Apabila MP PAS tegur YB PAN pejuang pesta arak

SUASANA Dewan menjelang tengah hari ini sehangat panas terik mentari di luar. Ia bermula apabila YB PAN Sepang mempertikaikan hujah YB PAS Temerloh, berkenaan wujudnya trend menghina dan mencerca institusi agama.

Advertisement

Lalu, YB PAS Temerloh bangun memperbetulkan kenyataan YB Sepang yang menuduh YB PAS Temerloh berkata institusi agama tidak boleh ditegur dan dikritik langsung.

Sebenarnya, perbahasan RUU yang sedang berlangsung ialah mengenai RUU Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta, tetapi malangnya YB PAN Sepang melalut sehingga membangkit isu saman DOJ, menuduh ulama membela kezaliman, memperli PAS sebagai parti suci.

Seterusnya, YB PAS Pasir Puteh bertanya kepada YB PAN Sepang adakah kritikan ini terhad kepada institusi agama Islam dan orang yang mahu berpegang kepada ajaran Islam sahaja? Beliau juga menyebut Islam tidak membenarkan kita menghina agama orang lain, apatah lagi menghina agama kita sendiri.

YB PAN Shah Alam pula bangkit menyebut betapa pentingnya bersikap terbuka lalu mengambil contoh Beer Festival yang diharamkan baru-baru ini. Dia mempertikaikan mengapa orang Islam mahu menyekat hak orang bukan Islam berpesta Arak.?

YB PAN Sepang bersetuju dengan pandangan temannya YB PAN Shah Alam berkenaan Pesta Arak itu.

Sebelum Dewan berhenti rehat, YB PAS Kuala Nerus bangun meminta penjelasan YB PAN Sepang berkenaan tuduhan siapakah golongan agama yang kadang-kadang menganggap dirinya suci?

YB PAS Kuala Nerus turut memetik fatwa Syeikhul Azhar yang membezakan hak minum arak dan hak berpesta arak oleh orang bukan Islam.

Jelas kelihatan ketika YB PAN galak membangkitkan isu hak bukan Islam untuk berpesta arak dan menyerang institusi agama, para YB DAP antara yang bersungguh menepuk meja tanda sokongan.

Adakah orang berpemikiran sebegini yang kita mahu mengharapkan untuk mentadbir negara?

Semua hal ehwal urusan umat Islam mahu diserahkan kepada orang bukan Islam untuk campur tangan atas nama keterbukaan, progresif, dan Islam ramah-tamah.

Semoga pasca PRU 14 nanti, kelibat mereka yang menjadi pendokong setia berwalakkan DAP tidak akan muncul lagi di Dewan Parlimen. – HARAKAHDAILY 26/10/2017