Kenapa menjulingkan sejarah Rohingya?

cx1

MENJULINGKAN sejarah juga terjadi dengan penulisan cincai asalkan terhasil sebuah artikel, untuk mengiringi sebuah perjalanan, fakta dan bahan yang saheh menjadi nombor dua atau tidak ada nombor sama sekali. Penjulingan sejarah kerana sumber dan penulisan cincai boleh membawa akibat buruk sehingga menjadi penyambung propaganda musuh yang melakukan genocide kepada Muslim Rohingya. Paling kurang ia boleh membina persepsi salah kepada Rohingya yang sedang dizalimi.

Advertisement

Menulis artikel tentang Rohingya yang mahu ditularkan perlu cermat. Cermat penting kerana usaha mengubah sejarah, memadam fakta dan menghalalkan genocide telah diusahakan oleh junta Myanmar sejak lama dulu.

Contohnya jika ditulis ‘Rohingya berkulit hitam kerana mereka berketurunan benggali” adalah adalah satu penjulingan sejarah kerana tidak memahami keseluruhan plot jahat Myanmar. Malah ia seperti telah membenarkan propaganda junta dan gerakan 969 Sami Budha Myanmar yang membunuh, memperkosa dan menghalau Rohingya keluar dari Arakan-Myanmar kerana mereka adalah Benggali. Penghapusan etnik (genocide) etnik Rohingya dihalalkan atas alasan rohingya adalah Benggali.

{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Benggali adalah penduduk Bangladesh. Lalu Rohingya didakwa pendatang haram dari Bangladesh yang memasuki Burma selepas merdeka, kerana mereka adalah berketurunan itu. Maka mereka patut balik ke Bangladesh jika tidak mahu dihapuskan. Ini propaganda para pembunuh Muslim Rohingya.

Semua media cetak (akhbar harian dan majalah) dan media elektronik di Myanmar dilarang merujuk mereka sebagai Rohingya, tetapi dirujuk sebagai Benggoli in Rakhine State (banggali).

Penggerak nasionalisme Benggali pasca imprialisme barat – dinobatkan sebagai The Father of Modern Benggoli’ adalah Sheikh Mujibur Rahman, yang memimpin perang dengan tentera Pakistan Timur dan menubuhkan negara Bangladesh pada 1971. Beliau adalah pengasas negara Bangledesh, juga bapa kepada Perdana Menteri Bangladesh hari ini iaitu Sheikh Haseena Wazed.

Jika ada asas sekalipun dakwan prasejarah tentang keturunan itu, kerana warna kulit mereka, ia tidak perlu dibangkitkan pada waktu ini kerana ia selari dengan propaganda musuh. Benggali memang bangsa ke tiga besarnya di dunia selepas Han (cina) dan arab. Benggali didapati bertebaran di seluruh dunia, dari Bangladesh, India, Pakistan, Afghanistan hinggalah ke eropah. Sebahagiannya tidak dikenali sebagai Benggali lagi, tetapi dikenali sebagai bangsa berasaskan negara mereka.

Seperti juga bangsa-bangsa yang besar itu, evolusi pembentukan dan kepupusan bangsa akibat pergaulan, percampuran, penyatuan dan migrasi, telah mengubah budaya, bahasa, nilai, norma, rupa paras, seterusnya telah memecahkan salasilah keturunan dan mewujudkan bangsa baru. Dari mana datangnya bangsa Melayu? Demikianlah prosesnya.

Rohingya asalnya dikenali sebagai bangsa Rohang. Percampuran dari perkahwinan dan pergaulan dengan para pedagang dan migran dari dunia luar menjadikan mereka menerima nilai, bahasa, adat budaya baru, lalu dikenali sebagai Rohingya. Rohang telah pupus, apatah lagi benggali di Arakan walaupun genetik asal mereka mungkin daripada satu perdu.

90% penduduk bahagian timur Bangladesh (Teknaf-Cox’s Bazaar- Chittagong) adalah bangsa Rohingya yang telah ‘diterima’ sebagai Benggali (warga Bangladesh) kerana wilayah itu sebelum penjajahan British adalah sebahagian daripada Arakan. Dalam era penjajahan Inggeris (1824-1948), Arakan dibelah berdasarkan sempadan Sungai Naf dan banjaran gunung dengan India (Pakistan Timur kemudian menjadi Bangladesh).

Dalam era awal penjajahan Inggeris, Arakan ditadbir British di India, dan Burma di tadbir di Yangon.

