Tambah latihan tarik anak muda sertai pertanian

PENAMBAHAN program latihan pertanian dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor bagi menarik minat lebih ramai anak muda menyertai bidang pertanian.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, ia bertujuan meningkatkan penyertaan belia tani sebagai generasi kedua berpengetahuan dan berkemahiran dalam pengurusan projek pertanian komersial dan berteknologi tinggi, lapor SelangorKini.

“Ia boleh dilihat menerusi Program Inkubator Usahawan Belia Tani apabila program ini menyediakan pakej latihan menyeluruh bukan sahaja dari aspek tanaman tetapi juga melatih mereka dari aspek aktiviti ekonomi, pengurusan kewangan, pentadbiran sehingga pemasaran.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada peserta yang terlibat dalam program ini dan semoga ia menjadi contoh kepada anak-anak muda di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Inkubator Usahawan Belia Tani (IUBT) Negeri Selangor di Pusat Latihan Pertanian Kalumpang, Hulu Selangor, semalam. Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Mohamad Idrus Ab Hamid.

Program IUBT merupakan program dalam RMK11 bertujuan memperkasakan golongan belia menceburi bidang pertanian berteknologi tinggi.

Seramai sepuluh peserta dari pelbagai daerah dipilih untuk menjalani kursus di kelas dan latihan amali di ladang dalam tempoh lapan bulan.