Kuari: LATAS bimbang keselamatan penduduk

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) melahirkan kebimbangan berhubung keselamatan penduduk kesan daripada keadaan kuari yang terletak di Kampung Bukit Nenasi, Batu Rakit.

Advertisement

Pengerusi LATAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Noor berharap pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan berkaitan kuari yang boleh mengundang musibah kepada penduduk sekitar.

kuari1“Kita harap pihak berkuasa Kerajaan Negeri Terengganu, pejabat tanah dan galian khususnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sebagainya yang bertanggungjawab di atas kelulusan dan juga operasi kuari ini dapat memastikan operasi kuari ini mematuhi peraturan-peraturan ‘mining’ ataupun perlombongan yang terlalu hampir dengan jalan utama dan kawasan kediaman,” ujarnya yang meninjau sekitar kuari tersebut, kelmarin.

Menurutnya, keadaan ‘timbunan stok’ (stock pile) kuari yang menggunung tinggi terlalu hampir dengan jalan raya yang amat menggusarkan jika berlaku runtuhan.

“Kita lihat tidak ada ‘buffer zone’ (zon keselamatan) untuk kawasan melindungi orang ramai dari bahaya.

“Kuari ini walaupun kawasan letupan di bahagian dalam tetapi risiko pecahan batu itu tetap mengundang risiko kepada orang ramai,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau juga mempersoalkan kelulusan dari sudut Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terhadap kuari itu dan peraturan-peraturan asas berkaitan kuari.

Sementara itu, Pengerusi LATAS Terengganu, Ustaz Shahrizukirnain Abdul Kadir juga berharap Adun Batu Rakit dapat memainkan peranan dalam menjaga keselamatan penduduk.

“Kebimbangan penduduk Kampung Bukit Nenasi ini dan kampung sekitarnya perlu diberi perhatian oleh wakil rakyat Batu Rakit.

“Kita tidak mahu setelah berlaku kemalangan jiwa, baru hendak ditangani dan bertindak sepertimana yang berlaku baru-baru ini,” ujarnya yang mengimbau kejadian rekahan pokok besar menimpa kenderaan dan mengorbankan dua nyawa pada 7 Oktober lalu di Kampung Mengabang Lekar.

Seorang penduduk, Ahmad Zaini Busu pula berharap masaalah bau dan ‘gangguan bunyi’ dari kuari terbabit dapat diatasi segera.

“Terima kasih kepada LATAS yang datang melihat sendiri keadaan kuari ini dan kami berharap masalah yang kami hadapi ini dapat diselesaikan segera,” katanya.