Pada 1937, Kolonial Inggeris Burma menduduki Arakan sepenuhnya dengan kekerasan dan menggabungkannya ke dalam Burma (yang merupakan tanah jajahan Inggeris yang terpisah dari pemerintah Inggeris di India). Untuk menundukkan kaum Muslim Rohingya agar dapat dikuasai dan dijajah, Inggeris mempersenjatai orang-orang Budha Rakhine.

Akibatnya, pada 1942, lebih daripada 100 ribu Muslim Rohingya dibunuh oleh orang-orang Budha dan ratusan ribu terpaksa lari ke luar negara, menghuni wilayah berjiran yang kini menjadi Bangladesh.

Adakah kerajaan Muslim Rohingya di Arakan adalah dari Dinasti Moghul (India) kerana Sultan Bahadur Shah Zafar di makamkan di Burma? Jawabnya tidak!

Di India, Islam pernah berjaya membina wilayah pemerintahan dengan banyaknya dinasti-dinasti Islam yang pernah didirikan di sana, misalnya Dinasti Mamluk (1206-1290), Dinasti Khalji (1206-1320), Dinasti Tugluq (1320-1413), dan beberapa dinasti lain. Namun terdapat dinasti yang paling menonjol di India, yakni Dinasti Moghul (1526-1857).

Jika Dinasti Moghul hanya berkuasa di India bermula pada tahun 1526, tentulah Kesultanan Islam Arakan bukan daripada mereka atau bernaung di bawah kekuasaannya kerana menurut ahli sejarah, Sultan Sulaiman Shah menubuhkan kerajaan Islam Arakan pada tahun 1430, hampir seratus tahun lebih awal daripada Dinasti Moghul di India.

Malah wilayah Arakan diperintah oleh beberapa kesultanan Islam berpusat di beberapa daerah sejak 1345, setelah mereka mula memeluk Islam sejak tahun 877 masihi, dalam era pemerintahan Bani Abbasiyah berpusat di Baghdad. Antaranya kesultanan Islam yang berpusat di Mrauk-U, sebuah daerah di timur Arakan, hampir dengan banjaran gunung yang memisahkan Arakan dengan Burma.

Maqam Sultan Bahadur Shah Zafar- dikenali sebagai Wali Allah kerana kehidupan zuhudnya- ditemui di sebuah kompleks Masjid dalam bandar Yangon. Baginda ditangkap dan dikenakan hukuman buang negara ke Burma kerana dituduh cuba memberontak kepada penjajahan Inggeris di India. Seluruh keluarganya dikenakan hukuman itu, dan meninggal di Burma.

Maqam beginda berada di Burma bukan kerana pemerintahan Dinasti Moghul itu turut merangkumi Arakan dan Burma, tetapi adalah atas kezaliman penjajah British. Di maqam itu terdapat banyak gambar lawatan pemimpin negara yang pernah berada dalam wilayah Dinasti Moghul, antaranya Presiden India (A. P. J Abdul Kalam), Presiden Pakistan (Perves Muaharraf) dan Perdana Menteri Bangladesh (Sheikh Hasina Wazed).

British menggunakan Budha Burma menzalimi Muslim Rohingya.

Satu juzuk permusuhan Budha Burma dengan Muslim Rohingya yang patut diketahui adalah kerana sewaktu penaklukan Jepun 1941-1945 ke atas negara-negara di Asia, orang Rohingya telah menyokong Jepun kerana kezaliman British ke atas etnik Rohingya sebelumnya.

Pembantaian Budha Burma ke atas Rohingya selepas era penjajahan tiada kaitan dengan kebancian orang-orang Budha Burma kepada imprialisme Inggeris yang melindungi Rohingya, sebaliknya kerana Rohingya dituduh menyokong Jepun yang memerangi Inggeris dalam Perang Dunia Ke-2, sedangkan Budha Burma adalah ‘hamba tawanan’ British.
Inggeris menggunakan orang-orang Budha untuk membunuh Rohingya sejak tahun 1937 lagi. Ribuan ulamak di bunuh, masjid dan monumen Islam di seluruh Arakan dimusnahkan bagi menghilangkan sejarah kesultanan Islam di Arakan apabila Arakan dimasukkan ke dalam wilayah jajahan Britiah Burma. Biara-biara (pagoda budha) dibina dengan banyak di sepanjang sungai dan laluan utama untuk menggambarkan budha adalah adalah agama dominan di Arakan.

Pada masa itu, Budha Burma adalah hamba Inggeris dalam usaha menghapuskan muslim Rohingya dan kegemilangan kerajaan mereka di Arakan. Ia dilanjutkan sehingga kini, atas sebab dan tujuan kepentingan mereka sendiri pula.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief

{/mprestriction}