Sah bajet pilihan raya – Nik Abduh

Nik Abduh
KUALA LUMPUR: Sememangnya Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak adalah bajet pilihan raya atau lebih tepat, bajet umpan besar.
 
Ia dapat dilihat melalui sorakan demi sorakan oleh pihak kerajaan dalam pembentangan tadi.
 
Tetapi kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz,  ia hampir tidak menyentuh isu-isu pokok ekonomi dan masalah sebenar negara yang terus menghimpit kehidupan rakyat. 
 
“Isu perumahan untuk rakyat kekal sebagai janji manis yang belum tertunai. Isu kenaikan harga barang seperti tidak diendahkan apabila PM terus mempertahankan GST sebagai punca kejayaan dan pemulihan ekonomi negara. Adakah benar sedangkan rakyat merana kerananya?” soal beliau dalam satu ulasan kepada Harakah 27 sebentar tadi.
 
Kata beliau lagi, isu perbelanjaan wang awam yang dijahanamkan oleh ketirisan, pembaziran dan rasuah langsung tidak disentuh, menandakan kerajaan buntu atau tidak bersungguh melihatnya sebagai gejala utama kerosakan dalam negara.
 
Tambah Nik Abduh, rakyat mungkin gembira menerima percikan bunga api Bajet 2018, tetapi PAS yakin rakyat tidak akan tertipu lagi bahawa BN terus menempuh kegagalan di dalam mengurus negara menuju negara bahagia dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 27/10/2017
Advertisement