

Kajian GSA tersebut yang diketuai ahli geologi Jean-Daniel Stanley dari Institut Smithsonian mendapati Mesir berhadapan “kekurangan bekalan air tawar dan bekalan tenaga menjelang 2025.” Pertanian di delta tersebut yang menghasilkan kira-kira 60 peratus makanan Mesir juga akan mengalami kesan akibat kekurangan sumber air.

Kajian GSA itu juga menyatakan secara jelas bahawa pembinaan empangan tersebut hanyalah salah satu dari ancaman-ancaman yang bakal dihadapi Mesir. Kenaikan paras air laut akibat dari perubahan cuaca dunia adalah salah satu ancaman lain yang jelas. Sebahagian besar delta Nil hanya berada kira-kira satu meter di atas paras air laut.

Satu analisis pada 2014 yang diketuai ahli geologi Universiti Assuit, Ahmed Sefelnasr menjangkakan bahawa kenaikan paras air laut sebanyak setengah meter akan mengurangkan keluasan delta tersebut sebanyak 19 peratus. Kawasan tersebut berkeluasan kira-kira saiz bandaraya Los Angeles. Itu bagaimanapun adalah satu jangkaan konservatif.

Sekiranya paras air laut meningkat sebanyak satu meter pada abad ini seperti jangkaan ahli-ahli saintis cuaca, maka satu pertiga daripada delta tersebut akan ditenggelami laut Mediterranean. Analisis tersebut tidak mengambil kira kesan yang akan berlaku sekira berlaku kenaikan paras laut yang lebih tinggi seperti yang dijangka satu kajian Nature pada 2016.

Mesir sudah pun menjadi salah satu negara termiskin di dunia dari segi bekalan simpanan air bagi setiap orang

Ia juga tidak mengambil kira kesan yang bertambah tentang penenggelaman tanah di delta tersebut terutamanya di sepanjang pantai Mediteranean. Dalam satu temuramah, Stanley dari Institut Smithsonian menyatakan kesan penenggelaman tersebut berlaku kerana proses pemampatan lapisan-lapisan geologi bawah tanah dan akibat kesan kegiatan seismik. “Rantau tersebut dianggap sebagai stabil secara tektoniknya,” katanya, “tetapi ia tidaklah pegun.”

Gempa bumi berskala 5 atau lebih lagi berlaku sekitar sekali dalam 23 tahun dan “kejadian gempa bumi pada skala kecil dan di kedalaman tohor” sering berlaku. Delta tersebut juga menjadi semakin terhakis (dan menjadi tidak subur) kerana ia tidak ditambun setiap tahun dengan 100 juta tan mendapan daripada sungai Nil. Sebaliknya, mendapan tersebut kini terkumpul apabila aliran sungai Nil memasuki Empangan Tinggi Aswan. Timbunan delta kini terbentuk di empangan tersebut tetapi ia terletak di bawah paras air. Kajian-kajian lain juga menunjukkan bahawa kegiatan seismik di rantau tersebut meningkat berikutan pertambahan tekanan air yang tersimpan di empangan tersebut.

Sebagai tambahan kepada ancaman kehilangan tanah delta yang hampir pasti berlaku dan peningkatan paras air laut dan penghakisan tanah, sungai Nil juga berhadapan dengan ancaman kenaikan paras kemasinan.

Mesir sememangnya sudah menjadi salah satu negara yang miskin dari sudut bekalan air bagi setiap orang; ia mempunyai kira-kira 600 meter padu bekalan air tawar bagi setiap orang pada setiap tahun berbanding sebagai contohnya AS yang mempunyai bekalan 9,800 meter padu air.

Walau bagaimanapun menurut kajian Sefelnasr kemasukan air masin akibat daripada kenaikan paras air laut sebanyak satu meter akan mengancam kira-kira satu pertiga bekalan air tawar di delta tersebut. “Sekiranya anda berbual dengan para petani di utara delta,” kata Stanley, “mereka akan memberitahu anda bahawa mereka telah kehilangan hasil pengeluaran yang berterusan, dan garisan air masin semakin bergerak ke tengah-tengah kawasan delta. Jadi ia bukanlah satu situasi yang menggembirakan,” terutama apabila mengambil kira bahawa penduduk Mesir akan bertambah sekali ganda dalam masa 50 tahun akan datang.

Jadi bagaimana Mesir yang ketika ini sedang bergelut dengan ekonomi yang suram dan kemelut politiknya dalam tahun-tahun kebelakangan ini dapat menyelesaikan perubahan-perubahan yang boleh mengancam nyawa ini?

