Orang baik yang tiada musuh?

nik abduh1

RASULULLAH sallaLlahu alaihi wasallam sedari kecil lagi adalah maksum iaitu terpelihara daripada melakukan dosa dan kesalahan. Baginda sedari kecil dipelihara daripada kejahatan dan keburukan manusia. Allah memastikan baginda al Rasul menjalani kehidupan sedari kecil sebagai insan suci demi melicinkan dan menjayakan matlamat kelahiran baginda ke dunia iaitu sebagai utusan-Nya yang agung.

Advertisement

Baginda sedari kecil tidak menyembah berhala. Baginda juga tidak melakukan perkara munkar seperti minum arak, berjudi, merompak, bahkan langsung tidak melakukan sebarang aktiviti yang melalaikan dan merugikan masa, tenaga dan kehidupan.

Baginda dipuji oleh masyarakatnya kerana tidak melakukan perkara-perkara munkar tersebut. Baginda malah digelar al amin iaitu insan yang paling amanah.

Tetapi baginda tidak dipuji kerana tidak menyembah berhala. Sebaliknya tindakan itu merimaskan masyarakatnya yang jahiliyah dan syirik. Mereka menunjukkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka kerana bagi mereka, Rasulullah sebagai orang yang baik sepatutnya juga menjadi orang yang kuat beragama. Bagaimana boleh orang yang baik tiba-tiba menolak ugama? Itulah persoalan mereka.

Tetapi ketidakpuasan hati itu tidak diterjemahkan kepada kemarahan dan penentangan. Baginda tidak dimusuhi, malah mereka terus memuji dan menjadikan baginda sebagai insan paling terpercaya di kalangan penduduk Mekah. Baginda menjadi tempat rujukan bagi menyelesaikan isu-isu penting yang berlaku di kota Mekah.

Tetapi segala-galanya berakhir sebaik baginda menerima wahyu dan dilantik oleh Allah secara rasmi sebagai al Rasul. Sebaik baginda memulakan kerja dakwah, baginda telah dimusuhi dan diperangi. Malah di sisi masyarakatnya yang jahiliyah syirik itu, tiada lagi kebaikan pada batang tubuh Rasulullah. Putih tiba-tiba bertukar menjadi hitam.

Kesimpulannya ialah, kejahatan sedia menerima kebaikan selama mana kebaikan tidak mengganggunya. Apabila kebaikan mula menegurnya, maka kejahatan tidak mampu lagi memerima kehadiran kebaikan di sekelilingnya. Ia akan menjadikannya musuh yang utama.

Sebagai seorang muslim, kita adalah orang yang baik. Agama Islam mendidik dan membentuk kita begitu. Apabila kita baik, kita akan diterima baik oleh masyarakat walaupun mereka adalah kufur atau dalam kelalaian. Sejahat mana manusia, mereka tetap menyanjung kebaikan. Kebaikan dan keadilan adalah tunjang kehidupan manusia.

Tetapi manusia enggan berubah. Kejahatan yang merajai nafsu mereka malah menuntut tuannya menjadikannya sebagai satu hak yang perlu dilindungi dan dihormati. Hak untuk kekal jahat dan dihormati.

Ertinya, selama mana kebaikan tidak mengganggunya, maka mereka tidak perlu memusuhi kebaikan kerana kebaikan seolah-olah telah mengiktiraf hak kejahatan untuk kekal berkubang di lumpurnya.

Persoalannya, begitukah kebaikan? Menerima kejahatan sebagai satu hak untuk turut dirai dan dihormati?

Perutusan Allah melalui wahyu ke atas Rasulullah memberi jawaban yang tuntas. Kejahatan bukan hak. Bahkan kejahatan mestilah dilenyapkan oleh kebaikan. Caranya adalah dengan menolak, menegur dan memeranginya sebagaimana kaedah dan cara yang diajarkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita.

Akhirnya, untuk menjadi muslim yang baik dan hakiki, usah beriya untuk tidak dimusuhi kejahatan. Kebaikan bukan buta, bisu dan pekak gerangannya. Itu bukan bikinan ajaran Islam. – HARAKAHDAILY 28/10/2017