Tangisan pilu muslim Rohingya: Siapa peduli?

cx4

LANGIT merah jingga menebar cahaya keperakan di permukaan Sungai Naf yang menyimpan sejuta rahsia muslim Rohingya yang ditindas oleh reJim Mynmar serta dikucilkan oleh masyarakat antarabangsa. Dua bulan terakhir ini ratusan ribu pelarian muslim Rohingya bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai yang luas ini, sungai yang memisahkan dua negara. Kelihatan pihak aparat keamanan Bangladesh mengawal ketat sempadan negara kerana bimbang ratusan ribu pelarian muslim Arakan akan membolosi sempadan negara mereka, namun akhirnya Bangladesh terpaksa menelan hakikat, mereka adalah berjiran dan terpaksa menerima pelarian Rohingya yang diancam pembersihan etnik.

Advertisement

Tiada sebersit rasa kemanusiaan di hamparan relung hati tentera Mynmar  ini walaupun pelarian Arakan berasal daripada tanah air mereka dan berjiran dengan mereka. Malah mereka juga tidak segan melepaskan tembakan kepada pengungsi Arakan yang kelaparan, melakukan pembantaian, membakar rumah-rumah, merogol, menyiksa muslim Arakan. Penasihat tentera Mynmar adalah reJim zionis, maka tidak pelik taktik sadis yang sama digunakan terhadap muslim, bahkan lebih kejam kerana melibatkan kejadian rogol secara pukal.

Muslim Arakan tak ubah seperti muslim Palestin yang hilang peta dan tanah, cuma berbeda dengan nasib ummat Palestin yang sentiasa dilimpah cahaya lensa, kesengsaraan Palestin menggema ke seluruh belahan dunia. Bantahan awam sentiasa menjerkah rejim zionis dan “uncle Sam”, sama ada oleh NGO Islam atau bukan Islam. Bulan Mei pula, sambutan Nakbah Palestin terus menyubur kepedulian terhadap kejerihan Palestin. Arakan adalah Gaza di Asia yang berselimut kesakitan dan menebar aroma kematian.

Muslim Arakan hidup di tanah Burma sejak abad ketujuh dan pernah bernaung di bawah kerajaan Islam Moghul India, dengan identiti mereka sendiri. Bahkan makam Sultan Bahadur II juga disemadikan di Mynmar, masjid-masjid lama, nisan-nisan lama adalah bukti empiris bahawa masyarakat Islam telah mendiami tanah Arakan, jauh sebelum penjajahan British lagi. Menarik juga, kerajaan Islam Arakan telah menghantar bantuan kewangan kepada Khilafah Uthmaniah pada tahun 1913, dalam membantu perang di wilayah Balkan.

Kerajaan Moghul mengamalkan pemerintahan yang adil untuk semua agama dan etnik. Ini menyebabkan Islam berkembang dan memaut nurani manusia kepada agama fitrah. Kejatuhan Empayar Islam Moghul di tangan empayar Pax Britannica, maka dengan perlahan-lahan nasib umat Islam di Burma memburuk.

Selepas Burma merdeka pada tahun 1948, nasib muslim mula diterjah satu persatu, termasuk Operasi Naga Ming, dan pelbagai kejahatan yang mula menimpa masyarakat Muslim.

Kumpulan Buddha adalah kelompok yang kuat menentang imperialisme Barat seperti Persatuan Buddha Burma, Persatuan Pemuda Buddha Burma dan sebagainya. Selepas Barat meninggalkan Burma, nasib muslim semakin parah, mereka dianggap orang asing, apatah lagi dengan perbedaan agama dan etnik.

Muslim Rohingya berkulit agak gelap kerana mereka berketurunan Benggali serta merupakan penganut Islam yang taat. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, memiliki perniagaan, memiliki senjata, bahkan hak sebagai manusia itu sendiri. Jutaan muslim Rohingya akhirnya cuba melarikan diri daripada Arakan, kerana mereka dibunuh, dibakar dan dirogol.

Ratusan ribu mengungsi di Cox Bazaar, kem khutupalong, Teknaf dan pelbagai tempat di Bangladesh dalam keadaan terpuruk dan sangat dhaif. Nasib mereka semakin buruk apabila rejim sekular Bangladesh beberapa tahun lepas menutup pintu sempadan .Misi bantuan kepada muslim Rohingya juga dihalang dan mengalami sekatan melampau, cuma keadaan agak baik dalam tahun ini. Antara NGO Malaysia yang aktif membantu muslim Rohingya ialah MAPIM, Muslim Care, Yayasan Amal, namun tak semudah membantu muslim di peta luka ummat yang lain seperti Gaza, Syria, Pakistan, Cambodia. Paling baru ialah NGO, PASrelief yang memasuki khemah pelarian muslim Rohingya, membantu pelarian dengan projek kemanusiaan.

SIKAP WARGA ANTARABANGSA

Sejujurnya, Turki adalah negara paling terkehadapan dalam membantu pelarian Rohingya terutama dalam empat tahun kebelakangan ini. Tayyeb Erdogan meletakkan keprihatinan yang besar dalam isu kemanusiaan di pelbagai peta luka umat Islam. Ini berbeda dengan negara Arab yang dianugerahi kekayaan minyak dan gas. Umat Islam terpenjara dalam kotak “nation state” yang dibina bekas penjajah sehingga mereka kurang peduli terhadap sempadan akidah, sempadan syahadah.

PBB dan OIC kurang mencaknai isu ini bahkan negara ASEAN sendiri seolah memekakkan telinga. Walhal, sepatutnya tekanan paling keras datangnya daripada ASEAN sendiri kerana perlakuan rejim Mynmar telah melebihi batas perikemanusiaan.

Konsep ZOPFAN (Zone of peace, freedom and neautrality) seolah-olah membunuh kepedulian ummah. Darah yang tumpah seolah darah kerbau yang tidak mempunyai nilai harga. Bahkan Malaysia tetap menghantar kontijen ke Sukan SEA di Burma sebelum ini tanpa merasa bersalah. Desakan demi desakan, akhirnya kerajaan Malaysia melalui NGO-NGO memulakan inisiatif yang baik, “Food Flotilla for Mynmar” dalam bulan Februari yang lepas, seterusnya akujanji Malaysia untuk membina hospital medan di penempatan Rohingya di Bangladesh. Jika semua muslim dan kerajaan umat Islam mengambil cakna akan isu ini, maka beban penderitaan Rohingya paling kurang akan sedikit terbela.

Insyaallah, Muslim Care sekali lagi akan menerbangkan anggota-anggota misi bantuan seramai 22 orang ke khemah pelarian Rohingya pada 26 sehingga 31 Oktober ini. Pelbagai bantuan akan dihulurkan seperti agihan pek makanan, membina tubewell, rawatan di medan oleh anggota medik dan paramedik. Muslim Care merasa berbesar hati dapat menyampaikan amanah rakyat Malaysia kepada saudara-saudara Rohingya yang diselimuti kejerihan dan kepayahan. Sebahagian besar anggota misi yang merupakan doktor perubatan akan mempunyai jadual ketat menyantuni mangsa krisis kemanusiaan terburuk di rantau Asia Tenggara ini. – HARAKAHDAILY 26/10/2017

Penulis ialah anggota Misi Muslim Care 26-31 Oktober ke Kem Khutupalong.