Walaupun terdapat cakap-cakap untuk memusnahkan empangan Ethiophia, tetapi peperangan sebenarnya berkemungkinan tinggi tidak akan berlaku. Pada tahun 2015 Mesir, Ethiopia dan Sudan menandai perjanjian bagi tidak mengancam keselamatan masing-masing.

Juga pada awal tahun ini, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah bertemu dengan Perdana Menteri Ethiopia Hailemariam Desalegn secara baik di Addis Ababa. Tetapi satu perjanjian rasmi bagaimana sumber sungai Nil akan dikongsi bersama masih tidak dapat dirangka.

Pihak Ethiopia boleh mengurangkan kesan-kesan kemusnahan di hiliran sungai Nil dengan cara memanjangkan tempoh untuknya mengisi empangan tersebut. Tetapi itu bermakna ia terpaksa melengah-lengahkan faedah yang boleh didapati dari empangan tersebut.

Ethiopia juga mungkin telahpun menjual faedah-faedah yang boleh didapati daripada empangan tersebut secara berlebihan.

Empangan tersebut hanya dapat menghasilkan pengeluaran maksimum 6,000 megawat semasa waktu-waktu puncak, menurut kajian Asfaw Beyene, seorang profesor kejuruteraan mekanikal di Universiti Negeri San Diego.

Dia mengambil perhatian bahawa syarikat Itali yang membina empangan tersebut turut juga melakukan kajian permulaan, iaitu satu pertelingkahan kepentingan memandangkan syarikat tersebut mungkin telah menaikkan harga kos dan keuntungan dan membuat kira-kira pengeluaran semasa empangan mempunyai isian penuh.

Beyene menjangkakan bahawa pengeluaran sebanyak hanya 2,000 megawat sahaja sebenarnya telah pun “sedikit berlebih-lebihan”.

Tekanan-tekanan bagi Ethiopia untuk mendapatkan pulangan di atas pelaburannya mungkin akan menyebabkan negara tersebut tidak akan berlengah-lengah dalam tindakannya. Dari apa segi sekalipun, menurut Profesor Politik Afrika di Universiti Georgetown Harry Verhoeven, Mesir mempunyai pengaruh yang sedikit bagi mendapatkan perjanjian yang menguntungkannya.

Ia selalu menuntut haknya sebagai penerima terbesar sumber air sungai Nil dan menjadikan tuntutannya itu sebagai satu tuntutan rasmi dengan Perjanjian Air Sungai Nil 1959 tanpa mengambil perhatian terhadap keperluan negara-negara di hulu sungai.

Hosni Mubarak memburukkan lagi keadaan semasa pemerintahan panjang beliau sebagai presiden Mesir dengan cara memandang remeh negara-negara lain yang terbabit dengan lembah Nil dan secara efektifnya keluar dari kesatuan negara-negara Afrika lain. “Oleh sebab itu, adalah sukar untuk sesiapa bagi bersimpati dengan Mesir,” kata Verhoefen.

Ethiopia telah membina ekonominya dan menuntut hak kawalan ke atas sumber air sungai Nil yang menjadi tali hayat di rantau tersebut

Ketika “Mesir tidur,” satu kerajaan “yang amat cekap” di Ethiopia telah membina ekonominya dengan cara bekerjasama dengan kedua-dua kepentingan AS dan China. Kerajaan tersebut telah melancarkan apa yang digambarkan Verhoeven sebagai “serangan politik air bagi mengatur kembali rantau tersebut.” Ia bukanlah hanya terma-terma politik atau teori tetapi dilaksanakan di akar umbi dengan cara menuntut haknya untuk mengawal sumber air sungai Nil yang menjadi tali hayat rantau tersebut.

AS mungkin boleh menjadi orang tengah yang boleh diharap bagi merundingkan tolak ansur di antara Mesir dan Ethiopia.

Kata Stanley pada masa ini Mesir perlu untuk melabur dalam projek menyahkan garam dari air lautan bagi menghasilkan air tawar seperti apa yang dilakukan Arab Saudi dan menggunakan kaedah pengairan drip yang lebih menjimatkan air seperti yang dilakukan Israel.

Rakyat Mesir juga kelihatannya perlu untuk mencari tempat baru bagi masa hadapan mereka apabila sungai Nil tidak lagi menjadi hak mereka secara mutlak dan delta Nil kini mula beransur-ansur ditelan lautan.

Artikel ini terbit dalam bahasa Inggeris dalam Yale Environment 360, dan diterjemahkan oleh Harakah. – HARAKAH 25/10/2017 {/mprestriction}