Hukum suami isteri bercumbu di media sosial

PERBUATAN suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini.

Advertisement

Demikian penjelasan yang dipetik daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi ruangan Al-Kafili Al-Fatawi sebagai jawapan kepada pertanyaan ‘Apakah hukum sekiranya suami dan isteri bercumbu di khalayak ramai dan media sosial bagi menzahirkan kemesraan mereka’ pada 23 Oktober lalu sebagaimana di bawah.

Al-KAFILI AL-FATAWI
Al-KAFI #664: GAMBAR SUAMI ISTERI BERCUMBU DI MEDIA SOSIAL
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad Al-
Diterbitkan: 23 Oktober 2017

Soalan: Apakah hukum sekiranya suami dan isteri bercumbu di khalayak ramai dan media sosial bagi menzahirkan kemesraan mereka?

Jawapan:

Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki. Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.

Walau bagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri. Sabda Nabi SAW:

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.”
(Riwayat Muslim, no. 35)

Rasa malu menurut Imam an-Nawawi rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”

Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 345)

Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini. Semoga kita semua berusaha menzahirkan akhlak dan adab yang mulia dalam kehidupan kita.

Kami tutup dengan sebuah sabda Nabi SAW:

الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Maksudnya: ”Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6117)